Skip to main content

Kursus MPU: Tiang Seri Pembentukan Sahsiah dan Jati Diri Mahasiswa

Dewasa ini kita menyaksikan beberapa kejadian yang berlaku dalam masyarakat hari ini yang mencerminkan keruntuhan nilai-nilai murni, etika, adab dan lunturnya nilai-nilai kemanusiaan dalam masyarakat kita. Apa yang menyedihkan mereka yang terlibat dengan perkara yang tidak bermoral, hilang sifat kemanusiaan ini adalah dalam kalangan remaja kita. Walaupun kita tidak ingin menyebutnya di sini tetapi kita tidak dapat lari dari kenyataan iaitu wujudnya jenayah rogol, bunuh dan buli dilakukan oleh anak remaja kita. Mengapa terjadinya demikian? Siapa yang harus dipersalahkan? Ibu bapa, rakan sebaya, sekolah, guru, universiti, sistem pendidikan? 

Apabila menyebut tentang Kursus Mata Pelajaran Umum (MPU), ramai pelajar mengeluh. Ada yang menganggapnya sebagai ‘subjek pelengkap’, tidak penting, atau sekadar syarat lulus pengajian. Namun, pandangan ini sebenarnya jauh tersasar daripada hakikat sebenar. Kursus MPU bukanlah subjek picisan. Malah, ia merupakan tunjang pembentukan insan holistik yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik, tetapi juga seimbang dari segi sahsiah, patriotisme, dan pemikiran kritikal. 

Apa Itu Kursus MPU?

Kursus MPU diwajibkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) kepada semua pelajar institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) dan awam (IPTA) di Malaysia. Ia merangkumi subjek seperti Pengajian Malaysia, Hubungan Etnik, Tamadun Islam dan Tamadun Asia (TITAS), Kemahiran Kepimpinan, Etika dan Peradaban, serta Projek Inovasi dan Khidmat Komuniti. Tujuan utamanya bukan sekadar mengisi jadual pelajar, tetapi membina generasi berpengetahuan, berintegriti, dan prihatin terhadap isu masyarakat serta negara.

Generasi penerus etika dan peradaban negara Malaysia
Generasi penerus etika dan peradaban negara Malaysia

Nilai Tambah yang Tidak Boleh Dipandang Rendah

Pembentukan Jati Diri dan Patriotisme

Subjek seperti Pengajian Malaysia, Hubungan Etnik, Penghayatan Etika dan Peradaban serta Falsafah dan Isu Semasa mampu membantu pelajar memahami sejarah, perlembagaan, struktur masyarakat, dan kepelbagaian budaya di negara ini. Ini penting dalam membina semangat perpaduan dan semangat cintakan negara. Malaysia yang mempunyai masyarakat majmuk, kerencaman budaya dan pemikiran, seharusnya didedahkan dengan pembentukan negara bangsa mereka. Dari sejarah, mereka akan belajar tentang etika dan peradaban acuan Malaysia. Ini secara tidak langsung akan melahirkan generasi yang bangga dengan identiti negara dan bangsa serta mengekalkan kemerdekaan dan keamanan negara. 

Kemahiran Insaniah (Soft Skills)

Dalam dunia pekerjaan hari ini, majikan bukan sahaja mencari graduan yang cemerlang dalam akademik, tetapi juga yang memiliki kemahiran insaniah. Melalui tugasan projek, kerja berkumpulan, dan pembentangan dalam kursus MPU, pelajar belajar berkomunikasi, menyelesaikan masalah, dan memimpin secara berkesan. Jobstreet (2025) menekankan pentingnya kemahiran insaniah sebagai kunci kejayaan kerjaya di abad-21. Di Era Globalisasi dengan perkembangan teknologi yang pesat, kemahiran teknikal sahaja tidak mencukupi, perlu juga ada kemahiran insaniah. Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 juga turut menekankan bahawa kemahiran asas sahaja tidak mencukupi. Dalam hal ini, pelajar atau tenaga kerja masa depan perlu menguasai kemahiran berfikir aras tinggi untuk kekal relevan dalam dunia pekerjaan. 

Jurusan teknikal juga perlu ada nilai etika dan peradaban
Jurusan teknikal juga perlu ada nilai etika dan peradaban

Kesedaran Sosial dan Tanggungjawab Komuniti

Subjek seperti Khidmat Komuniti membuka ruang kepada pelajar untuk menyumbang kepada masyarakat. Mereka didedahkan kepada realiti sosial yang mungkin tidak pernah mereka alami, lantas menyemai empati dan kesedaran sivik. Contohnya program SULAM di universiti-universiti. Program SULAM merupakan singkatan bagi Service Learning Malaysia – University for Society, iaitu satu program di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang menggabungkan pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah dengan khidmat masyarakat. Matlamatnya adalah untuk menghubungkan teori dengan amalan di dunia sebenar, meningkatkan kemahiran pelajar dan sahsiah mereka, serta memenuhi keperluan komuniti melalui aktiviti kesukarelawanan yang memanfaatkan kepakaran disiplin pelajar. 

Dengan lain perkataan, SULAM merupakan satu kaedah pengajaran dan pembelajaran yang menggabungkan objektif pembelajaran kursus dengan khidmat komuniti yang melibatkan pelajar berinteraksi dengan komuniti bagi menyelesaikan permasalahan setempat dengan menggunakan pengetahuan dan kemahiran yang mereka pelajari di bilik kuliah. Ia mempunyai nilai kredit dan jam pelaksanaan khidmat komuniti itu dikira dalam pengiraan jumlah jam pelajar belajar bagi kursus yang berkaitan. Asas pelaksanaan aktiviti SULAM dalam komuniti adalah Kasih Sayang, Kebahagian dan Saling Menghormati (Love, Happiness and Mutual Respect).

Pemikiran Kritis dan Nilai Etika

Kursus seperti Etika dan Peradaban serta Falsafah dan Isu Semasa mendidik pelajar berfikir secara rasional tentang isu moral, etika, dan falsafah kehidupan. Ia merupakan satu keperluan dalam dunia moden yang semakin kompleks dan mencabar. Kecanggihan teknologi dan perkembangan pesat media sosial telah menghakiskan nilai-nilai murni masyarakat. Justeru itu, kewujudan kursus seumpama ini mengajak generasi muda menghayati semula etika dan peradaban bangsa sebelum ini dan menerapkan etika dan peradaban yang baik dalam diri mereka. Falsafah kehidupan adalah menghayati dan mengamalkan nilai dan etika yang baik. 

Mahasiswa teras perpaduan dan kemakmuran negara
Mahasiswa teras perpaduan dan kemakmuran negara

Mengubah Mentaliti Pelajar

Mentaliti pelajar bahawa kursus MPU sebagai subjek picisan, subjek ‘mudah lulus,’ subjek membebankan serta tidak relevan perlu diubah. Kualiti pendidikan bukan hanya ditentukan oleh bidang Teknikal seperti Kejuruteraan, Perubatan atau Perniagaan semata-mata, tetapi juga oleh bagaimana seseorang itu mampu berfikir, berinteraksi, dan melaksanakan nilai-nilai yang positif kepada masyarakat. Di sinilah peranan sebenar kursus MPU.

Kesimpulan

Kursus MPU bukanlah beban tambahan dalam sistem pendidikan, tetapi satu peluang yang berharga untuk pembangunan diri. Ia bukan subjek picisan, tetapi komponen penting dalam mencorak pelajar menjadi warga negara yang berilmu, berakhlak, dan bertanggungjawab. Justeru, sudah tiba masanya pelajar melihat MPU bukan dengan rasa terpaksa, tetapi dengan rasa tanggungjawab dan keinginan untuk menjadi insan seimbang rohani dan jasmani. Antara ilmu kejuruteraan dengan ilmu kemanusiaan perlu selari agar mereka menjadi rebutan dalam dunia pekerjaan.

Dr. Hasnah Hussiin

Oleh: Dr. Hasnah Hussiin
E-mel: hasnah@umpsa.edu.my

Penulis adalah Pensyarah Kanan, Pusat Sains Kemanusiaan (PSK), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).

Rencana ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak menggambarkan pendirian rasmi Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri