Skip to main content

Memahami isu ‘Pseudo-Constructivism’ dalam memaknai pembelajaran di universiti

Universiti adalah medan latihan bagi pelajar dalam banyak hal seperti membuat keputusan, adaptif pada suasana dan persekitaran, memenangi pertimbangan ketika situasi genting dan mengakali pilihan dalam kekacauan dilema. Jika mereka tidak berupaya melalui latihan ini, kemungkinan besar apabila mereka keluar dan berada dalam dunia pekerjaan, mereka tidak dapat berintegrasi dengan baik dan berfungsi sebagai pekerja yang kompeten. 

Dunia pekerjaan kini mula dipenuhi oleh pekerja Generasi Z yang lahir tahun 1995 hingga 2012 iaitu mereka yang berumur di antara 30 hingga 13 tahun. Pelbagai kajian mendapati majikan kerap memberi aduan terhadap generasi kini terutamanya ‘fresh graduate’ yang baharu menjejakkan kaki ke alam pekerjaan. Generasi yang diakui mempunyai kemahiran tinggi digital ini turut terpalit isu-isu berkaitan sikap dan tingkah laku ketika bekerja. Kajian mendapati mereka mempunyai isu ‘job retention’ seperti meletak jawatan tanpa berfikir panjang dan beberapa isu lain seperti kelemahan etika kerja. Mereka juga dikatakan sering menularkan ketidakpuasan hati terhadap majikan secara terbuka di media sosial, kurang proaktif dalam melakukan tugasan dan kurang kecekapan dalam aspek pengurusan masa.  

Ini berkemungkinan, ketika mereka melalui latihan membina identiti dan kekuatan diri di universiti, peluang untuk menjadi ‘resilience’ tidak dicerna dengan baik sehingga mengakibatkan defisit ‘pembangunan makna’. Proses pembangunan makna di universiti bermula dengan Pengajaran dan Pembelajaran (PnP). Kedua-dua proses ini boleh difahami melalui usaha pendidik menyampaikan ilmu dan usaha pelajar memahami ilmu. Dengan kata lain, pengetahuan akan terbentuk apabila terdapat mekanisme konstruktif di antara apa yang disampaikan dengan sikap pelajar dalam memaknai proses pembelajarannya. Konstruktivisme bukanlah trend dan kata kerja fesyen yang digunakan secara bermusim. Istilah ini wujud dalam teori pendidikan bagi menggambarkan bagaimana sesuatu pembelajaran boleh dimaknai. Antara idea memaknai sesuatu pembelajaran mengikut Taber (2006) adalah dengan memahami idea asas konstrutivisme dalam pembelajaran iaitu:

1.    Pengetahuan dibina secara aktif oleh pelajar, bukan diterima secara pasif dari luar. Ini bermaksud pelajar dapat memaknai pembelajarannya jika keinginannya untuk belajar bukanlah sesuatu yang dipaksakan. 

2.    Pelajar datang ke situasi pembelajaran dengan idea sedia ada berdasarkan fenomena yang dicerap mereka. Secara dasarnya mereka mempunyai ‘inquiry’ akan sesuatu dan ‘inquiry’ yang berakar dalam minda mereka akan berkembang dengan baik, seiring dengan masa dan pembelajarannya. 

Melalui prinsip asas konstruktivisme ini, adakah benar pelajar pada hari ini sebenarnya memaknai pembelajaran mereka di universiti?. Adakah mereka benar-benar datang kepada pendidik kerana ingin belajar atau datang sekadar memenuhi apa yang dimaktubkan oleh struktur pengajian?.  Adakah mereka mengikuti kursus tersebut untuk memperoleh nilai tambah untuk diaplikasi ke dalam dunia sebenar atau diperlukan hanya untuk memenuhi jam kredit bagi profil akademik?. 
 

‘Cyberloafing’ ketika mencari maklumat (Imej janaan AI)
‘Cyberloafing’ ketika mencari maklumat (Imej janaan AI)

Persoalan ini berlegar menjadi topik perbincangan pendidik terutamanya apabila tinjauan mendapati bahawa terdapat pelajar yang mengambil mudah perihal pengajian dan pembelajaran mereka. Dalam landskap pendidikan tinggi hari ini di mana segalanya ‘customize’ dan ‘itemiz’e, pelajar dilihat kurang daya ‘inquiry’ sepanjang proses pembelajaran berlaku. Penyediaan bahan komprehensif termasuk nota, panduan dan langkah kerja yang dikompilasikan dipandang sepi oleh pelajar tanpa dirujuk. Situasi ini mengakibatkan fenomena ‘pseudo-constructivism’ dalam memaknai pembelajaran mereka sendiri. Istilah ini menunjukkan fenomena falasi pembelajaran ‘konstruktivisme’ di mana pelajar kelihatan aktif secara permukaan, namun tidak memaknai dan mencipta pengetahuan mendalam.  Antara situasi yang berlaku dalam fenomena ini adalah: 

1.    Pelajar kelihatan hadir secara fizikalnya ke kuliah, namun jasad, rohani dan mindanya tidak menyatu untuk mengintegrasi ilmu yang diperoleh pada hari itu. Ada di antara mereka berpeluk tubuh selama dua jam hadir ke kuliah tanpa mencatat nota atau bertanya. Mereka hanya bergantung kepada daya auditori sepenuhnya malahan ada yang membungkam terperosok di dalam dunia sendiri dengan kehadiran gajet di tangan. ‘Note taking habit’ oleh Morehead et. al (2019) mempunyai dapatan empirikal bahawa ia metod berkesan dalam pembelajaran efektif dan mempunyai kesan langsung ke atas pencapaian akademik. Kemahiran ini wajar dipupuk semula kepada pelajar untuk mengaktifkan fungsi penstoran ilmu dalam minda mereka kerana faedahnya bukan sekadar menyalin nota semata-mata. 

2.    Pelajar seolah-olah faham apa yang disampaikan namun bertanya semula ‘APA’ dan ‘BAGAIMANA’ kurang dari sepuluh minit selepas maklumat disampaikan. Hal ini terjadi kerana daya ‘self-monitoring’ mereka melemah akibat pemahaman mereka semasa mendengar tidak di jejak secara sistematik. Kaedah menjejak pemahaman ini melalui beberapa langkah seperti perbualan kendiri melalui persoalan ‘apa yang difahami’ dan ‘apa intipati utama’ penyampaian, serta mencatat jika terdapat kecelaruan semasa maklumat diterima. 

3.    Pelajar tidak membina hubungan kefahaman dengan bahan sokongan yang diberi. Mengikut kajian, faktor ini dipengaruhi oleh pembacaan yang dibuat secara tergesa-gesa dan tidak dinikmati. Pelajar di universiti menganggap teks yang dibekalkan mempunyai cabaran teknikal untuk dikuasai. Oleh itu, kemahiran membaca dan membina makna dengan bahan yang dibaca tidak mampu dijana. Hal ini disokong oleh statistik National Literacy Trust (2025) berkenaan tabiat membaca dalam kalangan orang muda yang menurun secara signifikan. 

4.    Penggunaan internet amat digalakkan dalam kelas terutamanya dalam menyokong pengayaan maklumat. Namun, ketika pelajar mencari maklumat, mereka ‘cyberloafing’ tanpa disedari. Secara permukaan, mereka dilihat mencari maklumat semasa perbincangan dalam kelas namun terjerat dengan aktiviti tidak berkaitan seperti membalas mesej tanpa henti di WhatsApp, bermain game, menonton video atau melayari media sosial. 

Kepelbagaian PdP untuk membantu pelajar memaknai pembelajaran (Imej janaan AI)
Kepelbagaian PdP untuk membantu pelajar memaknai pembelajaran (Imej janaan AI)

Namun, adakah adil jika beban persoalan ini ditanggung oleh generasi yang perlu dididik dengan hikmah?. Persoalan ini dipulangkan semula kepada pendidik kerana dunia hari ini bukan berpaksi kepada ‘rote memorization’ atau ‘central autonomy’ semata-mata. Kecaknaan terhadap isu ini membantu pendidik untuk melaksanakan intervensi sewajarnya dalam membantu pelajar memaknai pembelajarannya. Oleh itu, kaedah PdP perlu dipelbagaikan mengikut resipi cendekiawan dalam dunia pendidikan.  Isu ‘pseudo-constructivism’ dapat diatasi sekiranya mekanisme dual yang memerlukan pendidik dan pelajar dapat digembleng bersama-sama dalam memastikan PdP berjalan dengan baik. Konstruktivisme tidak diserahkan sepenuhnya kepada pelajar untuk menguasai ilmu kerana proses tersebut berhubungan dengan pelbagai aspek kritikal yang lain seperti kaedah instruksional, motivasi pendidik dan pelajar dan keterangkuman faktor sosial. Pendekatan pengajaran konstruktivisme dengan sentuhan yang berstruktur dan kreatif menjadikan pelajaran lebih efektif. Generasi hari ini menentukan masa depan negara, justeru penelitian berkenaan isu ini perlu diperkasa. 

Dr. Hadijah Ahmad

Oleh: Dr. Hadijah Ahmad
E-mel: hadijah@umpsa.edu.my

Penulis adalah Pensyarah Kanan, Pusat Sains Kemanusiaan (PSK), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA). 

Rencana ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak menggambarkan pendirian rasmi Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
 

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri