Mencapai Gading di Menara: Cabaran dan Harapan
Dalam lagu “Dari Kaki Tangga Ke Menara” oleh Fauziah Latiff, terdapat lirik yang berbunyi:
Dari bawah setangga ke setangga kita mendaki
Kita jatuh terluka dan bangkit melangkah kembali
Dengan rasa percaya pada keupayaan diri
Tiada yang mustahil dihadapi
Kehadiran mahasiswa baharu di kampus untuk memulakan semester ini mencerminkan semangat yang terkandung di dalam lirik lagu tersebut. Perasaan ingin mencapai gading di menara mendorong seseorang untuk berusaha gigih hingga berjaya melangkah ke universiti. Tema perjuangan dan keyakinan diri yang diangkat dalam lagu ini sangat relevan dengan pengalaman hidup seharian, terutamanya bagi mereka yang baharu memulakan perjalanan akademik di peringkat pengajian tinggi.
Pastinya, di setiap permulaan hadir dengan harapan, cabaran, peluang dan pelbagai aspek kehidupan yang bakal diterokai. Begitu juga dengan perjalanan mahasiswa baharu yang memulakan langkah pertama dalam dunia akademik. Liku-liku yang bakal dihadapi memerlukan ketekunan dan keazaman yang tinggi untuk mengatasi cabaran demi mencapai kejayaan yang diingini. Cabaran ini tidak hanya terhad kepada aspek akademik, tetapi juga melibatkan aspek sosial, pengurusan kewangan dan kesejahteraan diri.
Dalam menghadapi situasi-situasi ini, mahasiswa perlu membangunkan daya tahan, mengatur strategi, dan bijak menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu. Berikut adalah empat cabaran utama yang mungkin dihadapi dan cara mengatasinya:
Cabaran Akademik
Dalam usaha mencapai standard akademik yang ditetapkan, mahasiswa perlu berusaha gigih untuk menggapai matlamat tersebut. Motivasi diri yang kuat adalah kunci untuk mendorong seseorang terus berusaha, walaupun berdepan dengan cabaran seperti jadual yang padat, tekanan tugasan, kurikulum yang kompleks, serta bebanan pembelajaran yang meningkat.
Pengurusan masa yang efektif, penerapan teknik pembelajaran yang berkesan dan memanfaatkan sumber sokongan seperti pusat aktiviti, perpustakaan serta sesi bimbingan adalah langkah penting dalam menghadapi cabaran ini. Sistem penasihat akademik dan rakan mahasiswa sebagai mentor juga boleh dijadikan sebagai medium yang bermanfaat, terutamanya dalam memberikan tunjuk ajar dan membantu mengatasi sebarang kekeliruan yang memerlukan keputusan segera dalam hal-hal berkaitan akademik. Bimbingan dan tunjuk ajar dari mereka yang lebih berpengalaman membuktikan ada kebaikannya. Dengan sokongan yang tepat dan usaha yang konsisten, mahasiswa akan dapat mencapai standard akademik yang diharapkan.
Cabaran Sosial
Suasana dan rakan-rakan baharu memainkan peranan penting dalam membina jaringan sosial yang kukuh di institusi pengajian tinggi (IPT). Walau bagaimanapun, cabaran dalam menyesuaikan diri dengan suasana baharu dan membina hubungan yang bermakna tidak boleh dipandang ringan. Berhadapan dengan krisis kejutan budaya dan berjauhan daripada keluarga tanpa disedari boleh mengundang kepada pelbagai aktiviti lain yang boleh mengganggu fokus dan matlamat asal mahasiswa menjejakkan kaki ke menara gading.
Dalam usaha bagi mengatasi cabaran ini, mahasiswa disarankan untuk menyertai aktiviti luar akademik seperti berpersatuan dan menyertai kelab di kampus serta menjalinkan pergaulan dengan rakan sebaya yang positif. Langkah-langkah ini bukan sahaja dapat meningkatkan kemahiran komunikasi, tetapi juga dapat membantu membina hubungan sosial yang sihat dan menyumbang kepada kesejahteraan diri serta kejayaan akademik.
Cabaran Pengurusan Kewangan
Sumber kewangan merupakan aspek penting dalam menjalani kehidupan sebagai manusia termasuk golongan mahasiswa. Melanjutkan pengajian memerlukan sumber kewangan untuk membiayai pelbagai yuran seperti yuran pengajian, yuran asrama, yuran aktiviti dan perbelanjaan harian. Segelintir mungkin dilahirkan dalam dulang emas yang mana wang ringgit bukanlah cabaran, namun keadaan ini tidak berlaku bagi semua mahasiswa.
Pinjaman pengajian dan biasiswa yang diperoleh perlu diuruskan sebaik mungkin, malah ada yang turut berkongsi dengan keluarga di kampung. Golongan mahasiswa ini sering memanfaatkan peluang bekerja secara sambilan di kampus untuk membantu mereka memperoleh sumber pendapatan tambahan. Kepayahan dan cabaran ini sudah semestinya memberikan pengalaman kampus yang baharu kepada mereka. Bagi mereka yang bernasib baik, janganlah alpa diri dan amalkan sikap berhemah dalam berbelanja.
Cabaran Pengurusan Diri
Kesejahteraan diri melibatkan interaksi antara aspek fizikal, mental, dan sosial yang saling berkait untuk mencipta pengalaman hidup yang positif. Dalam perjuangan menuntut ilmu di menara gading, menghadapi pelbagai cabaran adalah suatu yang tidak dapat dielakkan, dan cabaran-cabaran ini boleh menjejaskan kesejahteraan diri jika tidak diurus dengan baik.
Pengurusan diri yang baik dalam memastikan kesejahteraan diri terjamin sama ada dari segi fizikal dan mental memerlukan keseimbangan di antara ilmu pengetahuan dan amalan harian. Penjagaan kesihatan fizikal melalui pemakanan yang seimbang, senaman berkala, dan tidur yang mencukupi merupakan asas kesejahteraan secara keseluruhan. Tambahan pula, keseimbangan aspek rohani dan jasmani adalah keperluan kepada setiap makhluk, termasuk mahasiswa dalam mengekalkan fungsi diri yang optimum. Pengurusan emosi yang bijak juga mampu mengurangkan tekanan dan meningkatkan kualiti hidup mahasiswa sepanjang tempoh pengajian di universiti.
Mengimbangi kehidupan akademik dan peribadi menjadi keutamaan yang harus dititberatkan sepanjang pengajian. Mahasiswa perlu bijak mengatur jadual agar dapat berehat, bersosial dan melibatkan diri dalam aktiviti yang diminati. Dengan langkah-langkah ini, mahasiswa dapat menghadapi cabaran yang mendatang dengan lebih baik dan menikmati pengalaman pembelajaran yang lebih bererti.
Syabas dan tahniah diucapkan kepada semua mahasiswa baharu kerana berjaya melanjutkan pelajaran di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah, salah sebuah Rangkaian Universiti-universiti Teknikal Malaysia (MTUN). Momen ini bukan sahaja menandakan permulaan perjalanan akademik, tetapi juga membawa tanggungjawab besar untuk mengejar ilmu dan mencipta kecemerlangan. Sebagaimana yang dinyanyikan dalam lagu “Dari Kaki Tangga Ke Menara”, “Aku gembira menyaksikan, kau beroleh kejayaan”, berusahalah bersungguh-sungguh agar dapat membanggakan ibu bapa dan keluarga dengan kejayaan yang bakal dikecapi.
Oleh:
Hanisah Bon (Kasbon), Jamilah Bebe Mohamad dan Azimah Ahmad Zaki, Guru Bahasa, Pusat Bahasa Moden (PBM), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
E-mel: hanisah@umpsa.edu.my, jamilahbebe@umpsa.edu.my dan azimahaz@umpsa.edu.my
Dr. Nor Yazi Khamis
Pensyarah Kanan, Pusat Bahasa Moden (PBM), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
E-mel: nyazi@umpsa.edu.my
Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak menggambarkan pendirian rasmi Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
- 236 views