Menjaga Warisan, Membina Masa Depan: Tugas Universiti Teknikal dalam Menyimpan Khazanah Negara

Sejarah adalah asas penting kepada kewujudan peradaban sesuatu bangsa. Malahan sejarah adalah aset paling berharga yang perlu disimpan rapi untuk rujukan pada masa depan. Percayalah tanpa sejarah, tanpa dokumen sejarah, kedaulatan negara boleh tergugat, diganggu gugat dan terancam. Justeru, amat penting sekali khazanah negara iaitu sejarah negara di simpan rapi oleh institusi yang bertanggungjawab. Pada hari ini, dokumen sejarah, rakaman sejarah negara telah disimpan rapi di Arkib Negara. Walau bagaimanapun, tanggungjawab ini perlulah juga dibantu oleh insititusi kerajaan seperti universiti. Dalam hal ini, universiti perlu menjadi pusat sehenti bagi sejarah setempat. Mereka berperanan membuat kajian, mencari bahan dan maklumat, mengumpul dan menyebarkannya kepada orang ramai untuk dijadikan rujukan.
Sebagaimana yang telah diketahui umum, universiti teknikal adalah institusi pendidikan tinggi (IPT) nyang memberi tumpuan utama kepada bidang Sains Gunaan, Teknologi, Kejuruteraan dan Vokasional, di samping menawarkan bidang berkaitan Pembangunan Industri dan Kemahiran Profesional. Dalam konteks negara Malaysia, universiti teknikal berperanan bagi melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang mampu memenuhi keperluan industri dan memacu kemajuan teknologi negara pada masa hadapan.
Dalam era globalisasi di mana teknologi berkembang pesat, universiti teknikal bukan sahaja memainkan peranan sebagai pusat pembangunan ilmu dan inovasi, tetapi juga perlu mengambil peranan sebagai penjaga warisan bangsa agar tidak luput ditelan zaman.

Memelihara Warisan Bangsa
Warisan adalah berkaitan dengan sesuatu yang diterima secara turun-temurun oleh seseorang dan sesuatu kelompok masyarakat daripada generasi yang terdahulu. Ia menggambarkan memori kepada keseluruhan kehidupan sesuatu bangsa yang melambangkan ketamadunannya. Warisan bangsa meliputi bahasa, budaya, seni bina, teknologi tradisional, dan nilai-nilai masyarakat. Dapatlah disimpulkan warisan bangsa ini sangat berkait dengan sejarah negara dari pelbagai perspektif. Dalam hal ini, universiti teknikal juga mempunyai kapasiti dan kepakaran untuk mendokumentasikan, memulihara serta menyesuaikan warisan tersebut untuk simpanan masa hadapan. Tuntasnya, penjagaan dan pemeliharaan warisan bukan hanya tugas institusi tertentu, atau tugas universiti yang berteraskan sains kemanusiaan atau jabatan sejarah dan muzium, malahan ia menjadi sebahagian dari tanggungjawab universiti teknikal terhadap pembangunan negara yang berasaskan ilmu dan sejarah.

Bagi merealisasikan usaha di atas, universiti teknikal perlu menubuhkan Pusat Penyelidikan dan Dokumentasi Sejarah atau apa sahaja nama yang berkaitan. Nampak pelikkan? Tapi itulah yang perlu dimainkan oleh universiti teknikal hari ini iaitu untuk membantu kerajaan menyimpan dan merekod khazanah lama melalui teknologi moden. Dengan cara ini, universiti boleh menjadi pusat penyelidikan yang mendokumentasikan sejarah dan warisan negara. Di pusat ini juga, akan menjadi tempat untuk menyimpan dokumen, manuskrip, surat rasmi, dan koleksi bahan sejarah yang mempunyai nilai nasional. Usaha ini bukan sahaja memelihara sumber sejarah, tetapi juga menjadikannya rujukan utama kepada penyelidik dan masyarakat umum.
Pendigitalan Warisan Negara
Universiti memang bergantung kepada penyelidikan. Projek penyelidikan yang menumpukan kepada pemuliharaan seni bina, reka bentuk atau teknologi tradisional perlu dipindahkan ke bentuk digital. Penggunaan teknologi digital seperti pendokumentasian 3D, realiti maya (VR), realiti terimbuh (AR), dan pangkalan data digital, membolehkan warisan disimpan dan diakses generasi masa depan. Dalam hal ini, universiti teknikal boleh bekerjasama dengan pihak muzium, Arkib Negara serta institusi terlibat untuk memelihara serta memperkenalkan warisan melalui platform yang lebih interaktif dan berteknologi tinggi.

Tanamkan Rasa Cintakan Sejarah dan Warisan Bangsa
Universiti teknikal perlu bekerjasama dengan pihak kerajaan bagi menyuntik semangat patriotisme kepada para pelajar. Dalam hal ini, kejuruteraan dan teknologi perlu diselarikan dengan semangat patriotisma. Ini akan melahirkan tenaga mahir yang berkualiti bagi menaikkan nama negara di mata dunia. Dengan cara ini, pelajar bukan sahaja memahami sejarah sebagai fakta, tetapi juga sebagai pengalaman hidup yang membentuk nilai patriotisme dan tanggungjawab sosial. Bagi merealisasikan impian ini, kurikulum universiti teknikal boleh diselitkan dengan elemen sejarah negara, negara bangsa, sejarah teknologi masyarakat tempatan serta pengajian peradaban. Pelajar boleh didedahkan dengan aktiviti pameran warisan digital agar dapat menanamkan rasa cinta terhadap sejarah negara bangsa mereka. Kita ingin lahirkan pelajar atau tenaga kerja yang bukan sahaja menjadi jurutera atau teknologis yang berkemahiran tinggi, tetapi juga pewaris nilai dan identiti negara.
Jambatan Antara Tradisi dan Masa Depan
Secara amnya, universiti teknikal mampu menjadi jambatan antara teknologi moden dan warisan negara. Dalam hal ini, universiti boleh membuat inovasi seperti pemeliharaan bahan binaan tradisional menggunakan teknik kejuruteraan baharu atau reka bentuk lestari berasaskan seni bina warisan. Ini akan memperlihatkan keseimbangan antara menghargai masa lalu dan membina masa depan. Pendekatan ini akan dapat melahirkan konsep pembangunan mampan yang tidak mengabaikan akar budaya asal masyarakat setempat.
Kerjasama Antara Universiti Teknikal dan Institusi Kerajaan
Usaha penyelidikan dan pemeliharaan warisan negara memerlukan kolaborasi yang erat antara universiti dengan institusi lain seperti Arkib Negara, Muzium Negara, Muzium Negeri, Perpustakaan Negara, universiti-universiti awam dan institusi-institusi terpilih. Melalui kerjasama ini, universiti bukan sahaja mendapat akses kepada dokumen dan maklumat, malahan dapat menyumbang kepakaran dalam bidang penyelidikan, pemuliharaan, dan digitalisasi bahan sejarah yang menjadi warisan negara. Inisiatif bersama akan dapat mengurangkan kos penyelidikan, penerbitan dan pemeliharaan warisan sejarah negara.
Universiti teknikal, dengan kepakaran dan sumber yang ada bersama memikul amanah untuk memastikan sejarah bangsa terus hidup dalam bentuk yang relevan dan bermakna seiring dengan perkembangan teknologi moden. Dengan menggabungkan inovasi dan kesedaran sejarah, universiti bukan sahaja memelihara identiti dan sejarah negara, malahan dapat membina masa depan yang berteraskan nilai dan warisan bangsa berteraskan Sains dan Teknologi.

Oleh: DR. HASNAH HUSSIIN
E-mel: hasnah@umpsa.edu.my
Penulis adalah Pensyarah Kanan, Pusat Sains Kemanusiaan (PSK), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
Rencana ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak menggambarkan pendirian rasmi Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
- 54 views