Skip to main content

MPU 2026 Mengangkat Falsafah dan Aspirasi Negara Bangsa

Pendidikan tinggi di Malaysia tidak hanya menekankan kecemerlangan akademik. Ia turut memberi tumpuan kepada pembinaan jati diri, nilai moral dan perpaduan nasional. Sejarah pendidikan negara menunjukkan bahawa usaha melahirkan insan seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial merupakan aspirasi utama yang digariskan melalui Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) sejak tahun 1988. Melalui dasar inilah lahir konsep Mata Pelajaran Wajib (MPW) yang kemudian berevolusi menjadi Mata Pelajaran Umum (MPU), satu komponen penting dalam membentuk mahasiswa berakhlak dan berjiwa Malaysia.

MPW: Menyemai Nilai Kebangsaan

Pada dekad 1980-an dan 1990-an, institusi pengajian tinggi (IPT) mula sedar bahawa kejayaan pendidikan tidak boleh hanya diukur melalui kepakaran teknikal atau profesional. Negara memerlukan graduan yang bukan sahaja mahir dalam bidang masing-masing, tetapi juga memahami nilai, sejarah dan budaya tanah air.

Bagi memenuhi matlamat ini, kerajaan memperkenalkan Mata Pelajaran Wajib Universiti (MPW) di universiti awam (UA). Kursus ini dirangka untuk membentuk pelajar yang mengenal identiti negara, menghargai akar budaya, serta mengamalkan akhlak mulia dalam kehidupan seharian.

Kursus yang termasuk di bawah MPW ialah Bahasa Melayu, Pengajian Islam, Tamadun Islam dan Tamadun Asia (TITAS) serta Etika dan Nilai Kemanusiaan. Namun, pelaksanaannya tidak seragam antara universiti awam dan swasta. Ketidakseeragaman inilah yang akhirnya membawa kepada keperluan untuk menstruktur semula dasar tersebut supaya lebih menyeluruh dan tersusun.

Transformasi MPW ke MPU: Pendidikan Holistik Bermula (2013)

Menjelang tahun 2013, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) melaksanakan reformasi besar dengan memperkenalkan Mata Pelajaran Umum (MPU) bagi menggantikan MPW. Perubahan ini lahir daripada keperluan menjadikan pendidikan tinggi lebih holistik dan relevan dengan keperluan abad ke-21.

MPU dirangka sebagai sistem yang lebih komprehensif dan inklusif. Ia menggabungkan empat komponen utama:

U1 (Tamadun, Etika dan Hubungan Etnik) - mengukuhkan kefahaman terhadap sejarah, budaya dan semangat perpaduan.

U2 (Kemahiran Insaniah) - melatih pelajar dalam komunikasi, kepemimpinan dan kerja berpasukan.

U3 (Perluasan Ilmu Pengetahuan) - memberi peluang kepada pelajar meneroka ilmu tambahan di luar bidang pengajian utama.

U4 (Khidmat Komuniti) - menekankan pembelajaran berasaskan pengalaman melalui aktiviti kesukarelawanan dan projek masyarakat.

Dengan struktur baharu ini, semua pelajar universiti diwajibkan mengambil MPU sebagai syarat kelulusan. Langkah ini menjadikan MPU bukan sekadar subjek sampingan, tetapi satu landasan penting dalam pembinaan modal insan berilmu, beretika dan berjiwa Malaysia.

Era Pendidikan MADANI: Nilai, Moral dan Tanggungjawab Sosial (2020–2025)

Memasuki dekad 2020-an, Malaysia berdepan cabaran sosial yang lebih kompleks. Polarisasi kaum, tekanan globalisasi, dan kemajuan teknologi mula memberi kesan terhadap nilai masyarakat. Dalam suasana ini, peranan MPU menjadi semakin penting sebagai ruang pembelajaran nilai dan moral.

Kerajaan MADANI yang diterajui oleh Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa pendidikan harus berteraskan moral serta tanggungjawab sosial. Dalam Ucapan Belanjawan 2026, beliau menekankan bahawa “belanjawan adalah pernyataan moral antara kerajaan dan rakyat.” Ungkapan ini mencerminkan semangat yang sama dengan falsafah MPU, iaitu membina masyarakat yang berintegriti dan berjiwa kemanusiaan.

Salah satu inisiatif penting ialah Service Learning Malaysia – University for Society (SULAM). Program ini menggabungkan teori akademik dengan kerja kemasyarakatan, menjadikan pelajar bukan sahaja cemerlang dalam bilik kuliah, tetapi juga peka terhadap realiti sosial di luar kampus. Melalui pengalaman ini, mahasiswa dilatih menjadi individu yang empati, bertanggungjawab dan berdaya tahan dalam menghadapi cabaran dunia sebenar.

Reformasi MPU 2026: Memperkasa Peradaban dan Identiti Negara Bangsa

Mulai tahun 2026, MPU akan mengalami satu lagi fasa penting apabila dua modul baharu diperkenalkan; Falsafah dan Cabaran Semasa serta Aspirasi Negara Bangsa. Langkah ini bertujuan memperkukuh kesinambungan pendidikan nilai dan memperdalam kefahaman mahasiswa terhadap erti peradaban Malaysia.

Modul Falsafah dan Cabaran Semasa memberi ruang kepada pelajar menilai isu kontemporari seperti perubahan iklim, kecerdasan buatan, dan etika digital dari sudut pandang falsafah serta nilai tempatan. Ia bukan sekadar memperkenalkan ilmu baharu, tetapi juga mengasah keupayaan berfikir secara kritikal dan rasional.

Sementara itu, Aspirasi Negara Bangsa menumpukan kepada pembinaan semangat patriotisme, kefahaman sejarah, dan penghargaan terhadap budaya serta tatasusila. Modul ini turut menonjolkan seni dan warisan sebagai asas identiti negara bangsa. Pendekatan ini menegaskan bahawa kemajuan sebenar tidak hanya bergantung pada ekonomi atau teknologi, tetapi pada kekuatan nilai dan maruah bangsa.

MPU sebagai Teras Pendidikan Malaysia MADANI

Evolusi MPU daripada MPW hingga reformasi 2026 menunjukkan komitmen berterusan kerajaan untuk menjadikan pendidikan tinggi sebagai medan pembentukan insan yang seimbang dan mempunyai peradaban tinggi. Setiap perubahan dalam kurikulumnya mencerminkan adaptasi terhadap cabaran zaman, namun matlamat asalnya tetap sama; membina manusia yang berilmu, berakhlak dan bertanggungjawab terhadap diri, masyarakat dan negara.

Kini, MPU bukan lagi kursus pelengkap dalam pengajian universiti. Ia telah menjadi teras pendidikan kebangsaan yang menyatukan ilmu dan nilai, menghubungkan kampus dengan masyarakat, serta melahirkan warga yang memahami makna sebenar kemerdekaan dan kemanusiaan.

Dalam semangat Malaysia MADANI, pelajar yang melalui sistem MPU diharapkan bukan sekadar cerdas akalnya, tetapi juga luhur budinya. Mereka ialah generasi yang mampu berfikir dengan bijak, bertindak dengan adab, dan membawa warisan bangsa ke pentas dunia tanpa mengorbankan identiti sendiri.

ahmah ibrahim

Oleh: Ahmad Ibrahim
E-mel: ahmadbi@umpsa.edu.my

Penulis adalah Pensyarah, Pusat Sains Kemanusiaan (PSK), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).

Rencana ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak menggambarkan pendirian rasmi Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri