MTUN buka peluang pengajian tinggi untuk bidang TVET
Majlis Perasmian Minggu Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) Negara 2022 dan pengisytiharan 2 Jun sebagai Hari TVET Negara oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri menggambarkan kesungguhan Kerajaan Malaysia untuk meningkatkan martabat TVET sebagai bidang pilihan utama dan bukan lagi sebagai bidang yang menjadi pilihan terakhir dalam meneruskan pengajian.
Kerajaan juga telah memperuntukkan RM 6.6 bilion dalam Bajet 2022 bagi memperkasa bidang TVET. Telah banyak pihak seperti sektor awam dan sektor swasta yang memberikan pandangan dan ulasan mengenai kepentingan pembangunan bidang TVET di Malaysia.
Kepentingan bidang TVET tidak hanya terhad kepada transformasi sistem pendidikan TVET sahaja. Malah, bidang TVET mampu meningkatkan kebolehpasaran graduan berkompetensi dan berkemahiran tinggi selaras dengan keperluan industri. Ini dibuktikan oleh negara Jerman dan Korea yang menjadikan aliran TVET sebagai pilihan utama dan setanding dengan aliran akademik. Dengan demikian, persepsi bahawa bidang TVET sebagai pendidikan kelas kedua adalah sudah tidak relevan, promosi secara berterusan dan penjenamaan semula adalah perlu dilaksanakan secara komprehensif.
Oleh yang demikian, Malaysia sebagai sebuah negara yang sedang membangun perlu berusaha untuk memperkasakan institusi dan pelaksanaan TVET agar dapat memberi impak positif seperti meningkatkan pembangunan tenaga manusia dalam bidang kemahiran dan berupaya menjadikan ekonomi negara berpendapatan tinggi serta mampu bersaing di peringkat global.
Pelajar bidang TVET juga tidak terhenti setakat tahap pengajian peringkat diploma. Mereka kini berpeluang melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana muda dan peringkat pengajian lebih tinggi melalui pelbagai program yang ditawarkan oleh Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) yang terdiri daripada empat gabungan universiti yang berasaskan teknikal iaitu Universiti Malaysia Pahang (UMP), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dan Universiti Tun Hussien Onn Malaysia (UTHM).
Meningkatkan enrolmen pelajar untuk memilih bidang TVET sebagai pilihan utama merupakan satu cabaran yang perlu di atasi agar tidak bergantung kepada tenaga kerja berkemahiran tinggi dari luar negara. Maka, demi mengarusperdanakan bidang TVET di Malaysia, persepsi ibu bapa, para pelajar dan generasi muda perlu positif dan seiring dengan revolusi siber fizikal. Ia memberi tumpuan kepada tenaga kerja berkemahiran tinggi seperti yang telah digariskan dalam Revolusi Perindustrian Keempat (Industrial Revolution 4.0).
Bukan itu sahaja, graduan dalam bidang TVET juga mampu untuk menjadi usahawan. Mereka dapat berdikari dan mencipta peluang pekerjaan sendiri setelah melalui pelbagai latihan, kemahiran dan pendedahan teknologi yang diperoleh sepanjang pengajian di institusi TVET. Ternyata, bidang TVET bukan sahaja mampu melahirkan bilangan pekerja mahir dan terlatih, malah berupaya mencipta pekerjaan sendiri berbekalkan kemahiran yang dimiliki.
Selain itu, perkembangan terkini menunjukkan ramai belia melibatkan diri dalam ekonomi gig seperti syarikat e-panggilan (e-hailing). Melalui pelbagai platform digital ini mereka mampu menjana ekonomi di samping waktu kerja yang tidak terikat dan lebih bebas berbanding pekerjaan tradisional yang memerlukan komitmen dan masa yang telah ditetapkan oleh pihak syarikat.
Namun begitu, kita juga perlu sedar bahawa untuk jangka masa panjang individu yang terlibat dalam ekonomi gig ini juga perlu meningkatkan kemahiran dan ilmu agar pembangunan modal insan yang bersepadu di Malaysia dapat direalisasikan serta memenuhi keperluan semasa.
Oleh itu, peningkatan jumlah pekerja dalam sektor ekonomi gig perlu seiring dengan peningkatan kemahiran pekerja yang berfokus kepada bidang TVET. Kolaborasi antara pelbagai kementerian dan sektor swasta perlu diperkukuhkan untuk meningkatkan keberkesanan pembangunan modal insan dan memanfaatkan semua lapisan masyarakat. Pendekatan holistik akan memenuhi keperluan setiap rakyat Malaysia di sepanjang peringkat kehidupan.
Kerajaan juga perlu terus berusaha untuk melindungi hak pekerja ekonomi gig meskipun bidang ini dilihat mampu menjadi sumber baharu pertumbuhan ekonomi. Belia perlu menceburi bidang TVET kerana bidang ini dapat meningkatkan kepelbagaian kecerdasan dan kemahiran psikomotor. Prospek kerjaya graduan TVET dalam pelbagai bidang kemahiran dan teknikal adalah lebih luas dan ini dapat mengurangkan kebergantungan kepada satu bidang pekerjaan sahaja. Selain dari jaminan pilihan kerjaya yang luas, mereka yang mempunyai kreativiti dan daya usahawan juga amat digalakkan untuk menghasilkan produk dan inovasi baharu serta berpotensi untuk dikomersialkan.
Terdapat dua langkah utama untuk meningkatkan enrolmen pelajar untuk memilih bidang TVET.
Pelajar Lepasan Diploma TVET
Sebelum tahun 2019, peluang pelajar Lepasan Diploma TVET iaitu Diploma Kemahiran Malaysia (DKM), Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia (DLKM) dan Diploma Vokasional Malaysia (DVM) untuk menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi di Universiti Awam (UA) adalah amat terhad.
Merujuk Pekeliling MQA Bil.9/2019, Pelaksanaan Laluan Pendidikan Graduan TVET:Penambahbaikan Laluan Pendidikan Graduan TVET, Lepasan Diploma TVET berpeluang untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi berdasarkan kesesuaian bidang dengan pindaan Syarat Kemasukan yang diluluskan oleh Senat Universiti.
Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) selaku universiti teknikal menyambut baik langkah ini dengan menawarkan pelbagai program Sarjana Muda Teknologi yang bersesuaian dan khusus untuk pelajar lepasan Diploma TVET seperti bidang yang berkaitan dengan Teknologi Pembinaan Bangunan, Teknologi Automasi Elektronik Industri, Teknologi Penyelenggaraan Sistem Elektrik, Teknologi Penyelenggaraan Fasiliti Minyak dan Gas, Teknologi Kimpalan, Teknologi Pemesinan Industri dan Teknologi Automotif.
Pelajar Lepasan Diploma Politeknik
Melalui kolaborasi strategik MTUN dan Jabatan Pengajian Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) akan membuka peluang dan kesinambungan laluan akademik kepada pelajar Politeknik untuk menyambung pengajian ke peringkat sarjana muda
Bidang TVET seperti Teknologi Kejuruteraan Awam, Teknologi Kejuruteraan Mekanikal, Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses, Teknologi Kejuruteraan Pembuatan dan Mekatronik dan Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif adalah antara program yang ditawarkan oleh pihak MTUN.
Inisiatif ini dapat direalisasikan melalui Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara JPPKK dan MTUN yang berlangsung di Hotel Tenera, Bangi pada 2 Jun 2022 dan disaksikan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad.
MTUN juga perlu meningkatkan peratusan kemasukan para pelajar Lepasan Diploma Polilteknik dan tidak hanya tertumpu kepada para pelajar Lepasan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), Matrikulasi dan Asasi sahaja.
Ternyata, Malaysia sangat berpotensi untuk menjadi negara maju dan masyarakat berpendapatan tinggi. Matlamat ini dapat dicapai melalui peningkatan enrolmen pelajar dalam bidang TVET ke peringkat pengajian yang lebih tinggi bagi melahirkan modal insan berkualiti tinggi. nMelalui peruntukan bajet yang besar, peluang pendidikan dan latihan teknikal yang disediakan kepada generasi muda pasti mereka mampu menghasilkan pelbagai produk, inovasi dan teknologi baharu.
Helmi Mohamed Isa
Penulis ialah Pengurus, Pusat Hal Ehwal Korporat dan Kualiti (PHKK), Universiti Malaysia Pahang (UMP)
e-mel: helmi@ump.edu.my
- 2009 views