Pengurusan Orang Kurang Upaya (OKU) menggunakan pendekatan ‘Haddon Matrix’
Insiden melibatkan Orang Kurang Upaya (OKU) yang tular di media sosial dilihat sangat membimbangkan. Antaranya insiden seorang lelaki pemegang kad OKU kategori mental yang dipukul beramai-ramai akibat salah faham. Rentetan daripada insiden tersebut, semua pihak perlu bekerjasama bagi meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat Malaysia tentang pengurusan OKU.
Menurut Akta Orang Kurang Upaya 2008, OKU ditakrifkan sebagai individu yang mempunyai kesulitan dari segi fizikal, mental, intelektual yang boleh menyekat penyertaan penuh dalam masyarakat. OKU boleh dibahagikan kepada beberapa kategori seperti Jadual 1.0:
Berdasarkan Jadual 1.0, jumlah bilangan OKU yang aktif berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ialah seramai 751,421 orang iaitu bersamaan dengan 2.2 peratus daripada jumlah keseluruhan populasi penduduk Malaysia pada tahun 2024. Jumlah direkodkan terdiri daripada pelbagai kaum dan peringkat umur. Berdasarkan statistik ini, pihak kerajaan atau pertubuhan bukan kerajaan boleh merangka program-program bagi dinikmati oleh golongan OKU yang berdaftar.
Hari Antarabangsa Orang Kurang Upaya merupakan sambutan yang telah diiktiraf Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu sejak tahun 1992. 3 Disember telah dipilih sebagai tarikh bagi meraikan warga OKU setiap tahun. Hal ini menunjukkan bahawa golongan OKU masih mempunyai ruang dan tidak disisihkan dalam masyarakat khususnya di Malaysia selari dengan Pelan Tindakan Kebangsaan OKU (2021-2030) yang dilancarkan pada tahun 2021 bertujuan untuk meningkatkan perkhidmatan, hak dan kesejahteraan OKU serta menggalakkan penglibatan aktif mereka dalam masyarakat tanpa mengira halangan.
Bagi memastikan pelan ini dapat memberikan impak yang besar, pandangan cendekiawan perlu diambil kira bagi merangka kaedah pencegahan secara menyeluruh untuk mengurangkan risiko kemalangan atau kecederaan yang boleh diguna pakai untuk pengurusan OKU di semua fasiliti berkaitan. Elemen dalam ‘Haddon Matrix’ dilihat berpotensi untuk diguna pakai dalam konteks pengurusan OKU. Pendekatan ini melibatkan perancangan dan analisis intervensi bagi mengatasi isu yang melibatkan tingkah laku individu, peralatan dan persekitaran OKU. Elemen yang terlibat adalah faktor individu, faktor peralatan dan faktor persekitaran yang dikenal pasti dalam tiga fasa kejadian seperti Jadual 1.1.
Oleh yang demikian, isu-isu melibatkan warga OKU diharapkan tidak berulang lagi khususnya di Malaysia. Hal ini penting untuk memastikan setiap lapisan masyarakat mempunyai tahap pengetahuan dan kesedaran yang baik mengenai kewujudan warga OKU seperti kategori yang dinyatakan di atas. Selain itu, diharapkan tiada berlaku penyalahgunaan kemudahan asas OKU oleh individu yang kurang bertanggungjawab. Walaupun kita telah memasuki tahun 2025, namun isu-isu berkaitan kemudahan OKU ini masih berada pada tahap kurang memuaskan sama ada di fasiliti awam atau komersial yang memerlukan perhatian sewajarnya daripada semua pihak. Diharapkan melalui pendekatan ‘Haddon Matrix’ dalam pengurusan warga OKU ini dapat menyediakan pendekatan yang lebih holistik dalam menangani isu keselamatan dan risiko berkaitan warga OKU.

Penulis adalah Pensyarah Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
E-mel: mohdnajibyacob@umpsa.edu.my
- 373 views