Reruai Pameran Bahasa Melayu: Usaha memupuk pembelajaran bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu secara kreatif dengan elemen budaya dan permainan bahasa
Reruai Pameran Bahasa Melayu yang mengetengahkan suasana Pasar Kayangan Permai sempena Karnival Bahasa dan Budaya (LCC) 2024 anjuran Pusat Bahasa Moden (PBM), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah diadakan pada 9 Oktober 2024 baru-baru ini.
Reruai Pameran Bahasa Melayu memainkan peranan penting dalam usaha memupuk minat dan penghargaan terhadap bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Melalui pendekatan kreatif yang menggabungkan elemen budaya dan permainan bahasa, pameran ini bertujuan untuk memperkenalkan bahasa Melayu bukan sahaja sebagai alat komunikasi, tetapi juga sebagai bahasa yang kaya dengan ilmu pengetahuan. Dengan memanfaatkan elemen budaya, seni dan interaktiviti, pameran ini diharap dapat memperkaya pengalaman pembelajaran bahasa Melayu, sekali gus menggalakkan para pelajar UMPSA khususnya untuk lebih menghargai dan menguasai bahasa ini dalam konteks akademik dan intelektual.
Ruang pameran pertama mengetengahkan suasana Pasar Kayangan Permai dengan tujuan untuk memperkenalkan dan mempopularkan aspek kehidupan masyarakat Melayu melalui suasana pasar yang penuh warna-warni dan kehidupan. Tema pasar di pilih untuk mencerminkan kehidupan harian masyarakat serta interaksi sosial yang berlaku di dalam komuniti tempatan. Suasana jual beli barang makanan harian masyarakat di sebuah kampung dapat dihayati dan para pelajar antarabangsa diberi peluang untuk melihat dan memahami bagaimana kehidupan seharian masyarakat tempatan, khususnya dalam aspek jual beli barang harian.
Selain itu, ruang pameran ini juga bertujuan memberikan gambaran praktikal kepada para pelajar antarabangsa tentang penggunaan bahasa Melayu. Mereka berpeluang mempraktikkan bahasa Melayu yang mereka pelajari melalui pelbagai situasi jual beli yang dilakonkan, sekali gus meningkatkan penguasaan bahasa dalam konteks kehidupan sebenar. Contohnya, pelajar antarabangsa dapat mempelajari kata-kata penting seperti harga barang, cara bertanya, serta istilah-istilah dalam konteks jual beli seperti “Berapa harga?”, “Murah” dan “Mahal”. Semua kosa kata harian ini yang akan membantu mereka berkomunikasi dengan lebih lancar dalam situasi biasa di pasar.
Ruang pameran kedua menampilkan replika pondok rehat yang berbumbung atap dengan reka bentuk corak atap rumah tradisional negeri Pahang. Pondok ini berfungsi sebagai tempat berehat dari aktiviti harian dan ketika pameran ini dijadikan sebagai tempat mengambil foto kenangan oleh pengunjung reruai pameran ini. Selain itu, ruang ini juga mempamerkan permainan tradisional seperti congkak yang menjadi salah satu elemen permainan tradisional penting dalam budaya Melayu.
Seterusnya suasana autentik, ruang pameran ini dihiasi dengan wau, pokok-pokok dan suasana kehidupan ayam yang dipelihara di sekitar rumah. Keadaan ini menggambarkan kehidupan dan aktiviti masyarakat Melayu terdahulu, iaitu permainan seperti congkak dan wau sememangnya sinonim dengan budaya dan tradisi orang Melayu. Manakala ayam mempunyai signifikan penting sebagai haiwan peliharaan dan permainan sabung ayam yang pernah popular dalam kalangan masyarakat Melayu sebagai hiburan dan simbol keberanian.
Manakala, ruang pameran ketiga menyajikan suasana yang menyerupai sebuah muzium, mempamerkan lukisan tangan yang menggambarkan haiwan ayam dalam pelbagai aksi bersama dengan pameran tokoh-tokoh legenda Melayu. Ruang ini juga dilengkapi dengan kod QR dan buku-buku dongeng dan bahan ilmiah dalam bahasa Melayu yang dihasilkan oleh pelajar. Kod QR membolehkan pengunjung mengakses maklumat lebih mendalam tentang setiap tokoh yang ditonjolkan, sementara buku-buku dongeng membawa pengunjung menyelami cerita rakyat yang kaya dengan nilai budaya Melayu dan nasihat berguna.
Di ruang ini, pengunjung berpeluang melihat lukisan tangan yang menggambarkan pelbagai aktiviti masyarakat Melayu, terutamanya yang berkaitan dengan kehidupan ayam dan warisan budaya Melayu. Lukisan-lukisan ini bukan sahaja menonjolkan keindahan seni tradisional, tetapi juga memberikan gambaran tentang hubungan intim antara ayam dan masyarakat Melayu dalam kehidupan harian mereka, serta dalam aspek budaya dan kepercayaan. Pameran ini memberi peluang kepada pengunjung untuk lebih menghargai kekayaan tradisi Melayu yang sarat dengan simbolisme, makna dan nilai-nilai sejarah yang mendalam.
Selain itu, ruang pameran ini turut dihiasi dengan hiasan dinding bercorak daun sirih dan alat pertahanan diri seperti tombak, yang melambangkan elemen budaya Melayu yang kaya dengan adat resam. Corak daun sirih mencerminkan simbol penghormatan dan keikhlasan dalam budaya Melayu, manakala tombak menggambarkan kekuatan dan keberanian dalam mempertahankan maruah. Kedua-dua elemen ini memperlihatkan keindahan serta nilai-nilai tradisional yang mendalam dalam masyarakat Melayu.
Di ruang ini juga turut dipamerkan aktiviti permainan bahasa, yang memberi peluang kepada pengunjung untuk mengenali dengan lebih dekat warisan bahasa dan budaya Melayu. Melalui permainan ini, para pengunjung dapat merasai keunikan bahasa Melayu serta memahami peranannya dalam membentuk identiti budaya bangsa. Antara permainan bahasa yang diadakan ialah Gerak Santun (teka gaya antonim), Santapan Nasib (pilih dialek secara rawak), Putaran Maharaja (roda impian peribahasa), dan Patik pintar (sesuaikan gambar flashcard dengan bahasa istana).
Sebagai rumusan, pameran ini bukan sahaja memperkenalkan aspek seni dan budaya, tetapi juga memperkaya pemahaman tentang pentingnya bahasa dalam memelihara warisan budaya Melayu. Pembelajaran bahasa Melayu menerusi ruang pameran dan permainan bahasa ini sememangnya dapat membantu usaha menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Pembelajaran di luar kelas sebegini dan terbuka kepada semua peringkat pelajar menjadikan pembelajaran terhadap bahasa Melayu lebih menarik dan kreatif. Suasana sebegini juga akan meninggalkan pengalaman yang berkesan kepada mereka.
Penulis adalah Guru Bahasa, Pusat Bahasa Moden, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
E-mel: jamilahbebe@umpsa.edu.my
- 53 views