Revolusi Pembelajaran Sejarah: Aplikasi Kaedah 3M di Era AI
Sejarah tidak boleh dipisahkan dengan sesebuah masyarakat. Perkembangan tamadun manusia itu sendiri berasaskan kepada sejarah. Jadi, siapalah kita untuk menidakkan sejarah dalam pembangunan negara bangsa. Moden atau maju sesebuah negara bangsa terletak kepada sejarah bangsanya. Justeru itu, subjek sejarah merupakan subjek penting yang diajar di sekolah dan ia menjadi subjek pilihan di institusi pengajian tinggi. Pelajar sering mengatakan bahawa pelajaran sejarah penuh dengan tarikh, orang dan tempat yang sering memerlukan hafalan, hafalan dan hafalan. Tetapi jika diajar dengan niat untuk memberi inspirasi dan melibatkan diri, sejarah bukanlah membosankan atau sekadar untuk ditonton dan lulus peperiksaan.
Falsafah Pendidikan Kebangsaan:
“Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah lebih memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani, berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan warganegara Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri, serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara.”
Inti pati utama Falsafah Pendidikan Kebangsaan adalah untuk melahirkan warganegara yang seimbang rohani dan jasmani yang bakal memberi sumbangan yang besar kepada masyarakat dan negara. Perkembangan pesat teknologi dengan lahirnya berbagai jenis media sosial dan terkini teknologi AI (teknologi kecerdasan buatan) akan memberikan cabaran yang besar kepada pendidikan sejarah di negara ini.
Sebagaimana yang dinyatakan tadi, kemajuan pesat teknologi maklumat hari ini pastinya memberi kesan kepada minat generasi muda terhadap bidang sejarah. Ia bukan sahaja memberi kesan kepada pelajar, malahan ia memberikan kesan yang besar juga kepada guru-guru untuk memikirkan apakah cara yang sesuai untuk diaplikasikan pada generasi IT masa kini. Salah satu trend terkini yang telah mempengaruhi manusia seluruh dunia adalah teknologi kecerdasan buatan (AI) melalui ChatGPT. Kemunculan ChatGPT memberi kesan yang hebat dalam sistem pendidikan negara dari peringkat rendah, menengah dan institusi pengajian tinggi. Jika anda pernah berharap anda boleh membawa Abraham Lincoln atau Albert Einstein ke kelas sebagai penceramah jemputan, kini, kecerdasan buatan mungkin dapat menawarkan yang lebih baik dari menjemput penceramah tersohor dunia.
Apa yang perlu difikirkan pada masa kini adalah mencipta aktiviti di luar kotak yang boleh diguna pakai bersama dengan kaedah Chat GPT. Antara kaedah yang dicadangkan adalah mengaplikasikan kaedah 3M iaitu Merekod, Menganalisis dan Mentafsir. Tiga kaedah ini dirasakan dapat membantu pembelajaran sejarah di samping menggunakan kaedah ChatGPT sebagai asas. Dengan ini ia akan dapat mengelakkan pelajar dari hanya mencari, menyusun dan menyimpan jawapan, ibarat kata pepatah cari, jumpa dan simpan. Jadi di sini, cuma ada usaha mencari tetapi tidak ada kemahiran untuk menyusun, mentafsir ilmu yang telah dipelajari serta menguasai impak ilmu tersebut kepada kehidupan seharian mereka.
Kaedah merekod merangkumi usaha sama ada menyusun, mengorganisasi dan menstruktur boleh dilaksanakan dengan cara membangunkan strategi dalam bilik darjah untuk menghubungkan pelajar dengan sesuatu peristiwa dengan lebih mendalam. Dalam hal ini, pelajar perlu mencari peristiwa sejarah yang mengasyikkan dan menarik pelajar untuk merasai secara emosi dalam sejarah yang mereka pelajari. Sebagai contoh, daripada memberi ceramah kepada pelajar tentang sejarah negara Malaysia mengikut kronologi, alangkah eloknya jika pelajar diberi tugasan untuk merekod peristiwa-peristiwa penting yang berlaku dalam sejarah negara dengan bantuan ChatGPT. Setelah itu, peristiwa tersebut disusun menggunakan kaedah yang mudah untuk difahami dan menggunakan penyampaian yang menarik. Cadangkan pelajar membandingkan susunan atau struktur sejarah beberapa negara yang lain dalam beberapa tempoh tertentu dengan negara Malaysia. Ini boleh membantu mereka meluaskan perspektif mereka agar tidak menganggap sejarah itu milik negara mereka sahaja. Ini secara tidak langsung mendidik pelajar membuat liputan tentang peristiwa sejarah global dan di luar kotak.
Kaedah kedua adalah dengan cara menganalisis. Secara amnya, fakta boleh sahaja didapati di ChatGPT. Untuk itu, gunakan platform ini untuk pelajar mendapatkan data dan fakta, dan setelah itu bandingkan dengan fakta yang ada dalam buku sejarah. Di sini secara tidak langsung pelajar telah diajar untuk belajar perkara asas dalam analisis. Jika fakta setara, maka para pelajar perlu diarahkan untuk membuat analisis terhadap sesuatu peristiwa sejarah. Sebagai contohnya berikan pelajar tugasan mengkaji tentang tokoh sejarah. Elakkan daripada merekodkan kesilapan dan kelemahan mereka tetapi memfokuskan kepada detik-detik penting dalam zaman kanak-kanak atau awal dewasa mereka yang membantu membentuk siapa mereka pada suatu masa tersebut. Pelajar juga boleh ditugaskan untuk mencari beberapa penulisan sejarah yang ditulis oleh penulis Barat tentang negara ini dan menganalisis pendapat atau penulisan mereka. Apakah wujud konspirasi atau kepentingan dalam penulisan mereka. Ini cenderung menarik minat pelajar, dan menyuruh pelajar berlatih menggunakan kemahiran analisis sejarah untuk menyelidik dakwaan itu dan cuba mencari sumber yang boleh dipercayai yang menyokongnya.
Ramai guru sejarah merasakan bahawa adalah wajar untuk mengajar era sejarah secara kronologi. Tetapi selalunya, bahagian yang paling menarik dalam cerita adalah di tengah, atau bahkan di penghujung. Jadi, mengapa tidak memulakan analisis di sana? Pendekatan ini serupa dengan rancangan jenayah TV yang mendedahkan mayat pada minit pertama dan kemudian menghabiskan sisa rancangan itu dengan mengumpulkan bukti. Memandangkan tindak balas yang dijana AI adalah jauh daripada boleh dipercayai, ahli sejarah dan pendidik sejarah Jonathan S. Jones mendorong pemikiran kritis pelajar dengan meminta mereka meneliti output berkaitan sejarah daripada ChatGPT dan mencari kesilapan fakta dan maklumat.
Akhir sekali pelajar perlu diajar bagaimana untuk mentafsir sesuatu peristiwa sejarah. Sesuatu peristiwa yang berlaku semestinya ada cerita dan pengajaran yang tersendiri. Dalam hal ini, pelajar perlu belajar untuk mentafsir sejarah berdasarkan peristiwa yang berlaku sama ada ia memberi pengajaran, pengalaman atau ilmu baru. Jadi dengan adanya teknologi AI pelajar mendapatkan fakta dan dari fakta tersebut pelajar belajar melahirkan idea baharu atau memberi pendapat sendiri berdasarkan fakta yang telah diperoleh. Diharap penerangan ini akan membantu saya dan guru-guru di luar sana menggunakan teknologi AI dengan lebih bermakna dalam sistem pembelajaran dan pengajaran subjek sejarah.
Dr. Hasnah Hussin
Penulis ialah Pensyarah Kanan, Pusat Sains Kemanusiaan (PSK), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak menggambarkan pendirian rasmi Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
E-mel: hasnah@umpsa.edu.my
- 166 views