Skip to main content

Seni dalam penyeliaan pascasiswazah

Bidang penyeliaan bukanlah satu bidang yang mudah. Apatah lagi apabila seorang ahli akademik yang baharu sahaja tamat pengajian ijazah doktor falsafah (PhD) terus diberikan tanggungjawab menyelia pelajar di peringkat ijazah sarjana atau Doktor Falsafah. 

Di Universiti Malaysia Pahang (UMP), Kursus Penyeliaan disediakan kepada ahli-ahli akademik yang masih baharu dan belum berpengalaman dan ini sedikit sebanyak dapat membantu penyelia muda bersedia dari segi mental, emosi dan fizikal. 

Sesungguhnya, proses penyeliaan ini amatlah mencabar. Mungkin tidak pada semua penyelia tetapi ini adalah pengalaman penulis sendiri. Walaupun telah berjaya melahirkan beberapa pelajar di peringkat sarjana dan doktor falsafah namun pengalaman penyeliaan dari seorang pelajar ke pelajar yang lain amat berbeza. Tujuan artikel ini ditulis adalah untuk berkongsi pengalaman yang dirasakan dapat menjentik motivasi pelajar dan refleksi kepada para penyelia yang mungkin mempunyai pengalaman yang sama dan berbeza dengan penulis. 

Walaupun penyeliaan ini memberikan cabaran yang hebat kepada penyelia, namun apabila pelajar berjaya bergraduat, maka itulah kepuasan dan kejayaan yang besar bagi seorang penyelia. Pada ketika itu, terbayang-bayang situasi pelajar itu pada hari pertama beliau menjejakkan kaki ke pejabat, bagaimana peritnya untuk mencari gap  of the research, dan bagaimana penyelia dan pelajar sama-sama membuat pembacaan serta penulisan untuk menerbitkan artikel jurnal yang pertama dan pelbagai peristiwa lagi. 

Namun, hubungan yang baik antara penyelia dan pelajar amatlah penting untuk memastikan kejayaan itu. Tip yang akan dibincangkan di bawah adalah berdasrkan pengalaman penulis sendiri sebagai seorang penyelia. 

Persefahaman

Persefahaman sesama penyelia dan pelajar adalah aspek yang paling penting untuk memastikan proses penyeliaan berjaya. Penyelia harus berfikiran terbuka dengan cadangan-cadangan yang diberikan oleh pelajar dan pelajar juga seharusnya tidak mengambil hati jika ditegur oleh penyelia jika ia berkaitan dengan pengajian. 

Contohnya, ada penyelia yang tidak selesa dengan menyemak bab tesis secara dalam talian, maka pelajar harus faham dan menghantar salinan cetak dokumen. Pengalaman menunjukkan jika tiada persefahaman, maka proses komunikasi tidak akan berlaku, dan penyeliaan tidak akan membuahkan hasil yang positif. Analogi penyeliaan adalah seperti sebuah perkahwinan iaitu komunikasi adalah tunggak penting. Oleh itu, budaya berbincang dan berunding haruslah diterapkan di dalam proses penyeliaan ini. Pelajar juga harus sentiasa mendoakan kebaikan kepada penyelia dan sebaliknya, tidak mengira bangsa, agama dan warna kulit. 

Harapan yang jelas

Harapan yang jelas di antara penyelia dan pelajar juga boleh mengurangkan permasalahan sepanjang proses penyeliaan. Proses ini bermula dari hari pertama perjumpaan. Penyelia harus menerangkan apakah harapannya kepada pelajar. Contohnya, perbincangan ini boleh dijalankan dengan merujuk kepada milestone pengajian pelajar. Dengan adanya rujukan tersebut, pelajar akan lebih maklum, bersedia dan komited dengan pengajiannya. Jika pelajar berjaya mencapai satu milestone contohnya, penyelia seharusnya mengucapkan tahniah dan memberi pujian kepada pelajar kerana ini akan lebih memotivasikan pelajar tersebut untuk mencapai kejayaan yang lain. Kekerapan pertemuan antara penyelia dan pelajar juga mungkin perlu ditetapkan supaya kemajuan pengajian pelajar tidak statik. Walau bagaimanapun, penyelia juga harus memahami jika pelajar tidak dapat menghadiri pertemuan yang ditetapkan. 

Komitmen yang jitu

Untuk mengraduatkan seseorang pelajar, penyelia dan juga pelajar wajib memberikan komitmen yang tinggi. Pelajar sepenuh masa tidak seharusnya mengikat diri dengan kerja-kerja di luar kajiannya. Jika tidak, proses pengajian akan terganggu dan ini akan melambatkan proses graduasi. Contohnya, jika pelajar itu menjalankan perniagaan secara separuh masa, pelajar tersebut terpaksa membahagikan masanya untuk perniagaan dan juga kajian. 

Kesimpulannya, komitmen dalam pengajian sudah tidak sepenuhnya (100 peratus) dan ini amat tidak digalakkan. Walau bagaimanapun, terdapat pelajar yang bijak dari segi pengurusan masa, maka mereka masih berjaya di dalam pengajian mereka. Dalam hal ini, penyelia boleh memainkan peranan dengan memberikan nasihat dengan baik kepada pelajar supaya mereka sedar akan kebolehan diri sendiri, dan sama ada komitmen yang tidak berbelah bahagi dan keutamaan kepada pengajian adalah yang paling penting pada ketika itu. 

Kesabaran yang tinggi

Dalam menimba ilmu, di semua peringkat, kesabaran seseorang pelajar akan diuji. Ujian di dalam pengajian pascasiswazah termasuklah dari segi kefahaman kajian, proses kutipan data, penulisan tesis dan proses menerbitkan sesuatu artikel jurnal. Contohnya, jika kutipan data itu melibatkan pihak luar dan mereka tidak dapat memberikan maklum balas dalam jangka masa yang diharapkan, maka kesabaran yang tinggi diperlukan untuk mengatasi masalah seperti ini. Pada ketika ini, penyelia boleh membantu untuk sama-sama memikirkan pelan B atau C untuk mencapai target kajian. 

Kemahiran yang baik 

Selain kemahiran menjalankan kajian, kemahiran bahasa dan interpersonal juga akan membantu mempercepatkan proses graduasi seseorang pelajar. Sebagai penyelia, kami bukanlah pakar di dalam semua metodologi kajian. Oleh itu, pelajar berkenaan harus mencari sumber ilmu. Contohnya, seperti menghadiri kursus metodologi dan kursus-kursus yang berkaitan. Di peringkat pascasiswazah, pelajar perlu banyak menghabiskan masa dengan pembelajaran kendiri. Selain menghadiri kursus tertentu, seseorang pelajar yang mempunyai kemahiran interpersonal yang baik dapat menjalin hubungan yang profesional dengan penyelia. Penyelia juga harus mengetahui tahap-tahap di mana pelajar harus berdikari, diberi sokongan dan arahan serta bila mereka perlu dilepaskan dengan bebas.

Secara ringkasnya, penyeliaan adalah proses yang dinamik dan kompleks. Penyelia harus fleksibel dan dapat mengaplikasikan pelbagai jenis gaya penyeliaan untuk memenuhi keperluan pelajar di semua tahap penyeliaan. Sokongan teknikal dan moral yang jitu dari penyelia amat penting untuk pelajar sentiasa bermotivasi di dalam pengajiannya. Hubungan dan kerjasama yang baik antara penyelia dan pelajar seperti pepatah ‘Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing’ dapat membantu pelajar untuk sampai ke garisan penamat tepat pada waktunya dan dengan jayanya. Semoga kita semua dapat melaksanakan tugasan dan amanah sebagai penyelia dan pelajar dengan bersungguh-sungguh. 

Profesor Madya Dr. Noor Raha Mohd Radzuan
Profesor Madya Dr. Noor Raha Mohd Radzuan

Penulis ialah pensyarah kanan di Pusat Bahasa Moden (PBM), Universiti Malaysia Pahang (UMP).
e-mel    : nraha@ump.edu.my

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Admin UMP News