Skip to main content
UMPSA: CIPTA, CINTA dan CITRA ke arah keunggulan peribadi

UMPSA: CIPTA, CINTA dan CITRA ke arah keunggulan peribadi

Sebagai seorang pensyarah di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) sejak tahun 2019, adalah menjadi saat indah apabila tercipta sejarah memasuki sebuah universiti gemilang dan terunggul untuk berbakti kepada anak bangsa dan negara. 

UMPSA adalah tempat kerja pertamaku sebagai seorang pensyarah dan banyak pengalaman dan pengetahuan dapat dipelajari dan ditimba untuk kebaikan diri, keluarga, masyarakat dan negara. Sebagai seorang pensyarah dan juga seorang Pengetua Kolej Kediaman adalah menjadi tanggungjawab utama membimbing dan memberikan inspirasi kepada generasi muda dalam mencapai keunggulan akademik dan pengembangan peribadi melalui pengembagan sahsiah dan jati diri mahasiswa. Dengan dedikasi untuk memberikan pendidikan berkualiti, penelitian inovatif, dan pengabdian masyarakat, pengalaman ini akan membawa dampak positif dalam membentuk masa depan mahasiswa dan mengukuhkan reputasi gemilang UMPSA. Malah, seorang pensyarah, adalah menjadi keutamaan untuk memastikan elemen utama berikut memenuhi Visi dan Misi UMPSA iaitu memastikan pendidikan berkualiti, membimbing mahasiswa, membuat kajian ilmiah dan lain-lain.

1.    Pendidikan berkualiti. Hal in melibatkan penyampaian bahan pengajaran dengan kaedah menarik, interaktif dan relevan sesuai dengan pengembangan terkini. Penggunaan kaedah seperti kajian kes, projek berkumpulan dan simulasi akan membantu membuat penerangan konsep yang sukar serta menambah minat belajar mahasiswa. Inisiatif ini adalah selari dengan seruan kerajaan agar membudayakan penggunaan inovasi dan teknologi.

2.    Bimbingan akademik dan pengembangan kerjaya mahasiswa. Berperanan sebagai pembimbing kepada mahasiswa mengenai mata kuliah, rancangan belajar, dan membantu pelajar dalam pemilihan minat kerjaya agar dapat mencipta lingkungan pertumbuhan akademik yang baik.

3.    Kajian ilmiah. Kajian ilmiah melibatkan pihak industri dan komuniti melalui penerbitan jurnal, persidangan dan seminar bagi meluaskan wawasan akademik serta menginspirasikan mahasiswa.

4.    Pengabdian kepada masyarakat. Menyediakan latihan atau terlibat dalam projek yang memberi impak positif kepada pembangunan masyarakat sekitar. Penglibatan ini juga turut melibatkan mahasiswa dalam membantu mereka memahami relevansi ilmu yang dipelajari dan mempersiapkan diri mereka dengan hubungan bersama komuniti.

Menjadi seorang Pengetua Kolej sememangnya memerlukan kemahiran sampingan agar menjadi contoh teladan kepada semua mahasiswa terlibat. Pengalaman dalam bidang akademik dan  ditambah pula dengan kemahiran dalam mendidik mahasiswa untuk pembangunan kemajuan sahsiah di Kolej Kediaman pelajar adalah pengalaman yang amat manis. Pengetua Kolej Kediaman ibarat seorang ibu atau bapa yang menjaga anak dengan pelbagai ragam dan akhlak. Penganjuran program secara berkala yang mempunyai pengisian dan dapat memberi kesan positif kepada pembangunan sahsiah pelajar adalah elemen yang diterapkan. Para pelajar dijaga emosi dan pemikiran melalui penerangan, ceramah, program ilmiah, program santai, dan kelengkapan infrastruktur yang memuaskan agar para pelajar tidak merasa bosan. Ini secara tidak langsung dapat membantu mereka mengawal stres belajar dan mendapat kemahiran lain selain bidang akademik. Mahasiswa dianggarkan berada di kolej kediaman hampir 70 peratus dari masa harian mereka. Oleh itu, perancangan program dan aktiviti di kolej kediaman perlu menerapkan kepada aspek kemahiran selain akademik yang boleh dipelajari oleh mahasiswa terutama dalam menjadi seorang pemimpim. 

Pengalaman menjadi seorang Pengetua dalam menjaga anak pelajar dari pelbagai kaum merupakan momen yang sangat indah. Bukan hanya dapat berbakti kepada anak pelajar, malah sebagai seorang pengetua, kemahiran komunikasi, budaya dan interpersonal dapat ditingkatkan. Penglibatan dalam apa jua program atau aktiviti di kolej kediaman mesti melibatkan kepelbagaian kaum agar aktiviti tersebut lebih menyeronokkan dan rasa dihargai antara satu dengan yang lain. 

Antara program terbaharu yang dijalankan adalah program mobiliti antarabangsa pelajar kolej kediaman ke Makassar Indonesia pada 18 hingga 25 Julai 2023. Program itu melibatkan seramai 22 orang pelajar prasiswazah dan seorang pelajar pascasiswazah yang terdiri daripada bangsa Melayu, India dan Cina. Melalui program sebegini, ia memberi saat yang sangat indah kepada para peserta, mengeratkan silaturahim, saling membantu, saling menghargai dan membawa nama UMPSA di persada antarabangsa. Sejarah tercipta dengan elemen tersendiri. Oleh itu, melalui saat yang dicipta, maka lahirkan cinta dan citra untuk terus berbakti kepada anak bangsa demi keunggulan universiti kita iaitu UMPSA. 

Kesimpulannya, dalam membangunkan universiti gemilang, penting bagi kita untuk menggabungkan konsep cipta, cinta dan citra sebagai landasan utama. Cipta untuk menggali potensi mahasiswa dan pensyarah untuk mencari solusi inovatif dalam mengendalikan sebarang situasi nasional dan global. Cinta terhadap pembelajaran dan pengembangan diri dan Citra yang gemilang melalui penceritaan dan keterlibatan dalam apa jua fungsi yang diamanahkan oleh pihak universiti. Dengan demikian, kita dapat mengutamakan inovasi, semangat belajar, dan sikap positif dalam mencipta lingkungan pendidikan yang mengilhamkan generasi mendatang untuk menyumbang kepada perkembangan ilmu pengetahuan.

Ts. Dr. Yusnita Bmuhamad Noor
Ts. Dr. Yusnita Binti Muhamad Noor

Penulis ialah pensyarah kanan di Fakulti Komputeran, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA). 

e-mel: yusnitanoor@umpsa.edu.my

Reports by:
Admin UMP News