Skip to main content

17 pelajar KOR SISPA UMPSA terima watikah tauliah Leftenan Muda Pertahanan Awam

PAGOH, 18 Ogos 2024 - Seramai 17 pelajar Kor Siswa-Siswi Pertahanan Awam (KOR SISPA), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) menerima watikah tauliah sebagai Leftenan Muda Pertahanan Awam sempena Majlis Perbarisan Tamat Latihan Kor Siswa-Siswi Pertahanan Awam (KOR SISPA) Peringkat Kebangsaan Kali Ke-15 Tahun 2024 di Padang Kawad, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM). 

Timbalan Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi hadir bagi menyempurnakan majlis perasmian,

Turut sama hadir Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Naib Canselor UTHM, Kolonel (Kehormat) Profesor Dato' Ir. Ts. Dr. Ruzairi Abdul Rahim, 

Majlis itu bertujuan untuk meraikan pegawai dengan penuh istiadat dan protokol yang sebagai penamat latihan Pegawai Kadet SISPA (PKS) untuk ditauliahkan sebagai pegawai muda dalam Pasukan Pertahanan Awam setelah tiga tahun menjalani latihan berstruktur. 

Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada 827 orang PKS yang ditauliahkan

Beliau berharap agar semua PKS akan terus bersemangat dan berusaha gigih dalam mengejar cita-cita dan melapor diri ke Pejabat APM seluruh negara bagi terus menabur bakti kepada masyakakat dan komuniti. 

Pada majlis yang sama, Leftenan Muda (PA) Nurul Izzati Jusoh telah dinobatkan sebagai Pegawai Kadet SISPA Terbaik UMPSA. 

Beliau merupakan anak kedua daripada lima orang adik-beradik kepada pasangan Jusoh Sulaiman dan Razaina Ishak. 

Beliau yang aktif dalam aktiviti kesukarelawan dan berpersatuan menyertai KOR SISPA UMPSA dan telah dilantik sebagai Setiausaha bagi Sesi Akademik 2022/2023. 

Bagi Leftenan Muda (PA) Nurul Izzat, penglibatan dalam kejayaannya dalam KOR SISPA mendapat sokongan keluarga dan rakan-rakan. 

“Penglibatan dalam KOR SISPA memberi peluang kepada saya untuk terlibat dalam banyak progran dan aktiviti kesukarelawanan. 

“Antaranya, saya dilantik sebagai Setiausaha bagi Engineering Electric and Electronic Society (EEES) pada Sesi Akademik 2021/2022 dan 2022/2023. 

“Saya juga turut menjawat jawatan sebagai Setiausaha Agung Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UMPSA, Timbalan Presiden Kelab EEES, sukarelawan UMPSA Kilau dan pernah menyertai hasil kolaborasi bersama UTHM Prihatin bagi menggerakkan Misi Bantuan Pascabanjir Johor 2023 di Batu Pahat pada 20 Mac 2023,” katanya. 

Manakala, beliau telah dilantik sebagai Presiden Kelab EEES pada Sesi Akademik 2023/2024 dan Bendahari Kehormat Kelab Debat UMPSA.

Majlis menyaksikan seramai 827 pelajar yang diraikan dalam perbarisan ini iaitu terdiri daripada 769 orang berpangkat Leftenan Muda (Pertahanan Awam) dan 58 orang berpangkat Staf Muda (Pertahanan Awam). 

17 pelajar KOR SISPA UMPSA terima watikah tauliah Leftenan Muda Pertahanan Awam

Secara kumulatifnya, seramai 8,764 mahasiswa telah berjaya menamatkan modul kokurikulum KOR SISPA dan ditauliahkan sebagai Pegawai Pasukan APM. 

Hadir sama Komandan KOR SISPA UMPSA, PPj. Kehormat (PA) Profesor Ts. Dr. Kamal Zuhairi Zamli, Timbalan Komandan KOR SISPA UMPSA, Mejar Bersekutu (PA) Mohd Akram Abd Razak, Kapt. Bersekutu (PA) Mohd Raizalhilmy Mohd Rais, Pengarah Akademi Adab UMPSA, Profesor Madya Dr Mohd Nizam Mohamad Kahar bersama pegawai universiti. 

Disediakan Oleh: Nor Salwana Mohamad Idris, Pusat Komunikasi Korporat
 

Reports by:
Nor Salwana bt Hj Mohammad Idris