2 orang Profesor UMPSA terima surat kenaikan pangkat
PEKAN, 1 Oktober 2025 – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah mengadakan sesi rasmi penyerahan surat kenaikan pangkat kepada dua orang Pensyarah yang telah memenuhi syarat dan diluluskan untuk naik ke jawatan Profesor Gred Khas C, VK7, berkuat kuasa mulai 25 Ogos 2025.
Profesor yang menerima kenaikan pangkat adalah Profesor Ir. Dr. Norazwina Zainol dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses (FTKKP) dan Profesor Dr. Irene Ting Wei Kiong dari Fakulti Pengurusan Industri (FPI).
Majlis penyerahan surat tersebut disampaikan oleh Naib Canselor, Profesor Dr. Yatimah Alias.

Dalam ucapannya, Profesor Dr. Yatimah menegaskan akan kepentingan peningkatan prestasi dan keterlihatan kecemerlangan akademik di universiti.
“UMPSA kini mempunyai 25 orang ahli akademik yang tersenarai di dalam senarai 2 peratus saintis terbaik dunia, satu pencapaian yang amat membanggakan,” ujar beliau.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada kedua-dua Profesor atas pencapaian mereka dan menyeru agar terus menjadi inspirasi serta motivasi kepada komuniti akademik UMPSA.
Beliau juga mengharapkan agar Profesor yang dinaikkan pangkat dapat menjadi agen perubahan yang mempromosikan hasil kecemerlangan akademik universiti, sekali gus meningkatkan keterlihatan UMPSA di peringkat nasional dan antarabangsa.
Naib Canselor turut melahirkan rasa bangga atas kehadiran bakat-bakat cemerlang yang dimiliki oleh UMPSA.
Dalam sesi yang sama, kedua-dua Profesor yang menerima kenaikan pangkat turut mengucapkan penghargaan atas peluang dan sokongan berterusan yang diberikan oleh universiti.
Mereka menyifatkan kepercayaan tersebut sebagai pemangkin utama dalam pengembangan kerjaya mereka di UMPSA.
Disediakan Oleh: Siti Sakinah Mohtar, Jabatan Pendaftar
- 108 views
Reports by: