25 pensyarah UMPSA tersenarai 2% Saintis terbaik dunia
PEKAN, 8 Oktober 2025 - Seramai 25 pensyarah Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) tersenarai antara 2 peratus saintis terbaik dunia bagi kategori Pencapaian Satu Tahun (Single Year Achievement) dan 15 daripadanya juga tersenarai bagi kategori Pencapaian Sepanjang Kerjaya (Career-Long Achievement).
Bagi senarai Pencapaian Satu Tahun (Single Year Achievement), UMPSA berada dalam kelompok sepuluh teratas dalam kalangan IPT di Malaysia apabila seramai 25 pensyarah yang mempunyai 2 peratus saintis terbaik dunia paling ramai.
Pengiktirafan ini merujuk kepada data yang dikeluarkan oleh Elsevier BV, Stanford University yang berpangkalan di Amerika Syarikat.
Naib Canselor UMPSA, Profesor Dr. Yatimah Alias berkata, pengiktirafan ini berdasarkan pangkalan data Scopus dan merangkumi aspek penilaian yang komprehensif.
“Pengiktirafan ini menggalakkan interaksi antara penyelidik tempatan dan antarabangsa serta industri bagi meneruskan kecemerlangan akademik selain mencipta peluang penyelidikan bagi menyelesaikan masalah sejagat.
“Selain itu, ia terus mengukuhkan kedudukan universiti ini sebagai hab Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) termaju di rantau ASEAN berteraskan kecemerlangan akademik, jaringan global dan keupayaan penghasilan graduan yang berkualiti tinggi.
“Ia juga adalah selari dengan perancangan Pelan Strategik UMPSA 2021-2025 dan Kerangka UMPSA2030 yang meletakkan universiti ini untuk terus mencapai kegemilangan dalam akademik dan penyelidikan dengan bertemakan ‘Teknologi untuk Masyarakat’,” katanya.

Beliau turut mengucapkan tahniah buat warga UMPSA yang telah mencapai pelbagai kejayaan bagi meningkatkan citra universiti ke tahap pendidikan tinggi dan global.
Dalam kategori Pencapaian Satu Tahun, seramai sembilan orang tersenarai dalam subjek Tenaga (Energy), empat orang tersenarai dalam subjek Kecerdasan Buatan dan Pemprosesan Imej (Artificial Intelligence and Image Processing), empat orang dalam subjek Bahan (Materials) dan empat orang dalam subjek Kejuruteraan Mekanikal dan Pengangkutan (Mechanical Engineering and Transports).
Empat yang lain tersenarai dalam subjek Perniagaan dan Pengurusan (Business and Management), Pendidikan (Education), Sains Persekitaran (Environmental Sciences) dan Fizik Am (General Physics).
Penyelidik yang tersenarai dalam kedua-dua Pencapaian Satu Tahun (Single Year Achievement) dan Pencapaian Sepanjang Kerjaya (Career-Long Achievement) adalah Profesor Madya Dr. Muhammad Ashraf Fauri@Fauzi, Profesor Ir. Ts. Dr. Mahendran a/l Samykano, Profesor Madya Dr. Sudhakar Kumarasamy, Profesor Madya Eur Ing. Ir. Ts. Dr. Norazlianie Sazali, Profesor Ir. Ts. Dr. Kumaran a/l Kadirgama, Profesor Dr. Jose Rajan, Profesor Madya Dr. Ramadhansyah Putra Jaya, Profesor Ts. Dr. Kamal Zuhairi Zamli, Profesor Dato' Ts. Dr. Zularisam Ab Wahid, Profesor Dr. Wan Azmi Wan Hamzah, Profesor Dr. Rizalman Mamat, Profesor Madya Ts. Dr. Mohd Herwan Sulaiman, Profesor Ts. Dr. Md. Mustafizur Rahman, Profesor Madya Dr. Ferda Ernawan dan Profesor Madya Ts. Dr. Mohd Ashraf Ahmad
Sementara itu, penyelidik yang tersenarai bagi Pencapaian Satu Tahun (Single Year Achievement) adalah seramai sepuluh orang iaitu Profesor Dr. Yudi Fernando, Profesor Ir. Ts. Dr. Wan Sharuzi Wan Harun, Ts. Dr. Agi Augustine Aja, Ts. Dr. Ahmad Shahrizan Abdul Ghani, Profesor Madya Ts. Dr. Herma Dina Setiabudi, Profesor Ts. Dr. Khairunisa Muthusamy, Profesor Ts. Dr. Mohd Rashid Ab Hamid, Dr. Farah Amalina Ishak, Dr. Ahmad Shahir Jamaludin dan Ir. Dr. Erdiwansyah.
UMPSA akan terus mengungguli dalam bidang penyelidikan dan inovasi pada masa akan datang dalam usaha untuk meningkatkan keupayaan teknologi melalui bilangan ciptaan produk dan penghasilan penemuan atau teknologi baharu yang berimpak tinggi yang akan memberi manfaat yang besar kepada komuniti tempatan dan antarabangsa.
Sebagai universiti terbaik dalam Rangkaian Universiti-universiti Teknikal Malaysia (MTUN), UMPSA akan terus merealisasikan aspirasi kecemerlangan yang dicapai menerusi pemerkasaan akademik dan hasil penyelidikan berimpak serta menghasilkan graduan cemerlang untuk menjadi modal insan berkualiti dalam memacu pembangunan negara yang cemerlang.
Disediakan Oleh: Mimi Rabita Abd Wahit, Pusat Komunikasi Korporat
- 270 views
Reports by: