Skip to main content

3 staf akademik UMPSA dilantik profesor

PEKAN, 14 Ogos 2024 - Tiga staf akademik Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) menerima watikah pelantikan kenaikan pangkat jawatan Profesor Gred Khas VK7 daripada Naib Canselor, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin hari ini.

Mereka terdiri daripada Profesor Ts. Dr. Abdul Adam Abdullah dan Profesor Ts. Dr. Mohd Ruzaimi Mat Rejab daripada Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif  (FTKMA) serta  Profesor Ts. Dr. Hamdan Daniyal daripada Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE).

Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie mengucapkan tahniah kepada ketiga-tiga profesor yang telah melepasi semua peringkat penilaian untuk menjawat jawatan ini.

3 staf akademik UMPSA dilantik profesor

“Universiti menaruh harapan tinggi terhadap barisan profesor UMPSA untuk menjadi teladan kepada rakan sekerja bagi memastikan semua berupaya untuk turut mengorak langkah memacu kecemerlangan di peringkat individu, universiti dan antarabangsa,” katanya. 

Beliau turut memberikan penekanan terhadap tanggungjawab yang lebih besar yang perlu digalas oleh ketiga-tiga profesor ini selari dengan kenaikan pangkat ini. 

Ujar beliau lagi, semoga dengan penganugerahan jawatan tersebut, ia dapat digunakan dengan sebaik-baiknya dalam mengembangkan jalinan strategik antara universiti dengan pihak berkepentingan yang mampu memberikan manfaat kepada universiti terutamanya dalam membantu ke arah kebolehpasaran graduan UMPSA.

Beliau turut memberikan penekanan terhadap kejayaan projek-projek yang telah dilaksanakan di fakulti yang berjaya menjadi ‘Proof of Concept’ dan seterusnya menarik minat pihak industri untuk menjalinkan kerjasama dan menyumbang kepada universiti.

Selain itu katanya, ia juga bakal menjadi batu loncatan dalam memperkukuhkan hubungan bersama industri bagi membolehkan keterlihatan universiti terus dipertingkatkan dan seterusnya membawa lebih banyak manfaat untuk masa hadapan.

Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Ir. Ts. Dr. Ahmad Ziad Sulaiman, Profesor Madya Dr. Syarifah Nur Aqida Syed Ahmad, mewakili FTKMA dan Pengurus Besar Sumber Manusia, Haji Abdul Shukur Ishak. 

Disediakan Oleh: Siti Sakinah Mohtar Jabatan Pendaftar

Reports by:
Admin UMP News