3 staf kibar Bendera UMPSA tawan puncak Gunung Tahan
JERANTUT, 9 Oktober 2025 – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) berbangga apabila tiga orang staf universiti telah berjaya sampai ke puncak Gunung Tahan iaitu gunung yang tertinggi di Semenanjung Malaysia bersempena dengan Ekspedisi Kajian Kelestarian Trek Gunung Tahan dari Merapoh ke Kuala Tahan 2025 baru-baru ini.
Pendakian itu diketuai oleh Pensyarah Kanan, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses (FTKKP), Dr. Rosmawati Naim bersama dua orang lagi staf iaitu Penolong Pegawai Keselamatan, Mohammad Hafizi Ali dan Pembantu Keselamatan, Mohd Firdaus Mohd Ahsery
Menurut Dr. Rosmawati, penyertaan mereka adalah satu penghormatan besar apabila diberi peluang mewakili universiti dalam misi yang menguji ketahanan fizikal dan mental untuk menawan puncak Gunung Tahan dengan ketinggian 2,187 meter.
“Saya bersyukur diberi peluang untuk menyertai ekspedisi ini bersama 51 pendaki lain daripada pelbagai jabatan dan agensi kerajaan bagi mengkaji penambahbaikan fasiliti, infrastruktur dan simbolik bersempena dengan pelancaran Majlis Rekreasi Pahang.
“Walaupun masa persediaan agak singkat, kami tetap berusaha melakukan latihan fizikal bagi menawan Gunung Tahan yang terkenal dengan laluan hardcore seperti laluan landai dan berakar” ujarnya yang berpengalaman dengan expedisi sebelum ini, antaranya Gunung Kinabalu (2019), Mulu Pinnacles (2023, 2025), Gunung Irau (2023), Annapurna Base Camp (ABC) 2023, Dolomites, Italy (2024) dan Everest Base Camp (EBC) 2025.
Di sebalik keindahan pemandangan semula jadi yang memukau dengan kepelbagaian flora dan fauna yang unik, beliau tidak sekadar mendaki malah turut menilai keadaan trek sambil mengemukakan cadangan penambahbaikan kemudahan fasiliti sepanjang laluan Gunung Tahan dari Sungai Relau, Merapoh ke Kuala Tahan.
Ekspedisi yang berlangsung mulai 1 hingga 9 Oktober 2025 itu melibatkan 54 peserta yang mewakili 20 agensi kerajaan.
Program anjuran Majlis Rekreasi Pahang ini turut mendapat perkenan Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan diketuai oleh Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan NGO Negeri Pahang, Yang Berhormat Tuan Fadzli Mohamad Kamal.

Sebagai pengiktirafan kepada kejayaan ekspedisi tersebut, UMPSA turut dijemput menghadiri dan menyertai Pelancaran Majlis Rekreasi Pahang yang disempurnakan oleh Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang di Kuala Tahan.
Pelancaran tersebut menjadi simbol kepada usaha memperkasa aktiviti riadah dan ekopelancongan negeri melalui kerjasama pelbagai agensi, termasuk institusi pengajian tinggi seperti UMPSA.
Dalam pada itu, YB Tuan Fadzli Mohamad Kamal turut mencadangkan agar satu kaji selidik dijalankan bagi mengumpulkan pandangan dan cadangan penambahbaikan trek serta fasiliti di Gunung Tahan daripada para pendaki yang menyertai ekspedisi tersebut.
Beliau turut menggalakkan agar maklum balas daripada malim gunung dan porter turut diambil kira bagi memastikan setiap cadangan yang dikemukakan benar-benar praktikal dan berasaskan pengalaman sebenar di lapangan.
Hasil dapatan daripada kaji selidik itu akan dipersembahkan oleh YB Tuan Fadzli kepada Kebawah Duli Paduka Baginda Tuanku Sultan Pahang sebagai sebahagian daripada usaha berterusan memperkasa pelan pembangunan rekreasi dan pelancongan lestari negeri.
Tambah Dr. Rosmawati, ekspedisi ini menuntut kekuatan fizikal dan mental luar biasa dan beliau menasihatkan pendaki yang berhasrat ke sini perlu menjalani latihan untuk membina kekuatan stamina sekurang-kurangnya sebulan sebelum pendakian.
“Laluan Merapoh–Kuala Tahan amat mencabar dengan rintangan seperti sungai deras, cerun berbatu, tangga curam dan pacat.
“Pendakian ke Kem Botak sejauh 13 kilometer antara yang paling mencabar, terutama apabila hujan lebat dan angin sejuk bertiup kencang.
“Kami terpaksa menunggu dalam kesejukan sebelum khemah siap dipasang,” katanya.
Beliau turut berkongsi detik sukar ketika menuruni bukit curam dengan hanya berpaut pada tali sambil memikul beg yang berat.
“Tiga malam kami tidur dalam hujan dan kesejukan.
“Namun, semangat kerjasama antara ahli kumpulan menjadi kekuatan utama untuk terus mara,” jelasnya.
Sebagai ketua kumpulan, Dr. Rosmawati menekankan kepentingan komunikasi, strategi rentak mendaki dan saling menyokong sesama rakan.
“Kami saling memberi semangat, berkongsi makanan serta mengambil gambar flora dan fauna untuk kekal positif sepanjang perjalanan,” ujarnya.
Momen paling bermakna buat beliau ialah apabila bendera Jalur Gemilang dan UMPSA berjaya dikibarkan di puncak Gunung Tahan.
“Kami berasa amat bersyukur kerana dapat mewakili warga UMPSA mengibarkan bendera universiti di puncak tertinggi Semenanjung Malaysia.
“Malah, saya juga teruja menemui orkid terkecil di dunia, corybas atau ‘helmet orchids’ yang sangat jarang ditemui,” tambahnya.
Mengulas nilai yang dipelajari, beliau menyifatkan ekspedisi ini sebagai medan membina ketabahan, kekuatan mental, komunikasi efektif dan semangat berpasukan yang boleh diaplikasikan dalam tugas di universiti.
Beliau juga berhasrat untuk terus membawa nama UMPSA ke peringkat antarabangsa melalui pendakian bersama pelajar pada masa akan datang.
Pihaknya mengucapkan terima kasih kepada pihak kerajaan negeri, Naib Canselor UMPSA, Profesor Dr. Yatimah Alias, Pusat Sukan terutamanya Pengarah Pusat Sukan, Mohd. Aznorizamin Ismail, Bahagian Keselamatan dan lain-lain yang banyak memberi sokongan.
“Pendakian ini membuktikan bahawa staf dan pelajar UMPSA mampu berjaya bukan sahaja dalam akademik dan penyelidikan, tetapi juga dalam cabaran lasak jika berfikiran positif,” ujarnya menutup bicara dengan kata inspirasi, It’s not the mountain we conquer, but ourselves.
Disediakan Oleh: Nur Hartini Mohd Hatta, Pusat Komunikasi Korporat
- 102 views
Reports by: