30 Pelajar UMPSA terpilih terima China Ambassador Scholarship 2025
GAMBANG, 10 Februari 2026 – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus memperkukuh hubungan strategik Malaysia–China melalui penganugerahan China Ambassador Scholarship 2025 kepada 30 pelajar cemerlang UMPSA dalam satu majlis yang berlangsung di Dewan Bankuet, Kampus UMPSA Gambang hari ini.
Majlis tersebut disempurnakan oleh Duta Besar China ke Malaysia, Tuan Yang Terutama H.E. Ouyang Yujing dan Naib Canselor, Profesor Ts Dr Yatimah Alias.
Hadir sama delegasi Kedutaan China di Malaysia iaitu Kaunselor Kedutaan Republik Rakyat China di Malaysia, Zhao Changtao, Setiausaha Pertama Kedutaan Republik Rakyat China di Malaysia, Yang Guowei dan Zhang Cheng, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Dato’ Ir. Ts. Dr. Ahmad Ziad Sulaiman, Pendaftar, Dato Saiful Bahri Ahmad Bakarim serta barisan pengurusan tertinggi UMPSA.
Menurut Profesor Ts. Dr. Yatimah, penganugerahan biasiswa ini mencerminkan hubungan persahabatan yang kukuh serta kepercayaan berterusan antara UMPSA dan Republik Rakyat China dalam usaha melahirkan graduan berdaya saing di peringkat global.
“Kerjasama UMPSA dengan Kedutaan China bermula pada tahun 2022 dan setakat ini telah memberi manfaat kepada puluhan pelajar UMPSA.
“Bagi tahun 2025, seramai 30 pelajar dipilih berdasarkan kecemerlangan akademik, sahsiah terpuji serta potensi kepimpinan untuk menyumbang kepada pembangunan kerjasama dua hala Malaysia–China.
“Biasiswa ini bukan sekadar sokongan kewangan, tetapi platform penting dalam membina kefahaman, saling menghormati dan kerjasama jangka panjang antara kedua-dua negara,” katanya.

Tambahnya, para pelajar yang terpilih diharap dapat menjadi duta kecil yang menghubungkan Malaysia dan China melalui ilmu, budaya dan nilai sejagat.
“Selain itu, penerima biasiswa tahun ini terdiri daripada pelajar yang mengikuti Program Ijazah Dual serta inisiatif mobiliti ke luar negara, selaras dengan komitmen UMPSA dalam memperluas pendedahan antarabangsa dan pengalaman pembelajaran merentas budaya,” katanya yang hadir menerima cek cura bernilai RM40,000 dalam majlis yang berlangsung di Dewan Bankuet UMPSA Kampus Gambang.

Sementara itu, pelajar tahun satu jurusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal dengan Kepujian, Dameer Raif Azmil Munif menzahirkan penghargaan terhadap biasiswa yang diterima.
“Saya amat berterima kasih kerana diberikan biasiswa ini.
“Biasiswa yang diberikan amat membantu saya dalam membiayai pengajian saya,” ujarnya.
Manakala pelajar jurusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia dengan Kepujian, Liew Shi Qi pula berkata biasiswa ini memberinya motivasi untuk menamatkan program ijazah dualnya.
“Program ijazah dual yang saya sertai ini agak mencabar.
“Walau bagaimanapun, dengan biasiswa yang diberikan ini amat membantu saya untuk terus bermotivasi bagi menamatkan pengajian saya dengan cemerlang”, ujarnya.
UMPSA juga giat memperkukuh jaringan akademik bersama institusi pendidikan tinggi terkemuka di China seperti Beijing Jiaotong University dan Tianjin University, selain peranan aktif Confucius Institute UMPSA dalam memperkasa pembelajaran bahasa dan pertukaran budaya melalui inisiatif ‘Chinese Plus TVET’.
China Ambassador Scholarship yang diperkenalkan sejak 2016 bertujuan mengenal pasti dan menghargai pelajar universiti di Malaysia yang cemerlang dari segi akademik dan sahsiah, serta berpotensi menyumbang kepada hubungan diplomatik dan pendidikan antara Malaysia dan China.
Majlis penganugerahan ini sekali gus mencerminkan aspirasi UMPSA untuk terus menjadi hab pendidikan teknikal dan profesional bertaraf antarabangsa serta rakan strategik yang signifikan dalam kerjasama pendidikan global.
Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat
- 26 views
Reports by: