30 pelajar UMPSA turun padang memeriahkan PULARA 2026
SERI MANJUNG, 24 Oktober 2026 - Pelajar Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) berpeluang mendekati masyarakat sekitar daerah Manjung dalam menjayakan Festival Puisi dan Lagu Rakyat Antarabangsa (PULARA) 2026 yang dimeriahkan dengan pelbagai persembahan puisi, lagu rakyat, muzik tradisional dan persembahan kebudayaan daripada penggiat seni tempatan serta antarabangsa.
Majlis kemuncak PULARA 2026 dirasmikan Menteri Pendidikan Tinggi, Yang Berhormat Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir.
Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias hadir dalam majlis kemuncak yang berlangsung malam tadi di Dataran MADANI, Seri Manjung Perak.
Beliau hadir menyaksikan sendiri kemeriahan acara ini yang mendapat sambutan begitu menggalakkan daripada pelbagai lapisan masyarakat, khususnya penduduk sekitar Manjung yang hadir bersama keluarga masing-masing.
Menurutnya, seramai 30 pelajar UMPSA turun padang dan tinggal bersama keluarga angkat di Kampung Pasir Panjang Laut, mengenali kehidupan masyarakat kampung, mempelajari adat resam, menikmati makanan tradisional serta merasai sendiri keunikan warisan budaya tempatan.
“Pelajar UMPSA turut mempersembahkan Gendang Pahang dan Seni Tari Silat Lenggang Mak Janda selain membawa bersama makanan tradisi Pahang termasuklah Sambal Hitam Pahang.
“PULARA bukan sekadar meraikan puisi, lagu dan seni persembahan, tetapi menjadikan budaya sebagai jambatan yang menghubungkan masyarakat tanpa mengira bangsa, bahasa dan negara,” ujarnya.
Beliau mengharapkan semoga PULARA terus berkembang sebagai wadah memperkenalkan kekayaan seni dan budaya negara kepada dunia, di samping memperkukuh hubungan antara masyarakat tempatan dengan komuniti antarabangsa.
Dalam masa yang sama, masyarakat kampung turut berpeluang berinteraksi dan berkongsi pengalaman dengan para peserta dari pelbagai negara.

Beliau turut menghargai komitmen semua pihak yang menjayakan PULARA 2026, khususnya para penggiat seni, peserta antarabangsa, mahasiswa, keluarga angkat, penduduk kampung, sukarelawan serta seluruh warga Manjung.
“Semoga PULARA terus berkembang sebagai wadah memperkenalkan kekayaan seni dan budaya negara kepada dunia, di samping memperkukuh hubungan antara masyarakat tempatan dengan komuniti antarabangsa,” katanya.
PULARA 2026 yang berlangsung selama tiga hari dari 24 hingga 26 Oktober anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan kerjasama Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu merangkumi 17 program utama dan 20 program turun ke kampung, antaranya persembahan puisi dan lagu rakyat, Festival Sajian dan Titian Budaya.
Lain-lain Seminar Peradaban Rumpun Melayu Antarabangsa (RUMIA), aktiviti kesukarelawanan serta program komuniti MADANI, selain menampilkan penglibatan budayawan, sasterawan dan artis tempatan serta antarabangsa.
Turut sama hadir Ketua Setiausaha KPT, Dato’ Ts. Dr. Haji Aminuddin Hassim; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Profesor Dr. Azlinda Azman; Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dato’ Seri Abdul Puhat Mat Nayan serta Naib Canselor UPSI, Profesor Dato’ Dr. Md Amin Md Taff.
Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat
- 10 views
Reports by: