300 peserta dari 3 negara jayakan International Webinar 2026 dalam perkukuh kerjasama kelestarian rentas sempadan
PEKAN, 6 Ogos 2026 – Seramai 300 peserta yang terdiri daripada ahli akademik, penyelidik dan pelajar dari Malaysia, Indonesia dan Thailand telah menyertai International Webinar 2026: Global Minds, Green Futures: Sustainability Without Borders yang berlangsung secara dalam talian menerusi platform Zoom hari ini.
Program yang dianjurkan melalui jaringan IMT-GT University Network itu menjadi wadah penting dalam memperkukuh kerjasama rentas sempadan bagi membincangkan penyelesaian inovatif ke arah pembangunan mampan.
Webinar tersebut menghimpunkan tiga tokoh akademik sebagai penceramah utama iaitu Pengarah Pusat Pembangunan Kelestarian (SDC), UMPSA, Dr. Suhaidah Hussain, yang membentangkan tajuk ‘Empowering Green Energy at UMPSA’.
Kemudian Profesor Dr. Ichwana, ST., MP dari Universitas Syiah Kuala, Indonesia pula berkongsi kepakaran menerusi tajuk ‘Univerities Driving Using Technology Satellite-Base for Water Quality Monitoring and Climate to Sustain’ dan Profesor Madya Dr. Hamdia Mudor dari Prince of Songkla University (PSU), Thailand pula menyampaikan tajuk ‘From Green Faculty to Green Society: Creating Sustainable Value Beyond the Campus’.

Ketiga-tiga penceramah berkongsi pandangan mengenai cabaran dan peluang dalam memperkukuh agenda kelestarian menerusi penyelidikan, inovasi, pendidikan serta kerjasama strategik antara institusi pengajian tinggi.
Sesi webinar dikendalikan oleh moderator yang merupakan Pensyarah Fakulti Pengurusan Industri, UMPSA, yang berjaya mengemudi sesi perkongsian ilmu dan perbincangan secara interaktif sepanjang program berlangsung.
Majlis turut diserikan dengan ucapan alu-aluan daripada Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias diikuti oleh Naib Presiden Kampus Pattani, Prince of Songkla University, Profesor Madya Dr. Attachai Ueranantasun dan Ketua Pejabat Hubungan Global, Universitas Syiah Kuala, Profesor Dr. Syamsidik, ST., M.Sc,
Turut hadir ialah Pengarah Pusat Jaringan Global, UMPSA, Profesor Madya Ts. Dr. Herma Dina Setiabudi.
Dalam ucapan perasmiannya, Profesor Ts. Dr. Yatimah menegaskan bahawa isu kelestarian tidak mengenal sempadan negara dan memerlukan tindakan kolektif daripada semua pihak, khususnya institusi pengajian tinggi.
“Cabaran seperti perubahan iklim, kehilangan biodiversiti, keselamatan makanan dan air serta kemerosotan alam sekitar merupakan tanggungjawab bersama.
“Universiti bukan sahaja berperanan melahirkan graduan dan menghasilkan penyelidikan, malah menjadi peneraju dalam membangunkan penyelesaian praktikal serta melahirkan generasi yang memahami bahawa kemajuan perlu seiring dengan tanggungjawab terhadap alam sekitar.
“UMPSA berbangga apabila diiktiraf sebagai universiti pertama di ASEAN menerima Foundation for Environmental Education (FEE) EcoCampus Green Flag Award, namun pengiktirafan tersebut bukanlah noktah akhir, sebaliknya menjadi pemangkin untuk terus memperkukuh budaya kelestarian di kampus dan dalam masyarakat,” katanya.
Menyentuh perkembangan teknologi, beliau berkata kecerdasan buatan (Artificial Intelligence – AI) mampu menjadi pemacu kepada penyelesaian isu kelestarian seperti pengurusan tenaga, pertanian pintar, ramalan risiko bencana dan penggunaan sumber secara lebih cekap.
“Walau bagaimanapun, teknologi hanya akan memberi manfaat sekiranya dipandu oleh nilai etika, integriti dan tanggungjawab social,” ujarnya.

Beliau turut menyeru agar kerjasama antara universiti di Malaysia, Indonesia dan Thailand terus diperkukuh melalui penyelidikan bersama, penerbitan ilmiah, mobiliti pelajar dan staf serta pelaksanaan projek-projek kelestarian yang mampu memberi impak kepada masyarakat.
"Apabila ilmu pengetahuan merentasi sempadan, universiti mampu menghasilkan impak yang lebih besar demi kesejahteraan generasi akan datang," tambahnya.
Penganjuran webinar ini mencerminkan komitmen bersama UMPSA, Universitas Syiah Kuala dan Prince of Songkla University dalam memperkukuh jaringan akademik antarabangsa serta menyokong aspirasi Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs).
Dengan penyertaan 300 peserta dari tiga negara, program ini bukan sahaja menjadi platform perkongsian ilmu dan pengalaman, malah membuka ruang kepada pembentukan kerjasama strategik yang lebih luas dalam bidang penyelidikan, inovasi dan pembangunan lestari di peringkat serantau.
Disediakan Oleh: Nor Salwana Mohammad Idris, Pusat Pembangunan Kelestarian (SDC)
- 64 views
Reports by: