Skip to main content

870 Pegawai Kadet Kor Sispa terima pentauliahan Leftenan Muda

KUANTAN, 7 November 2021 – Seramai 870 Pegawai Kadet Kor Sispa daripada 24 Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dan satu Institusi Pendidikan Guru (IPG) terima pentauliahan sebagai Leftenan Muda (PA) bersempena Majlis Pentauliahan Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam (Kor Sispa) Peringkat Kebangsaan Kali ke-12 Tahun 2021.

Program yang berlangsung di Dewan Astaka, Universiti Malaysia Pahang (UMP) Kampus Gambang itu adalah anjuran UMP dengan kerjasama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Bahagian Mahasiswa Holistik, Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT). 
 
Majlis pentauliahan  pada tahun ini telah diadakan secara dalam talian dan di IPT masing-masing atau gabungan di antara IPT dengan kapasiti yang minimum mengikut tatacara pengendalian piawai (SOP) yang telah ditetapkan.
 
Majlis telah dirasmikan  oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Yang Berhormat Datuk Mastura Tan Sri Dato' Mohd Yazid yang hadir membacakan teks ucapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Yang Berhormat Datuk Dr. Abd. Latiff Ahmad. 

Turut  hadir  Ketua Pesuruhjaya APM Malaysia,  Kpj. (PA) Datuk Roslan  Wahab, Pengarah Bahagian Pengurusan Angkatan Ibu Pejabat Pertahanan Awam,  Ppj. (PA) Ghazali Abd Rahman, Pengarah Bahagian Pengurusan Latihan, Ibu Pejabat Pertahanan Awam, Kol. (PA) Fazlisyah Muslim dan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Negeri Pahang, Kol. (PA) Che Adam Abdul Rahman. 
 
Turut sama hadir Pengerusi Lembaga Pengarah UMP, Tan Sri Dato’ Sri Dr. Abd Aziz Abd Rahman, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin yang menjalankan fungsi Naib Canselor UMP dan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) yang merupakan Komandan Kor Sispa UMP, Ppj. Kehormat (PA) Profesor Ts. Dr. Mohd Rosli Hainin.
 
Menurut Datuk Mastura, usaha APM bersama-sama Kementerian Pengajian Tinggi dan Universiti Awam (UA) serta IPTS dalam menyediakan ruang bagi anak bangsa membina karakter diri melalui keterlibatan dalam Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam (Kor Sispa) merupakan salah satu platform yang sangat tepat dan akan membuahkan hasil yang cukup membanggakan.
 
“APM kini telah diiktiraf dan diberi tanggungjawab yang lebih besar iaitu menjadi agensi tonggak dalam inisiatif pengurusan pengurangan risiko bencana berasaskan komuniti sekali gus meningkatkan kembali keyakinan rakyat terhadap komitmen tinggi kerajaan dalam menangani kejadian bencana yang semakin mencabar dan kompleks. 

“Inilah konsep people centric yang diketengahkan oleh APM melalui pemerkasaan komuniti dalam pengurusan bencana tempatan.
 
“Tahniah buat APM, KPT dan IPT yang telah berjaya membentuk satu program tahunan yang bertujuan memupuk semangat intergrasi yang melangkaui batas umur, bangsa dan agama sebagai Keluarga Malaysia,” katanya.

Tambah beliau lagi, mereka juga terlibat sebagai  frontliner dalam membasmi penularan wabak Covid-19 sejak awal tahun 2020.  

“Malahan, APM dan IPT terlibat harus berasa bangga kerana berjaya melahirkan modal insan yang terlatih dan berdisiplin. 

“Pakej modal insan sebegini sesungguhnya amat diperlukan oleh kerajaan dalam mencorak masa depan negara,” ujarnya.
 
Dalam pada itu, Kpj. (PA) Datuk Roslan berkata, transformasi perluasan penglibatan rakyat dalam Pertahanan Awam dikembangkan kepada golongan intelektual di universiti melalui program dan aktiviti Kor Sispa sebagai mana sasaran kerajaan untuk mewujudkan Akta Pengurangan Risiko Bencana (Disaster Risk Reduction, DRR Act) dengan meletakkan rakyat sebagai komponen utama dalam pengurusan bencana tempatan.
 
Justeru katanya, melalui sokongan KPT dan IPTA/S kepada program dan aktiviti Kor Sispa ini, beliau yakin APM akan terus maju dan mampu berdaya saing dengan agensi lain. 

“Selain itu, mereka ini juga adalah frontliner APM yang bertugas di pintu-pintu masuk antarabangsa, stesen kuarantin, penugasan di lokaliti PKPD, Pusat Pemberian Vaksin, Pengurusan Jenazah Covid-19 dan lain-lain penugasan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan,” ujarnya. 
 
Sementara itu, menurut Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie, mahasiswa amat digalakkan untuk melibatkan diri dalam aktiviti kesukarelawanan melalui sokongan pelbagai pihak melalui program berbentuk khidmat komuniti, kemasyarakatan, badan beruniform dan sebagainya. 

“Malahan, pihak universiti amat menggalakkan penglibatan mereka dalam aktiviti sepanjang tempoh pandemik melalui penugasan di bilik gerakan, bertugas di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dan membantu bersama dalam proses kemasukan semula pelajar baru-baru ini. 
 
“UMP juga turut bersama-sama pihak kerajaan terutama Kerajaan Negeri Pahang untuk menangani pandemik COVID-19 ini. 

“Pemilihan Kompleks Sukan UMP sebagai salah sebuah Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) Negeri Pahang dan antara yang terbesar iaitu boleh menampung sehingga 1,380 orang dalam satu-satu masa merupakan komitmen tinggi pihak pengurusan UMP untuk terus memastikan usaha mengekang penularan wabak ini terkawal,” katanya.

Di samping itu juga, UMP turut dipilih sebagai Pusat Pemberian Vaksin Integrasi IPT dalam program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang telah menyediakan akses untuk masyarakat kampus dan sekitarnya.  

Perhimpunan ini merupakan program tahunan yang direncanakan bagi menilai tahap keberkesanan program Kor SISPA di peringkat kebangsaan. 

Elemen pertandingan Kemahiran Pertahanan Awam, Integrasi dan Keilmuan merupakan inti pati terhadap penganjuran program ini.  

Program Kor Sispa secara rasmi telah dilaksanakan pada tahun 2008 dan pentauliahan pertama dibuat di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam pada 2010 iaitu seramai 155 orang telah ditauliahkan. 

Setelah 11 tahun pelaksanaannya, jumlah kumulatif pentauliahan Pegawai Kadet Sispa kini mencecah 6,090 orang. Majlis turut menyaksikan seramai 19 Pegawai Kadet Kor Sispa diumum PKS Terbaik pada majlis pentauliahan kali ini.

Disediakan oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor (PNC)

Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit