890 pelajar baharu asasi dan diploma Sesi 2024/2025 daftar di UMPSA
GAMBANG, 27 Julai 2024 – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) menerima sejumlah 890 pelajar baharu bagi pendaftaran pelajar program asasi dan diploma bagi sesi akademik 2024/2025.
Jumlah itu mewakili pecahan 815 pelajar Program Diploma dan 75 pelajar baharu Program Asasi Sains dan Teknologi.
Pendaftaran pelajar baharu itu telah diadakan di beberapa lokasi berbeza secara serentak iaitu di Akademi A.D.A.B untuk pelajar UMPSA Pekan, manakala Kolej Kediaman 3 dan 4 untuk pelajar di UMPSA Kampus Gambang.
Proses pendaftaran yang bermula seawal jam 8.30 pagi itu dilihat berjalan lancar dan mendapat kerjasama yang baik daripada semua pelajar, ibu bapa dan petugas.
Sesi pendaftaran pelajar baharu sesi 2024/2025 turut menyaksikan pasangan kembar yang berjaya menerima tawaran melanjutkan pengajian ke UMPSA dalam jurusan Diploma Sains Industri.
Pasangan kembar berusia 18 tahun dari Taman Beserah, Kuantan iaitu Nur Fatin Ariena Zaidi dan Nur Fatin Ariesa Zaidi itu berasa bersyukur kerana menerima tawaran untuk melanjutkan pengajian di UMPSA bagi sesi ini.
Menurut Nur Fatin Ariesa, mereka bersyukur apabila ditawarkan program dan universiti yang sama kerana ia membolehkan mereka untuk terus belajar serta mencapai cita-cita yang diimpikan bersama.
“Apabila ditawarkan di UMPSA, kami mempunyai kelebihan tersendiri kerana tidak perlu takut untuk mencari kawan dan tidak gementar walaupun di tempat baharu kerana apa-apa kami akan Bersama," katanya yang berasal dari Kuantan dan menetap di kediaman kakaknya di Beserah.
Manakala bagi pasangan kembar Program Asasi Sains dan Teknologi, Tong Yi Lin dan kakaknya Tong Yi Xuan yang ditemui ketika mendaftar untuk program Asasi Sains dan Teknologi berkata, mereka teruja kerana berjaya ditempatkan di universiti yang sama.
“Kami berharap pemilihan untuk melanjutkan pengajian di UMPSA kelak akan berakhir dengan kejayaan yang membanggakan suatu hari nanti kerana kami amat meminati bidang Sains dan Teknologi,” katanya.
Program Hari Suai Kenal (HSK) yang bermula pada 27 hingga 28 Julai 2024 pula bertujuan untuk memberi ruang kepada pelajar-pelajar baharu ini menyesuaikan diri dengan kehidupan dan suasana pengajian di UMPSA.
Disediakan Oleh: Siti Nur Azwin Zulkapri, Pusat Komunikasi Korporat
- 192 views