Skip to main content

98.8% graduan FIST UMPSA berjaya tembusi pasaran kerja

98.8% graduan FIST UMPSA berjaya tembusi pasaran kerja

PEKAN, 10 Ogos 2026 – Pendekatan pendidikan berteraskan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan hubungan erat dengan industri membuahkan hasil apabila 98.8 peratus graduan Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FIST), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) berjaya menembusi pasaran kerja.

Kadar kebolehpasaran yang membanggakan itu membuktikan keupayaan FIST melahirkan graduan sains gunaan yang bukan sahaja memiliki pengetahuan akademik, malah menguasai kemahiran teknikal dan praktikal selaras dengan keperluan industri semasa.

Dekan FIST, Profesor Madya Dr. Aizi Nor Mazila Ramli berkata, pencapaian tersebut didorong oleh pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang memberi penekanan tinggi terhadap aspek teknikal serta praktikal, dengan kira-kira 60 peratus kandungan pembelajaran berorientasikan aplikasi dan kemahiran.

“Pendekatan itu membolehkan pelajar mendapat pengalaman secara langsung menggunakan instrumen saintifik, di samping berupaya menilai dan menganalisis data serta menghasilkan penyelesaian berdasarkan dapatan yang diperoleh.

“Program kami bukan bersifat silo dan pelajar banyak didedahkan kepada latihan praktikal dan instrumen supaya mereka bukan sekadar tahu menggunakannya, tetapi mampu menilai dan menganalisis data. 

“Itu adalah sains yang sebenar,” ujarnya. 

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu dalam program pod cast UMPSA 360 yang membincangkan perkembangan dan kecemerlangan FIST dalam bidang sains serta teknologi industri yang diterbitkan oleh Pusat Komunikasi Korporat (PKK) bersama moderatornya Pengarah PKK, Mimi Rabita Abd Wahit. 

Menurut Dr. Aizin Norazila, graduan FIST kini berjaya menembusi pelbagai sektor industri termasuk industri semikonduktor, farmaseutikal, perbankan serta bidang keselamatan dan kesihatan pekerjaan.

“Pencapaian 98.8 peratus ini menunjukkan industri boleh menerima graduan kita dan ia menjadi petunjuk bahawa kita menghasilkan pelajar yang berkualiti serta mempunyai kompetensi yang diperlukan. 

“FIST menawarkan program pengajian daripada peringkat diploma sehingga PhD, antaranya Bioteknologi Industri, Kimia Industri, Teknologi Bahan, Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH), Diploma Sains Industri serta Diploma Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan.

“Sambutan terhadap program yang ditawarkan turut menunjukkan trend positif apabila pengambilan terbaharu bagi dua program diploma merekodkan lebih 120 pelajar berbanding sasaran awal seramai 90 orang,” katanya. 

Bagi memastikan graduan terus relevan dengan kehendak industri, FIST turut memperkukuh hubungan strategik dengan pemain industri melalui penilaian program secara berkala, penglibatan pakar industri sebagai pensyarah bersama (co-lecturer), lawatan akademik, latihan industri serta projek tahun akhir berasaskan permasalahan sebenar industri.

Tambahhya lagi, pelajar perlu tahu apa yang berlaku dalam industri dan bagaimana ilmu yang dipelajari di universiti boleh digunakan untuk menyelesaikan masalah sebenar.

“Pendekatan tersebut turut membolehkan pelajar membina keyakinan dan kemahiran menyelesaikan masalah sebelum melangkah ke alam pekerjaan, sekali gus memberikan nilai tambah kepada kebolehpasaran mereka.

“Dalam masa sama, FIST terus memperluas peluang pengantarabangsaan menerusi program mobiliti dan ijazah dual bersama Kazakh National Agrarian University di Kazakhstan.

“Bagi program ijazah dual itu, kohort kedua seramai 12 pelajar dijadualkan mengikuti pengajian di Kazakhstan pada bulan September ini dengan sebahagian daripada mereka menerima tajaan daripada Yayasan Perak, Yayasan Sabah dan Majlis Amanah Rakyat (MARA). 

“Selain Kazakhstan, program mobiliti berkredit FIST turut melibatkan destinasi seperti China dan Indonesia dengan lebih 30 pelajar dihantar mengikuti mobiliti sepanjang Jun 2026,” katanya. 

Profesor Madya Dr. Aizi Nor Mazila berkata, pengalaman antarabangsa itu penting dalam membentuk graduan yang lebih bersedia menghadapi dunia pekerjaan kerana mereka bukan sahaja memperoleh pendedahan akademik, malah dapat mengasah kemahiran komunikasi, adaptabiliti dan keupayaan berinteraksi dalam persekitaran berbeza.

“Dalam menghadapi perkembangan teknologi, FIST turut menerapkan penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam proses pengajaran dan pembelajaran bagi memastikan pendekatan pendidikan sentiasa seiring dengan keperluan semasa.

“Penggunaan AI bukan bertujuan menggantikan peranan pensyarah, sebaliknya menjadi alat sokongan untuk menjadikan penyampaian ilmu lebih relevan dan menarik kepada generasi masa kini,” ujarnya. 

Selain melahirkan graduan berkualiti, FIST turut memperkukuh sumbangan penyelidikan kepada masyarakat dan negeri Pahang Darul Makmur menerusi kepakaran dalam bidang bioteknologi, kimia industri, teknologi bahan serta keselamatan dan kesihatan pekerjaan.

Antara pencapaian yang mendapat perhatian ialah penglibatan penyelidik FIST dalam usaha mengenal pasti semula ‘Bunga Pekan’, selain kajian berkaitan tanaman ketum ayam yang mendapat sokongan Bahagian Perancang Ekonomi Negeri Pahang.

Manakala dalam bidang penyelidikan pula katanya, FIST mempunyai seramai 78 penyelidik yang aktif menerbitkan artikel saintifik dan memperoleh geran penyelidikan, selain menjalinkan kerjasama dengan pelbagai pemain industri.
Menurut Dr. Aizin Norazila, bidang seperti keselamatan dan kesihatan pekerjaan, teknologi bahan termaju, makanan, kimia industri serta bioteknologi dijangka terus mempunyai permintaan tinggi dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Sebagai fakulti yang menawarkan sains gunaan, kami boleh menyokong agenda UMPSA untuk menjadi hab Advanced TVET bagi ASEAN,” katanya.

Beliau berkata, pembangunan pelajar FIST juga tidak hanya tertumpu kepada kemahiran teknikal, malah aspek kepimpinan, akauntabiliti dan kerja berpasukan turut diterapkan secara berterusan dalam proses pembelajaran.

“Dalam bidang inovasi pula, FIST mencatat pencapaian enam bintang dalam penilaian inovasi di peringkat fakulti, sekali gus mencerminkan kekuatan penyelidikan dan inovasi warga fakulti.

“Yang paling saya banggakan ialah orang-orangnya sendiri. 

“Pensyarah, staf pentadbiran, staf teknikal, pelajar dan alumni merupakan kekuatan utama FIST tanpa sokongan mereka, kecemerlangan yang dicapai hari ini tidak mungkin berlaku,” jelasnya. 

Mengulas hala tuju fakulti, beliau berkata FIST akan terus memperkukuh agenda pengantarabangsaan, kerjasama industri, penjanaan pendapatan dan teknousahawan bagi memastikan graduan bukan sahaja mampu mendapatkan pekerjaan, malah berpotensi mencipta peluang pekerjaan.

Sehubungan itu, beliau mengajak pelajar lepasan sekolah untuk meneroka peluang pengajian di UMPSA, khususnya dalam bidang sains gunaan dan teknologi industri yang menggabungkan pendidikan, teknologi serta pendekatan TVET.

“Cuba tanya diri sendiri, apakah cita-cita terbesar anda dan apa yang anda mahu apabila menyambung pengajian.
“Insya-Allah, kami di FIST boleh membantu memenuhi kehendak itu,” katanya.

Disediakan Oleh: Safriza Baharuddin, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri