Skip to main content

AiGenFest@Festival Idea Pahang serlah potensi Generative AI perkasa produktiviti dan kreativiti

GAMBANG, 12 Oktober 2025 – Program AiGenFest anjuran Pusat Teknologi Industri Termaju (AIT), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) bersempena dengan Festival Idea@Pahang 2025  berjaya menarik perhatian warga akademik, pelajar serta penggiat industri apabila mengetengahkan potensi Generative Artificial Intelligence (AI) dalam memperkasa produktiviti, kreativiti dan pendidikan masa depan.

Menurut Pengarah AIT, Ts. Dr. Nasrul Hadi Johari, program selama dua hari itu menampilkan pelbagai sesi perkongsian ilmu dan demonstrasi teknologi yang memberi pendedahan menyeluruh tentang penerapan AI dalam kerja seharian serta bidang pendidikan.

“Pada hari pertama yang bertemakan ‘Unlocking AI for Smarter Work and Creative Innovation’ menampilkan barisan pakar industri iaitu Hazwan Hassan dari Neuramerge, Azizul Othman dari Lekir Tech dan Coach, Khairul Ikhwan dari Gig Venture yang berkongsi tentang evolusi AI dalam kerja pintar, automasi AI Agent, serta seni prompting bagi menjana inovasi kreatif.

“Sementara itu, hari kedua pula yang bertemakan ‘Transforming Education with AI-Powered Creativity and Engagement’ mengetengahkan sesi bersama Pengarah Program, Azim Mohd Arshad, yang juga Pensyarah Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif (FTKMA) UMPSA, Guru Cemerlang Matematik, Sekolah Kebangsaan Tanjung Batu, Zurina Mat Abu dan Guru Bahasa, Pusat Bahasa Moden, Nurkarimah Yusof. 

Para panelis turut membincangkan bagaimana AI dapat memperkasa pembelajaran terbeza, gamifikasi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP), serta penggunaan Canva AI dalam meningkatkan kreativiti pengajaran.

Bagi Pengarah Program, Azim Mohd Arshad, penganjuran AiGenFest merupakan usaha untuk membawa teknologi Generative AI lebih dekat kepada masyarakat kampus dan industri.

“AiGenFest bukan sekadar tentang mengenali teknologi baharu, tetapi bagaimana kita dapat memanfaatkannya secara bijak dan beretika untuk mempertingkatkan produktiviti serta mencipta nilai baharu dalam pendidikan dan pekerjaan.

“Saya percaya, penguasaan AI akan menjadi pemangkin kepada transformasi digital yang mampan di UMPSA dan negara secara keseluruhan. 

“Program ini turut mendapat sambutan menggalakkan daripada warga kampus, pelajar sekolah dan komuniti sekitar, sekali gus membuka ruang penerokaan teknologi AI yang semakin relevan dalam pelbagai sektor,” ujarnya.

Peserta turut menerima Sijil Penyertaan sebagai pengiktirafan terhadap komitmen mereka dalam meneroka teknologi baharu.

Manakala bagi Hazwan Hassan dari Neuramerge, beliau berpendapat bahawa program ini sangat menarik kerana ia memberi pendadahan kepada pelajar untuk menggunakan AI Tools mengikut pengajaran, pembelajaran dan juga tugas-tugas lain dalam hidup kita.

“AI Tools ini bukan sahaja boleh digunakan dalam pekerjaan tetapi juga dalam melaksanakan kehidupan seharian.
“Saya mengharapkan para pelajar menggunakan ilmu yang dipelajari dan sangat rugi apabila kita tidak menggunakan AI Tools kerana Google juga ada memberikan akses percuma kepada para pelajar untuk menggunakannya.

Penganjuran AiGenFest membuktikan komitmen UMPSA dalam memperkukuh peranannya sebagai universiti teknologi yang bukan sahaja memacu kecemerlangan akademik, malah menjadi rakan strategik dalam memperkasa masyarakat menuju transformasi digital dan pembangunan lestari.

UMPSA sebagai peneraju utama penganjuran Festival Idea@Pahang (FoI) 2025, dilaksanakan selaras dengan mandat yang diberikan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menjelang penganjuran Festival Idea Putrajaya 2025 pada 4 hingga 8 November depan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Perasmian festival ini dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains , Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, Yang Berhormat Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib dan turut dihadiri Naib Canselor UMPSA, Profesor Dr. Yatimah Alias dan Ketua Seksyen Pengurusan Strategik, Jabatan Pendidikan Tinggi, KPT, Mujahidah Khairun Nisak Rosli. 

Disediakan Oleh: Nur Hartini Mohd Hatta, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri