Berani Mendepani Cabaran Global
Kuantan, 6 September- Bakal graduan dinasihatkan agar lebih berani dan sentiasa mempersiapkan diri sebelum melangkah ke alam pekerjaan dengan memahami keperluan dan kehendak industri yang mahukan mereka bersifat realistik serta dapat menyesuaikan diri dalam persekitaran industri. Malahan suatu kelebihan buat mereka yang dapat menguasai pelbagai bahasa untuk lebih berdaya saing.
Bagi Pengarah Scomi Transit Projects Sdn Bhd (Scomi), Rohaida Ali Badaruddin berkata, cekap dalam menguruskan perniagaan, menjalankan tadbir urus dan kewangan dengan baik, beretika dan mempunyai ilmu pengetahuan dalam operasi perniagaan membolehkan mereka terus mendepani cabaran dalam dunia perniagaan antarabangsa hari ini.
Sepanjang 19 tahun berkhidmat di Scomi dan sembilan tahun di Plus Berhad pastinya banyak pengalaman yang ditimba buat anak jati Pahang ini di pentas antarabangsa. Ianya bakal dikongsikan dengan mahasiswa sebagai bekalan apabila bergraduasi kelak.
Syarikatnya telah bertapak di 48 lokasi membabitkan 21 buah negara meliputi negara Asia, Timur Tengah, Afrika, Eropah dan Amerika Syarikat. Ini termasuklah industri berkaitan pembekalan dan perkhidmatan, pembuatan, pembinaan monorel, sistem rel kereta api, permotoran, menyediakan penyelenggaraan serta reka bentuk pengangkutan kapal marin dan penghasilan minyak dan gas.
Rohaida hadir menjayakan CEO@Faculty Programme dengan tajuk “Mengurus kerjasama Antarabangsa: Cabaran dan Peluang” anjuran Pusat Jaringan Industri dan Masyarakat (ICoN) bertempat di Bilik Seminar ICoN, UMP Gambang yang dihadiri lebih 100 mahasiswa. Turut hadir Pengarah ICoN, Prof. Madya Dr. Nurul Hazlina Nordin dan Pengurus ICoN, Mohd. Raizalhilmy Mohd Rais.
Sementara itu, pensyarah Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam, Ir Ts.Dr Nurhidayah Azmy berkata, topik ini sangat menarik dan relevan kerana perkongsian turut dimanfaat sama buat pensyarah mahupun mahasiswa yang mempunyai kolaborasi dengan pihak luar dan antarabangsa.
Manakala mahasiswa UMP, Mohamad Hakimi Jamai yang sedang mengikuti pengajian di Fakulti Pengurusan Industri (FIM), program ini banyak memberi manfaat kepada perdagangan antarabangsa terutamanya dalam mengetahui halangan yang akan dilalui di sesebuah negara itu mempunyai peraturan dan undang-undang berbeza di setiap negara. Selain itu, mahasiswa dapat mengenali syarikat Scomi ini yang banyak beroperasi di seluruh dunia.
Disediakan oleh Nor Salwana Mohamad Idris daripada Bahagian Komunikasi Korporat
- 129 views