Botol terpakai bertukar bunga, semarakkan kelestarian EKSA UMPSA
PEKAN, 13 Ogos 2026 – Sejambak bunga yang kelihatan indah pada pandangan mata ternyata mempunyai cerita yang cukup istimewa apabila setiap kuntumnya dihasilkan daripada botol air mineral terpakai menerusi kreativiti warga Pusat Bahasa Moden (PBM), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
Lebih menarik, sejambak bunga lestari tersebut menjadi pemberian istimewa buat Dekan PBM, Profesor Madya Dr. Zuraina Ali, yang menerimanya ketika majlis penutup bersempena dengan Program SAFEKSA 2026 di PBM.
Aktiviti yang digerakkan oleh Jawatankuasa Kelestarian Zon PBM itu diketuai oleh Jamilah Bebe Mohamad dengan bantuan Farah Hanan Aminallah, Mardhiyyah Zamani, Fathiah Izzati Mohamad Fadzillah, Mahzaton Aqma Abu Talip dan pelajar latihan industri, Muhamad Zul Izrinhelmi Othman.

Menurut Amy Zulaikha Mohd Ali penyelaras Zon EKSA PBM, menerusi aktiviti tersebut, warga PBM digalakkan membawa botol air mineral terpakai ke reruai Pameran EKSA untuk dikumpulkan dan digunakan semula.
“Malah, warga PBM turut berpeluang menghasilkan bunga daripada botol terpakai dengan bimbingan fasilitator yang bertugas.
“Botol air mineral yang lazimnya dianggap sebagai bahan buangan dipotong, dibentuk dan dihias menjadi kelopak bunga sebelum digabungkan untuk menghasilkan sejambak bunga yang kreatif dan menarik.
“Aktiviti ini mengetengahkan konsep upcycling (kitar UPA) dengan memberikan nilai baharu kepada bahan terpakai melalui kreativiti,” ujarnya.
Inisiatif tersebut turut menggalakkan warga PBM mengamalkan penggunaan semula bahan dan mengurangkan pembaziran, selaras dengan usaha membudayakan amalan hijau dalam persekitaran kerja.
Menerima pemberian tersebut, Profesor Madya Dr. Zuraina Ali menzahirkan rasa gembira dan terharu serta menghargai kreativiti warga PBM dalam menghasilkan hadiah yang mempunyai nilai kelestarian.
Katanya, beliau amat menghargai pemberian sejambak bunga ini.
“Kreativiti seperti ini menunjukkan bahawa bahan terpakai juga boleh diberikan nilai baharu dan menjadi sesuatu yang bermakna,” jelas beliau.
Aktiviti Bunga Lestari ini bukan sahaja memberi kehidupan baharu kepada botol plastik terpakai, malah menyemarakkan semangat kerjasama dan kreativiti warga PBM dalam menyokong amalan kelestarian.
Inisiatif tersebut membuktikan bahawa amalan EKSA boleh diterapkan melalui aktiviti yang mudah, kreatif dan menyeronokkan, sekali gus membentuk budaya kerja yang lebih lestari dalam kalangan warga PBM.
Disediakan Oleh: Jamilah Bebe Mohamad, Pusat Bahasa Moden (PBM)
- 34 views