Skip to main content
Code Blue: 34 kg sampah dikutip!

Code Blue: 34 kg sampah dikutip!

TIOMAN, 9 Oktober 2026 – Keindahan pantai Pulau Tioman membawa mesej yang lebih besar daripada sekadar tarikan pelancongan apabila Program Eksplorasi Lingua Komuniti (ELK) Tioman 2026 mengetengahkan aktiviti pembersihan pantai sebagai salah satu pengisian utama program. 

Program anjuran Unit Khidmat Komuniti, Fakulti Pengajian Bahasa Gunaan, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), dengan kerjasama Reef Check Malaysia serta sokongan Lembaga Pembangunan Tioman, merupakan usaha bersama untuk meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan menjaga kebersihan pantai dan memelihara kelestarian ekosistem marin.

Code Blue: 34 kg sampah dikutip!

Program ELK yang berlangsung dari 8 hingga 11 Oktober 2026 di Sekolah Kebangsaan Juara dan Kampung Tekek, Pulau Tioman itu turut menyaksikan aktiviti pembersihan pantai di sekitar kawasan Marina Tekek. 

Aktiviti yang berlangsung selama satu jam itu melibatkan hampir 30 orang peserta yang berganding bahu membersihkan kawasan pantai sepanjang 200 meter. 

Hasil usaha bersama tersebut, sebanyak 34 kg sampah berjaya dikutip, dengan majoritinya terdiri daripada tin minuman, botol plastik dan puntung rokok. 

Inisiatif ini bukan sahaja membantu meningkatkan kebersihan kawasan pantai, malah mencerminkan komitmen bersama dalam memelihara kelestarian alam sekitar serta keindahan Pulau Tioman.

Menariknya, mahasiswa yang hadir bagi menjayakan aktiviti Service Learning Malaysia – University-Community Engagement (SULAM) turut mengambil bahagian dalam inisiatif ini sebagai tanda keprihatinan terhadap kebersihan persekitaran marin. 

Aktiviti ini bukan sahaja memupuk semangat kesukarelawanan dalam kalangan mahasiswa, malah menggalakkan kerjasama antara pihak universiti, komuniti setempat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat dalam meningkatkan kesedaran tentang kepentingan pemeliharaan alam sekitar demi mengekalkan keindahan serta kelestarian Pulau Tioman.

Code Blue: 34 kg sampah dikutip!

Kawasan pantai merupakan persekitaran semula jadi utama yang menyokong kehidupan komuniti dan sektor pelancongan Tioman. 

Justeru, pelaksanaan aktiviti ini menjadi platform praktikal pembelajaran di luar bilik darjah (OBL) yang menghubungkan teori kelestarian dengan tindakan nyata di lapangan.

Pengisian ini melengkapi pendekatan ELK Tioman 2026 yang menggabungkan elemen pendidikan, interaksi sosial dan kesukarelawanan. 

Kehadiran mahasiswa UMPSA bersama komuniti membuktikan bahawa peranan universiti dalam memberi impak positif yang berterusan dalam mendidik dan membina kesedaran masyarakat setempat.

Sinergi antara penuntut universiti dan rakan strategik komuniti ini menjadi asas penting dalam memperluas pendidikan kelestarian alam sekitar. 

Menerusi pembersihan pantai ini, ELK Tioman 2026 dan para pelajar UMPSA berjaya menyebarkan mesej bahawa pemeliharaan kebersihan khazanah alam adalah komitmen berterusan yang perlu dipikul bersama oleh semua pihak. 

Code Blue: 34 kg sampah dikutip!

Inisiatif ini bukan sahaja membantu meningkatkan kebersihan kawasan pantai, malah mencerminkan komitmen bersama dalam memelihara kelestarian alam sekitar serta keindahan Pulau Tioman. 

Malah, usaha ini turut menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 14: Kehidupan di Bawah Air (Life Below Water), yang menekankan kepentingan memelihara dan menggunakan sumber marin secara lestari demi kesejahteraan generasi akan datang.

Disediakan Oleh: Mohammad Baihaqi Hasni, Azimah Ahmad Zaki, Noraisah Nurul Fatwa Mohd Razali dan Khairul Bahri Abdul Samad, Fakulti Pengajian Bahasa Gunaan 

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri