Skip to main content

Dr. Tasyrif Ghazali, Pentadbir UMPSA pertama terima Anugerah Buku Negara

SHAH ALAM, 3 Disember 2025 - Tidak merancang untuk menerbitkan buku ilmiah, Dr. Muhamad Tasyrif Ghazali mencipta kecemerlangan apabila menjadi pentadbir Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) pertama menerima Anugerah Buku Negara 2024-2005 bagi kategori Buku Sains Sosial Terbaik (Pendidikan dan Akademik) menerusi buku Pelan Penggantian: Strategi Peralihan Kepemimpinan dan Kestabilan Organisasi dalam Pesta Buku Antarabangsa Selangor 2025, Setia City Convention Centre 2, Shah Alam. 

Menurut Dr. Tasyrif, penghasilan buku tersebut sebenarnya tidak bermula dengan perancangan awal untuk menerbitkan sebuah naskhah ilmiah. 

"Manuskrip itu lahir daripada proses penyelidikan tesis PhD, namun terdapat beberapa bahagian yang tidak dapat dimuatkan dalam tesis penuh. 

"Kandungan yang berlebihan itu akhirnya dihimpunkan, diperluas dan dibentuk menjadi buku yang komprehensif. 

"Saya menganggap karya tersebut sebagai manifestasi pengalaman dan perjalanan diri saya selama 16 tahun di UMPSA dalam bidang pembangunan bakat dan pengurusan kepimpinan, sesuatu yang jarang didokumentasikan secara terperinci oleh pegawai tadbir universiti," ujarnya. 

Mengulas kepentingan mengetengahkan topik kepimpinan dan pelan penggantian, beliau menjelaskan bahawa teori semata-mata tidak memadai untuk memahami konteks sebenar pembangunan pemimpin dalam sesebuah organisasi. 

"Pelan penggantian sering dilihat sebagai dokumen formal, sedangkan realitinya, pelaksanaan sebenar memerlukan kefahaman menyeluruh terhadap budaya dan dasar organisasi. 

"Tanpa pemahaman ini, pelan penggantian hanya berfungsi sebagai laporan rasmi, bukan sebagai alat strategik untuk mengenal pasti dan memupuk pemimpin masa depan," ujarnya. 

Beliau menegaskan, pelaksanaan dan aplikasi teori secara berasaskan konteks lebih penting berbanding menghafal kerangka model semata-mata.

"Proses penulisan buku itu sendiri merupakan kombinasi penyelidikan akademik dan pengalaman praktikal. 

"Dalam menghasilkan buku, antara cabaran terbesar adalah memastikan hujah-hujah berkaitan pelan penggantian benar-benar konsisten melalui perbandingan pelbagai sumber ilmiah seperti jurnal, buku, laporan dan dokumen rasmi. 

"Kesimpulan yang tepat penting agar pembaca mendapat gambaran jelas mengenai konsep dan proses pelan penggantian dalam organisasi," katanya. 

Beliau turut menyampaikan penghargaan kepada Penerbit UMPSA yang disifatkan sangat terbuka, profesional dan komited dalam memberikan ruang kepada staf bukan akademik untuk berkarya. 

"Sokongan konsisten yang diberikan sejak awal hingga penerbitan adalah antara faktor penting yang menjayakan buku tersebut. 

"UMPSA memiliki khazanah pengalaman dan kepelbagaian ilmu dalam kalangan stafnya yang wajar didokumentasikan. 

"Justeru, peluang penerbitan sebegini perlu diperluas kerana ia bukan sahaja menyumbang kepada kesarjanaan ilmu tetapi juga membina legasi untuk generasi akan datang," katanya.

Beliau sendiri tidak menyangka karya yang hadir secara tidak dirancang itu menerima pengiktirafan setinggi ini. 

"Kemenangan tersebut sebagai bukti bahawa sesuatu buku yang berkualiti tidak terhasil secara kebetulan, sebaliknya melalui gabungan sinergi antara penulis, penyunting, pereka dan penerbit. 

"Sekongan kejayaan ini menjadi inspirasi kepada warga UMPSA yang lain untuk berkarya dan menyumbang kepada pembangunan ilmu, khususnya dalam bidang-bidang yang belum banyak diteroka.

"Penganugerahan ini membuka ruang yang lebih besar untuk mengiktiraf kepakaran pegawai tadbir universiti, sekali gus mengubah tanggapan bahawa mereka hanya menjalankan urusan pentadbiran rutin. 

"Pegawai tadbir mempunyai keupayaan strategik dan analitikal yang kuat serta mampu menyumbang idea, kajian dan penulisan ilmiah yang berkualiti," katanya.

Pengiktirafan luar seperti Anugerah Buku Negara dapat memperkukuh kedudukan pegawai tadbir sebagai golongan profesional yang memiliki autoriti ilmu dalam bidang masing-masing.

Dr. Tasyrif Ghazali, Pentadbir UMPSA pertama terima Anugerah Buku Negara

Panel juri menilai karya Pelan Penggantian sebagai sebuah naskhah yang memiliki novelty yang jelas. 

Dalam katalog Perpustakaan Negara Malaysia, buku ini dikenal pasti sebagai satu-satunya judul berkaitan pelan penggantian yang diterbitkan dalam bahasa Melayu secara komprehensif, menjadikannya unik dan signifikan dalam landskap penulisan pengurusan di negara ini. 

Keunikan itu menjadi antara faktor utama yang melayakkan karya tersebut menerima anugerah peringkat nasional.

Dr. Tasyrif turut menekankan betapa pentingnya pembuatan keputusan dalam pelaksanaan pelan penggantian. 

"Walaupun buku saya ini tidak menentukan keputusan secara langsung, karya tersebut mampu membantu pemimpin organisasi membuat pertimbangan berasaskan prinsip neutral, adil dan seimbang dalam proses mengenal pasti, memilih dan melantik pemimpin baharu. 

"Saya percaya buku ini dapat menjadi panduan asas untuk pemimpin sektor pendidikan tinggi dan organisasi lain memahami bagaimana strategi pelan penggantian dapat diaplikasikan untuk memastikan kelangsungan kepimpinan.

"Setiap pegawai tadbir mempunyai keunikan, bakat serta pengalaman berharga yang seharusnya didokumentasikan dalam bentuk penulisan agar dapat diwariskan kepada generasi seterusnya," katanya. 

Mengulas mengenai aplikasi pelan penggantian dalam tugas hariannya sebagai Pengurus, beliau mengakui bahawa ia tidak dapat dilaksanakan secara langsung kerana hala tuju pembentukan pelan bagi jawatan tertentu masih belum begitu jelas. 

Namun, hal itu tidak menghalangnya untuk terus mengembangkan kepakaran dalam bidang yang diminatinya.

Tambahnya, Pelan Penggantian bukanlah karya pertamanya mengikut perancangan asal. 

"Buku pertama saya kini berada dalam proses akhir penyuntingan di Penerbit UMPSA dan dijangka diterbitkan pada awal tahun 2026. 

"Karya tersebut sebagai lebih menyeluruh dan berharap ia akan memberi manfaat yang besar kepada pembaca apabila diterbitkan kelak.

Sebagai pesanan kepada pegawai tadbir muda, Dr. Tasyrif menekankan kepentingan memahami nilai diri dan terus memperkukuh nilai tersebut seiring masa. 

"Menjadi pakar dalam sesuatu bidang memerlukan masa yang panjang, namun yang lebih penting ialah bagaimana seseorang memanfaatkan masa tersebut untuk membina kelebihan kompetitif dan jenama diri yang kukuh. 

"Semiga ekosistem pentadbiran di universiti terus berkembang dengan memberi pengiktirafan serta membuka laluan kepada pegawai tadbir berdasarkan bakat dan kepakaran sebenar mereka," katanya. 

Pencapaian Dr. Tasyrif ini membawa makna besar kepada UMPSA dan seluruh komuniti pentadbiran universiti di Malaysia. 

Ia menjadi bukti bahawa pegawai tadbir hari ini tidak lagi sekadar menjalankan tugas operasional, tetapi turut berperanan sebagai pemikir strategik, pencetus idea dan penyumbang ilmu melalui penulisan ilmiah. 

Kejayaan ini diharapkan menjadi pemangkin kepada lebih banyak inisiatif pengiktirafan dan pembangunan bakat dalam kalangan pegawai tadbir pada masa hadapan, seterusnya memperkukuh kedudukan UMPSA sebagai universiti yang meraikan kepelbagaian kepakaran dalam memacu kecemerlangan.

Selain buku beliau, buku Forensik Sihir karya Profesor Madya Dr. Mahyuddin Ismail dan Dr. Ahmad Syukran Baharuddin turut diumumkan sebagai pemenang Kategori Umum dan Khas: Buku Popular Pilihan Pembaca.

Disediakan Oleh: Nur Hartini Mohd Hatta, Pusat Komunikasi Korporat 

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri