Drama pendek ‘Teristimewa Raya’ tampil pupuk sifat kasih sayang
PEKAN, 4 April 2024 - Drama pendek raya Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) yang berjudul ‘Teristimewa Raya’ menampilkan Ahmad Firdaus Azrul Syam, pelajar Ijazah Dual Sarjana Muda Kejuruteraan Mekatronik dengan Kepujian Program Kerjasama dengan UMPSA -Karlsruhe University of Applied Sciences.
Ahmad Firdaus membawa watak sebagai ‘Amir’ yang dalam keresahan apabila adik-beradiknya tidak dapat pulang berhari raya bersama ibunya di kampung.
Manakala yang memegang watak ‘Mak Leha’ iaitu ibu kepada Amir pula ialah Norliza Osman yang merupakan staf UMPSA di Jabatan Penyelidikan dan Inovasi.
Watak Mak leha seorang ibu yang begitu semangat untuk menyambut hari raya berhasrat untuk menyediakan pelbagai persiapan dan hidangan.
Namun, impianya mula pudar setelah menerima pesanan ringkas dari anak-anaknya yang tidak dapat pulang berhari raya.
Kerisauannya turut dikongsikan dengan anaknya Amir yang sedang menuntut di UMPSA sehingga membuatkan Amir turut bingung dengan situasi tersebut.
Tiba sehari sebelum hari raya, Amir dikejutkan dengan kemunculan pasukan sukarelawan UMPSA yang membuat kejutan di rumah Amir bagi membantu Amir dan ibunya membuat persiapan hari raya.
Antara salah salah seorang pelajar ini adalah termasuk pelajar antarabangsa dari Palestin yang pernah Amir terlanggar ketika hendak menghadiri kuliah.
Gandingan barisan pelakon yang terdiri daripada pelajar Teknologi dan Kejuruteraan UMPSA ini membuktikan bahawa pelajar UMPSA mempunyai bakat terpendam yang boleh diketengahkan.
Produksi Drama pendek ‘Teristimewa Raya’ itu dihasilkan sepenuhnya oleh Pusat Komunikasi Korporat (PKK) dengan bantuan penata muzik dari Pusat Sukan dan Kebudayaan UMPSA.
Bagi Pengarah Pusat Komunikasi Korporat ( PKK), Mimi Rabita Abdul Wahit selaku Penerbit drama pendek itu berkata, kejayaan produksi drama pendek ini hasil kerjasama PKK dan Pejabat Naib Canselor dengan kerjasama beberapa pusat tanggungjawab seperti Pusat Kebudayaan UMPSA, Institut Pengajian Siswazah (IPS), Pusat Kerjasama Strategik Akademik (PKSA) dan Pusat Teknologi Digital
“Gabungan kreatif staf dan pelajar serta komitmen yang tinggi pasukan produksi berjaya menghasilkan karya mengikut jadual yang ditetapkan setelah mengharungi beberapa cabaran terutamanya dari segi masa dan tugasan masing-masing.
“Kebanyakan babak yang dijalankan pada bukan Ramadan ternyata bukan halangan bagi pasukan ini untuk menghasilkan drama pendek menjelang Aidilfitri yang bakal menjelang tiba,” katanya.
Ujarnya, dalam drama ini juga memupuk sifat penyayang dan kasih sayang pada setiap individu tanpa mengira bangsa dan warna kulit.
“Selain itu juga, drama ini membudayakan kehidupan yang saling menghormati dan membantu antara satu sama lain seiring serta peranan Sukarelawan UMPSA.
“Pada masa yang sama, pengambaran ini melibatkan di persekitaran UMPSA yang turut memaparkan keindahan dan kepakaran yang terdapat di UMPSA,” katanya.
Pihaknya mengucapkan penghargaandan terima kasih atas sokongan pihak universiti khususnya Naib Canselor UMPSA, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin yang turut sama menjayakan pembikinan drama ini.
Drama pendek ini boleh ditonton di Youtube UMPSA TV di pautan https://www.youtube.com/watch?v=HZ1DcJGUTh0 dan lain-lain platform meda sosial rasmi UMPSA.
Drama pendek ini telah berjaya menarik hampir 2,000 tontonan di saluran Youtube UMPTV setakat ini sejak ia disiarkan pada 4 April 2024.
Disediakan Oleh: Nor Salwana Mohammad Idris, Pusat Komunikasi Korporat
- 112 views