Ekosistem Sistem Autonomi (Autonomous System) UMPSA kini di pentas antarabangsa
DUBAI, 19 November 2025 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) mencipta sejarah dengan pelancaran Ekosistem Sistem Autonomi (Autonomous System) bertempat di Pavilion UMPSA-PACDB bersempena dengan Dubai Airshow 2025.
Pelancaran ini membuka ruang lebih luas bagi kerjasama antarabangsa dalam bidang mobiliti pintar dan sistem autonomi.
UMPSA mempunyai fasiliti ujian AV yang komprehensif dan lengkap serta memiliki kepakaran penyelidik gabungan saintis dan jurutera berkaliber tinggi.
Selain itu, UMPSA turut mempunyai rangkaian rakan industri tempatan dan antarabangsa.
Malah dalam pembangunan ekosistem ini, pasukan penyelidik AV UMPSA telah menggunakan teknologi bertaraf tinggi dan metodologi terkini dalam aktiviti-aktiviti penyelidikan, latihan dan konsultansi mereka.
Majlis pelancaran telah disempurnakan oleh Tuan Yang Terutama Duta Besar Malaysia ke UAE, Yang Mulis Tengku Dato' Sirajuddin Tengku Sirajuzzaman Tengku Mohamed Ariffin.
Turut sama hadir Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Dato' Seri Abdul Razak Jaafar, Naib Canselor UMPSA, Profesor Dr. Yatimah Alias dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMPSA, Profesor Ts. Dr. Aida Mustapha.
Menurut Profesor Dr. Yatimah, ekosistem yang diterajui oleh Pengarah Pusat Inovasi dan Pemindahan Teknologi, Profesor Madya Ts. Dr. Muhammad Aizzat Zakaria ini membolehkan semua Kenderaan Autonomi (AV) diuji secara menyeluruh, bermula daripada Operational Design Domain (ODD) sehingga kepada integrasi teknologi industri.
“Ini adalah langkah strategik ke hadapan untuk memacu penyelidikan, pembangunan, dan pengkomersialan teknologi AV di Malaysia dan rantau ini.
"Pelancaran di pentas Dubai Airshow 2025 ini menunjukkan kesediaan UMPSA untuk menjadi hab kecemerlangan serantau dalam Sistem Autonomi, menawarkan penyelesaian yang inovatif dan teruji kepada industri global.
“Program yang berprestij tinggi dan global ini bukan sahaja menjadi platform untuk mempamerkan keupayaan penyelidikan Malaysia kepada komuniti aeroangkasa dan pertahanan antarabangsa tetapi juga membuka peluang kerjasama dengan syarikat teknologi gergasi dunia,” katanya.
Ini secara langsung meletakkan UMPSA sebagai pemain utama dan penyumbang kritikal dalam merevolusikan mobiliti autonomi di peringkat global.
Pembangunan ini juga menjadi asas kepada harapan UMPSA muncul sebagai pusat rujukan mobiliti autonomi begara, sekali gus menyumbang kepada pembangunan teknologi pengangkutan pintar dan keselamatan mobiliti masa depan.
Disediakan Oleh: Mimi Rabita Abd Wahit, Pusat Komunikasi Korporat
- 44 views
Reports by: