Skip to main content

Eksesais Tiger Strike uji keupayaan dan ketangkasan Pegawai Kadet PALAPES UMPSA

LEPAR, 20 Julai 2024- Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) yang merupakan Komandan PALAPES UMPSA, Kepten (Kehormat) Profesor Dato’ Ts Dr. Yusserrie Zainuddin hadir bagi menyaksikan eksesais fasa serangan akhir bagi Pegawai kadet dan anggota dalam mempamerkan keberanian dan ketangkasan yang tinggi dalam latihan serangan yang dibantu dengan simulasi letupan dan tembakan.

Menurut Kepten (Kehormat) Profesor Dato’ Ts Dr. Yusserrie, eksesais ini merupakan satu pendedahan kepada pegawai kadet yang terlibat bagi membentuk daya kepimpinan, keyakinan, kecergasan dan disiplin diri.

“Penglibatan dalam PALAPES ini juga membuktikan para Pegawai Kadet UMPSA mempunyai semangat patriotik dan kesukarelawanan serta daya tahan yang tinggi. 

“Semangat keperwiraan dengan ciri-ciri seperti inilah yang perlu ada dan tersemat di dalam sanubari setiap pegawai kadet,” katanya.

Eksesais Tiger Strike uji keupayaan dan ketangkasan Pegawai Kadet PALAPES UMPSA

Eksesais ini sebahagian daripada Latihan Kem Tahunan 2024 PALAPES Darat UMPSA yang berlangsung selama 15 hari bermula dari 13 hingga 27 Julai 2024. 

Buat julung kalinya, PALAPES Darat UMPSA telah terpilih untuk melaksanakan latihan gabungan bersama Rejimen 505 Askar Wataniah. 

Seramai 88 pegawai kadet terlibat dalam Latihan Kem Tahunan pada kali ini. 

Pembukaan Latihan Kem Tahunan 2024 telah berlangsung di Kem Sungai Miang, Pekan 13 Julai 2024. 

Latihan medan bagi fasa Peperangan Konvensional (CW) yang dinamakan sebagai Eksesais Tiger Strike itu melibatkan seramai 19 pegawai kadet senior berserta  anggota lain pangkat dari Rejimen 505 Askar Wataniah telah dilaksanakan di Lepar Hilir 4, 5 dan 6 mulai 14 hingga 20 Julai 2024. 

Latihan CW ini melibatkan 4 fasa yang dimulai dengan fasa pertahanan, pengunduran, mara dan serangan. 

Pelaksanaan latihan berkonsepkan Field Training Exercise (FTX) ini mampu menguji dan meningkatkan lagi pengetahuan para peserta sejajar dengan Perintah Ulung Panglima Tentera Darat yang menekankan tiga objektif utama iaitu kesiapsiagaan, kemampanan organisasi dan sahsiah keperwiraan. 

Latihan ini juga berupaya mencapai Objektif Strategik UMPSA iaitu untuk  melahirkan graduan holistik. 

Hadir sama menyaksikan latihan ialah Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Lt. Kol. Profesor Ir. Ts. Dr. Ahmad Ziad Sulaiman dan Pengarah Akademi Adab, Profesor Madya Dr. Mohd Nizam Mohmad Kahar.

Disediakan Oleh: Mejar Mohd Azam Muhamad Akhir, Lt. M Nurul Fatihah Allias dan Lt. M Norhaniza Syafrizal. 

Foto: Darol Hisam Darus, Akademi Adab UMPSA

Reports by:
Admin UMP News