Fatini Nasuha penerima Anugerah Diraja UMPSA raih Anugerah Siswi Cemerlang PSWM
KUALA LUMPUR, 16 Mei 2025 – Fatini Nasuha Ahmad Puad, graduan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Pembuatan (Farmaseutikal) dengan Kepujian dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses (FTKKP), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dinobatkan sebagai penerima Anugerah Siswi Cemerlang 2025 oleh Persatuan Siswazah Wanita Malaysia (PSWM) baru-baru ini.
Majlis penganugerahan itu menghimpunkan mahasiswi cemerlang daripada pelbagai universiti awam seluruh negara.
Fatini merupakan antara 12 orang mahasiswi yang diiktiraf atas pencapaian luar biasa dalam akademik, sahsiah dan kepimpinan.
Lebih manis, beliau juga merupakan penerima Anugerah Pelajaran Diraja (Pingat Jaya Cemerlang) sempena Majlis Konvokesyen UMPSA Ke-19, selain pernah diumumkan sebagai Tokoh Mahasiswa Harapan dalam Majlis Anugerah Mercu Sanjung 2024.
Anugerah itu disampaikan oleh Penaung PSWM, YBhg. Toh Puan Dato' Seri Hajah Dr. Aishah Ong, sebagai satu pengiktirafan terhadap pencapaian menyeluruh siswi dari segi kecemerlangan akademik, keterlibatan dalam program pembangunan sahsiah, kegiatan kokurikulum, serta sumbangan aktif kepada masyarakat.
Beliau membawa pulang wang tunai RM2,000 berserta keahlian rasmi PSWM.
Fatini turut menzahirkan rasa syukur dan terharu atas pengiktirafan yang diterima.
Menurutnya, pencapaian ini tidak mungkin dicapai tanpa sokongan padu daripada keluarga, pensyarah, rakan seperjuangan dan komuniti UMPSA yang sentiasa menyokong dalam pelbagai bentuk.
“Anugerah ini bukan sekadar penghormatan peribadi tetapi ia juga satu simbol perjuangan anak muda daripada keluarga biasa yang berani bermimpi besar,” ujarnya.
Sepanjang pengajian, Fatini aktif memegang amanah sebagai Presiden Perwakilan Mahasiswa Residen Pelajar 3 (PEKA 3), memimpin pelbagai program mobiliti antarabangsa dan misi kemanusiaan seperti di Sarawak, Sabah, Kashmir dan Vietnam.
Baginya, pengalaman memimpin misi di kawasan pedalaman Sarawak memberi kesan mendalam dan menyedarkan tentang pentingnya kepimpinan yang berpaksikan empati.
“Melihat sendiri kehidupan masyarakat luar bandar yang serba kekurangan menjadikan saya lebih bersyukur dan berazam untuk menjadikan pendidikan dan kepimpinan sebagai alat untuk mengangkat suara mereka yang terpinggir,” katanya.
Fatini turut menunjukkan potensi besar dalam bidang penyelidikan apabila terlibat dalam projek inovasi farmaseutikal berkaitan “Riboflavin Gastroretentive Floating Tablets”,iaitu formulasi yang berpotensi tinggi dalam sistem penghantaran ubat dan manfaat kesihatan masyarakat.
Namun, di sebalik kejayaan yang dicapai, Fatini tidak menafikan bahawa perjalanan akademiknya penuh dengan cabaran, terutamanya ketika pandemik COVID-19 melanda.
Mengurus masa antara tanggungjawab akademik, organisasi pelajar, penyelidikan dan kerja kemasyarakatan menjadi satu ujian yang besar buatnya.
“Saya belajar bahawa kejayaan bukan datang secara kebetulan.
“Ia memerlukan perancangan rapi, disiplin diri dan keazaman yang tinggi.
“Saya sentiasa berpegang pada prinsip untuk memberi yang terbaik, walau dalam apa jua keadaan,” ujarnya.
Fatini turut menjadikan kedua ibu bapanya sebagai sumber inspirasi utama.
“Nilai kesederhanaan, keikhlasan dan istiqamah yang mereka terapkan sejak kecil menjadi prinsip hidup saya.
“Kejayaan bukan soal siapa yang paling hebat, tetapi siapa yang paling ikhlas dan konsisten dalam perjuangannya,” tambahnya.
Menitip pesanan kepada warga UMPSA, Fatini menyeru agar mahasiswa tidak takut untuk bermimpi besar dan berusaha melangkaui zon selesa.
“Jangan tunggu peluang datang kepada anda, tetapi cipta peluang itu sendiri.
“Percayalah bahawa setiap langkah kecil hari ini mampu mencipta impak besar esok,” ujarnya.
Fatini turut berkongsi harapannya untuk terus menyumbang dalam industri, penyelidikan dan kerja-kerja komuniti.
Beliau ingin menjadi bukti hidup bahawa latar belakang bukanlah halangan untuk mencipta kejayaan yang memberi makna kepada orang lain.
“Perjalanan ini saya mulakan bukan untuk menjadi yang terbaik, tetapi untuk terus memberi yang terbaik.
“Saya percaya, kejayaan sebenar bukan milik mereka yang bermula di tempat tinggi tetapi milik mereka yang berani membawa impian terbang setinggi bintang demi memberi cahaya kepada yang lain,” tambahnya lagi.
UMPSA amat berbangga dengan pencapaian Fatini Nasuha yang menjadi inspirasi bukan sahaja kepada warga kampus malah kepada generasi muda di seluruh negara.
Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat
- 220 views