Festival Idea@Pahang dan Hari Terbuka Mahasiswa UMPSA bakal berlangsung Sabtu dan Ahad ini
GAMBANG, 8 Oktober 2025 – Orang ramai dan warga kampus dijemput hadir ke Festival Idea@Pahang dan Hari Terbuka Mahasiswa Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) yang akan berlangsung pada 11 dan 12 Oktober ini di Dewan Kompleks Sukan UMPSA Kampus Gambang.
UMPSA sebagai peneraju utama penganjuran Festival Idea@Pahang (FOI) 2025, bakal dilaksanakan selaras dengan mandat yang diberikan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menjelang penganjuran Festival Idea Putrajaya 2025 pada 4 hingga 8 November depan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Menurut Naib Canselor UMPSA, Profesor Dr. Yatimah Alias, penganjuran FOI ini merupakan inisiatif penting dalam mengangkat budaya ilmu dan inovasi khususnya di negeri Pahang dalam membentuk ekosistem pemikiran masa hadapan.
“FOI ini bukan sahaja menjadi medan wacana intelektual, tetapi juga platform untuk rakyat berkongsi idea, inovasi dan solusi demi kemajuan negeri serta kesejahteraan masyarakat.
“FOI 2025 turut menjadi wadah untuk merakyatkan pendidikan tinggi dan idea secara besar-besaran serta menghubungkan jaringan kerjasama strategik antara pihak kerajaan, akademia, industri dan komuniti.
“Melalui penganjuran ini, UMPSA juga berhasrat mencipta peluang bagi menggerakkan masyarakat ke arah kualiti hidup yang lebih tinggi, memperkasakan kepimpinan intelektual anak muda serta mengarusperdanakan inovasi merentas sektor,” ujarnya.
Beliau turut menzahirkan harapan agar FOI Pahang dapat berperanan memperkukuh pembangunan modal insan dan memantapkan jaringan kerjasama antara universiti, industri dan komuniti seiring dengan slogan ‘Teknologi untuk Masyarakat’.
“Dengan sokongan padu pelbagai pihak, kita yakin FOI akan menjadi pemangkin pembangunan pemikiran strategik yang mampu memacu transformasi negeri Pahang sebagai negeri maju, berdaya saing dan sejahtera,” katanya.
Selain itu, mahasiswa juga dapat mempamerkan hasil kreativiti dan inovasi serta mengambil bahagian dalam penyertaan kelab serta persatuan sempena Hari Terbuka Mahasiswa yang berlangsung serentak.
Antara pengisian utama yang bakal menyerikan festival ini termasuk AI Generation Festival, Pameran Penyelidikan dan Inovasi, Hari Pengkomersialan, Perkhidmatan dan Konsultasi Rakyat, Hari Terbuka Fakulti dan Makmal, Pameran TVET Termaju, serta Promosi Kemasukan Pelajar Prasiswazah dan Pascasiswazah.
Semua aktiviti ini dirancang bagi memberi pendedahan meluas kepada masyarakat terhadap hasil penyelidikan, inovasi dan kepakaran universiti selain memperkukuh hubungan di antara UMPSA dengan komuniti setempat.

Perasmian festival ini dijangka bakal dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, Yang Berhormat Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib.
Disediakan Oleh: Nur Hartini Mohd Hatta, Pusat Komunikasi Korporat
- 109 views
Reports by: