Global Classroom temukan mahasiswa UMP dan Kansai University
KUANTAN, 30 Jun 2021 – Pengalaman menyertai Global Classroom antara mahasiswa Universiti Malaysia Pahang (UMP) dengan Kansai University (KU), Jepun telah mencoret kenangan manis buat peserta apabila mereka bertemu dalam talian di Kansai University - Digital Transformation (KU-DX) Press Release yang melibatkan beberapa buah universiti antarabangsa termasuk Amerika Syarikat, Filipina, Taiwan dan Korea bersama wakil-wakil media dari negara Jepun.
Program kerjasama yang dilaksanakan secara dalam talian itu melibatkan seramai 28 orang mahasiswa program Teknologi Bahan, Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI), UMP dan 10 orang mahasiswa KU.
Para peserta telah dibahagikan kepada lima buah kumpulan dalam kursus Advanced Materials (BSP3452). Ia dengan dikendalikan oleh pensyarah FSTI, Dr. Saifful Kamaluddin Muzakir (UMP), Ts. Dr. Muhammad Hafiz Mazwir (UMP), Profesor Dr. Keiko Ikeda (KU) dan Profesor Madya Dr. Masato Ueda (KU).
Menurut mahasiswa FSTI, Nurhuda Fatinah Abdul Samad, 22, program yang berlangsung selama lima minggu itu telah membuka minda peserta untuk melihat suatu permasalahan melalui perspektif global.
“Tidak dapat dilupakan juga keseronokan apabila kebolehan ilmu komunikasi menggunakan bahasa Inggeris dapat diuji bersama rakan-rakan dari negara matahari terbit.
“Dalam pertemuan mingguan, setiap kumpulan diberikan tugasan berbeza sewaktu sesi percambahan idea.
“Topik utama perbincangan antaranya ialah impak COVID-19 kepada cara pemikiran untuk kelangsungan hidup, keperluan teknologi sebagai alat memperbaiki mutu hidup, dan tanggungjawab mahasiswa selaku golongan berilmu terhadap kesejahteraan sejagat,” katanya.
Walaupun program hanya dijalankan pada setiap hari Jumaat, tetapi mereka sentiasa berhubung menerusi aplikasi Telegram, WhatsApp, Zoom dan Padlet untuk menyelesaikan tugasan yang diberi.
Di kesempatan itu juga mereka berpeluang bertukar fikiran mengenai hobi, adat, adab dan budaya bagi mengisi masa lapang.
Manakala rakannya Rihashni Thivagaran, 25, amat teruja kerana pertama kali menyertai program kerjasama Global Classroom.
Ujarnya, program tersebut berjaya mencetus penghayatan pembelajaran melalui dunia digital dan mampu mewujudkan persekitaran maya yang kondusif untuk perbincangan dua hala.
Anak kelahiran Kedah itu berkata, pelantar pembelajaran di luar kelas seperti ini sesuai dengan keperluan norma baharu bukan sahaja untuk memenuhi perancangan akademik namun juga sebagai alat untuk sokongan moral dan emosi para peserta sewaktu fasa pemulihan pandemik.
“Saya berharap suatu masa nanti sistem pembelajaran akan membolehkan mahasiswa dan ahli akademik bekerja sebagai satu komuniti global yang berkongsi sumber, teknologi dan kepakaran dengan bersandarkan teknologi-teknologi terkini seperti realiti maya (virtual reality) dan realiti berperantara (augmented reality),” katanya.
Inisiatif-inisiatif yang telah ditunjukkan oleh kedua-dua universiti pada hari ini merupakan langkah pertama untuk menuju impian tersebut.
Program kerjasama Global Classroom merupakan sebuah pelantar pembelajaran secara dalam talian yang digunakan untuk perkongsian sumber, pengetahuan, idea dan kepakaran. Teras kerjasama ini tertumpu kepada pembinaan jaringan kerja yang kukuh antara peserta dari kedua-dua institusi.
Disediakan Oleh: Nor Salwana Mohd Idris, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor (PNC)
- 228 views