Skip to main content

Graduan TVET UMPSA jadi rebutan industri pembuatan dan mekatronik global

PEKAN, 6 Ogos 2026 – Fakulti Teknologi Kejuruteraan Pembuatan dan Mekatronik (FTKPM), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus memperkukuh kedudukannya sebagai peneraju pendidikan TVET negara menerusi penawaran program akademik yang menepati keperluan Revolusi Industri 4.0 serta melahirkan graduan berkemahiran tinggi yang menjadi pilihan industri di dalam dan luar negara.

Dekan FTKPM, Profesor Dr. Ahmad Razlan Yusof berkata, keunikan fakulti itu terletak pada gabungan dua bidang strategik iaitu teknologi pembuatan dan mekatronik yang saling melengkapi dalam pembangunan industri moden berasaskan automasi, robotik dan kecerdasan buatan (AI).

“Pendekatan pembelajaran berasaskan amali yang diterapkan di FTKPM memberi kelebihan kompetitif kepada graduan apabila lebih 70 peratus kandungan program teknologi kejuruteraan tertumpu kepada latihan praktikal yang selari dengan keperluan industri semasa.

“Industri hari ini bukan sahaja memerlukan graduan yang menguasai teori, malah mereka perlu mahir mengendalikan teknologi sebenar yang digunakan di kilang dan sektor pembuatan. 

“Itulah kekuatan graduan FTKPM," katanya ketika menjadi tetamu Podcast UMPSA 360 anjuran Pusat Komunikasi Korporat (PKK) yang dikendalikan oleh Pengarah PKK, Mimi Rabita Abd Wahit. 

Tambah beliau lagi, hubungan erat dengan pemain industri seperti Perodua, Volkswagen, PETRONAS, TT Electronics dan Move Robotic membolehkan kurikulum sentiasa dikemas kini mengikut perkembangan teknologi, di samping menerima sumbangan mesin serta peralatan industri bernilai tinggi bagi menyokong proses pengajaran dan pembelajaran.

“Malah, pelajar turut mengikuti pembelajaran berasaskan kerja (Work-Based Learning) yang memberi peluang kepada mereka menjalani latihan industri, melaksanakan projek tahun akhir serta mengikuti pengajaran bersama industri dalam tempoh setahun sebelum bergraduasi.

“Dalam aspek pengantarabangsaan pula, FTKPM kini menawarkan beberapa program ijazah dual bersama institusi terkemuka di Jerman dan China yang membuka ruang kepada pelajar memperoleh pendedahan teknologi bertaraf antarabangsa serta meningkatkan kebolehpasaran mereka di peringkat global,” ujarnya. 

Menurut beliau, kejayaan alumni FTKPM yang kini berkhidmat sebagai jurutera, penyelidik, pengurus operasi dan usahawan teknologi di Jerman, Belgium, Arab Saudi dan Australia membuktikan kualiti graduan yang dihasilkan universiti itu.

Selain kecemerlangan akademik, FTKPM turut aktif melaksanakan program pemindahan ilmu dan khidmat komuniti melalui pelbagai inisiatif bersama sekolah, komuniti setempat dan agensi kerajaan. 

Antaranya termasuk pelaksanaan Program MYSTI MADANI yang melibatkan tujuh kawasan Parlimen di Pahang serta pembangunan inovasi bagi membantu institusi pendidikan dan masyarakat.

Dalam usaha menyokong aspirasi UMPSA sebagai Hab TVET Termaju menjelang tahun 2030, FTKPM akan terus memperluaskan jaringan kerjasama antarabangsa melalui pelaksanaan program ijazah dual, makmal bersama serta seminar antarabangsa melibatkan institusi dari Jerman, Indonesia, Taiwan, Thailand dan Filipina.

Beliau yakin gabungan kepakaran akademik, kerjasama industri dan jaringan global akan terus memperkukuh peranan FTKPM sebagai pemangkin pembangunan modal insan berkemahiran tinggi serta menyumbang kepada kemajuan sektor pembuatan dan teknologi negara.

Disediakan Oleh: Safriza Baharuddin, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri