Hari Keluarga SEJAHTERA UMPSA 2025 meriah, himpun lebih 1,400 warga universiti dan keluarga
PEKAN, 29 November 2025 - Program Hari Keluarga SEJAHTERA (HKS) Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) 2025 berlangsung penuh meriah di Dewan Serbaguna UMPSA Pekan dengan kehadiran lebih 1,400 ahli Persatuan Kebajikan dan Kesejahteraan Staf UMPSA (SEJAHTERA) dan keluarga.
Program ini bukan sahaja menjadi wadah pengukuhan silaturahim warga universiti, malah menandakan kembalinya tradisi Hari Keluarga UMPSA selepas kali terakhir dianjurkan pada tahun 2019.
Penganjuran HKS kali ini yang mengangkat tema ‘SEJAHTERA BERSAMA, 1 KELUARGA, 1 UMPSA’ melambangkan komitmen universiti dalam memupuk budaya harmoni, hormat, kasih sayang dan integriti dalam kalangan warganya.
Hadir merasmikan program, Naib Canselor UMPSA, Profesor Dr. Yatimah Alias yang turut meluangkan masa bersama warga universiti.
Hadir sama Pendaftar, Dato’ Saiful Bahri Ahmad Bakarim, Presiden SEJAHTERA, Abd. Rahman Haji Safie, barisan pengurusan universiti, ketua jabatan serta kepimpinan persatuan staf seperti Persatuan Staf Akademik (PAKAD), Persatuan Pegawai Tadbir & Ikhtisas (PPTI) dan Kesatuan Kakitangan Sokongan UMPSA (KESUMP).

Dalam ucapan perasmiannya, Profesor Dr. Yatimah menyampaikan penghargaan kepada warga UMPSA yang hadir beramai-ramai bagi menjayakan program ini.
“Hubungan sesama staf dan keluarga merupakan teras kekuatan UMPSA sebagai sebuah komuniti akademik yang progresif.
“UMPSA bukan hanya sebuah institusi akademik, tetapi sebuah keluarga besar yang saling menyokong dan saling menguatkan.
“Di sebalik kejayaan setiap warga kerja, berdirilah keluarga yang menjadi tunjang kesejahteraan dan motivasi mereka,” katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa kecemerlangan universiti sangat dipengaruhi oleh tahap kesejahteraan staf.
“Kesejahteraan staf dan keluarga memberi impak langsung kepada kecemerlangan universiti. Apabila keluarga berada dalam keadaan harmoni, staf lebih bermotivasi untuk menyumbang kepada kecemerlangan UMPSA,” tambahnya.
Profesor Dr. Yatimah menyambut baik usaha SEJAHTERA menganjurkan Hari Keluarga yang dianggap sebagai inisiatif penting dalam membina budaya kerja positif dan profesional di UMPSA.
Beliau berharap program seperti ini dapat diteruskan setiap tahun dengan penyertaan lebih ramai warga universiti kerana program ini merupakan satu program yang dinanti-nantikan oleh warga universiti.
Sementara itu, Abd Rahman menyifatkan penganjuran tahun ini sebagai sebuah ‘reunion besar’ selepas beberapa tahun tertangguh.
Beliau turut merakamkan ucapan penghargaan kepada PAKAD, PPTI, KESUMP jawatankuasa kerja serta para sukarelawan yang bertungkus-lumus menjayakan program dan tidak lupa kepada barisan penaja yang memeriahkan lagi penganjuran Hari Keluarga SEJAHTERA UMPSA kali ini.
Pelbagai aktiviti sukaneka melibatkan kanak-kanak dan staf menceriakan suasana dengan gelak tawa dan sorakan memenuhi ruang dewan dan kawasan aktiviti.
Suasana bertambah gamat dengan lebih 180 cabutan bertuah yang dinantikan para peserta.
Hadiah utama menjadi detik paling mencuri tumpuan apabila dimenangi oleh staf Pusat Pengurusan Strategik dan Kualiti (PPSK), Norshalawati Mat Yusof yang disambut dengan sorakan gemuruh daripada para peserta.
Beliau membawa pulang hadiah utama berupa sebuah Smart TV Sharp 50 inci.
Selain aktiviti santai, program ini turut menjadi platform menggalakkan lebih ramai staf menyertai Persatuan SEJAHTERA sebagai usaha memperkukuh komuniti kebajikan UMPSA.
Penyertaan yang lebih meluas dijangka dapat meningkatkan keberkesanan program kesejahteraan pada masa hadapan.
Hari Keluarga SEJAHTERA UMPSA 2025 sekali lagi membuktikan bahawa kekuatan UMPSA bukan sahaja terletak pada kecemerlangan akademik, tetapi juga pada hubungan erat yang mengikat seluruh warganya sebagai satu keluarga besar UMPSA.
Disediakan Oleh: Juliana Mohd Ali, Persatuan Kebajikan dan Kesejahteraan Staf Umpsa (SEJAHTERA)
- 23 views
Reports by: