Skip to main content

Hari Terbuka Mahasiswa UMPSA 2025 semarak semangat pelajar lebih kreatif, berdaya saing dan berintegriti

GAMBANG, 12 Oktober 2025 - Hari Terbuka Mahasiswa Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) 2025 telah berlangsung dengan meriah di Dewan Kompleks Sukan, Kampus Gambang.

Program anjuran Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UMPSA dengan kerjasama Akademi A.D.A.B dan Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA) itu diadakan bersempena dengan Ekspo Konvokesyen Ke-20 UMPSA.

Sebanyak 105 reruai badan pelajar mengambil bahagian dalam memperkenalkan pelbagai kelab, persatuan dan teras universiti kepada para pengunjung.

Pelbagai pengisian menarik turut menyerikan acara termasuk sesi pembentangan pencarian ahli baharu oleh badan pelajar, demonstrasi kemalangan oleh SISPA, ceramah kesedaran membanteras buli, cabutan bertuah serta persembahan kebudayaan dan kesenian oleh kumpulan pelajar seperti Kencana Pawana, Srikala Satria, UMPSA Chinese Traditional Dance dan Bornean Melody.

Naib Canselor UMPSA, Profesor Dr. Yatimah Alias merakamkan penghargaan kepada MPP dan semua pihak yang terlibat dalam menjayakan penganjuran Hari Terbuka Mahasiswa UMPSA 2025.

“Penganjuran program seumpama ini bukan sahaja menjadi wadah kepada mahasiswa untuk memperkenalkan kelab dan persatuan masing-masing, malah mencerminkan semangat kepimpinan, kreativiti dan kebersamaan dalam komuniti kampus
.
“Hari Terbuka Mahasiswa ini adalah platform terbaik untuk mencungkil potensi dan bakat kepimpinan pelajar. 

“Saya percaya penglibatan aktif mahasiswa dalam aktiviti kelab dan persatuan akan membantu membentuk sahsiah unggul serta menambah nilai kepada pengalaman universiti mereka,” ujarnya. 

Profesor Dr. Yatimah turut menyeru agar mahasiswa UMPSA terus menonjolkan identiti sebagai generasi berilmu, beradab dan berintegriti, selaras dengan aspirasi universiti dalam melahirkan graduan holistik dan berdaya saing di peringkat global.

Hari Terbuka Mahasiswa UMPSA 2025 semarak semangat pelajar lebih kreatif, berdaya saing dan berintegriti

Program ini menjadi platform penting dalam memperkenalkan peranan badan pelajar serta menyerlahkan semangat mahasiswa dalam membentuk komuniti kampus yang kreatif, berdaya saing dan berintegriti.

Majlis menyaksikan pemenang persatuan /kelab dinobatkan mengikut teras termasuklah SUKSIS, UMPBot, Signa Melody, In-Smartive, SEHIMSAK, MechaPro, Espansia dan PEKA 3.

Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Dato’ Ir. Ts. Dr. Ahmad Ziad Sulaiman, Penolong Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (Pembangunan Pelajar), Profesor Madya Ts. Dr. Mohd Nizam Mohmad Kahar dan Pendaftar, Dato’ Saiful Bahri Ahmad Bakarim.

Hadir sama Pengarah Akademi A.D.A.B, ChM. Dr. Siti Umairah Mokhtar serta Pengarah Program Hari Terbuka Mahasiswa 2025, Saudara Arvind a/l Pathmanathan. 

Disediakan Oleh: Siti Nur Azwin Zulkapri, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri