Skip to main content

iFUTURE@UMPSA himpun bakat kepimpinan muda peringkat global

GAMBANG, 19 Jun 2025 - Program iFUTURE@UMPSA berlangsung meriah di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Kampus Gambang yang menghimpunkan pelbagai pihak termasuk pelajar, pensyarah, agensi dan industri dalam memacu agenda pembangunan bakat masa depan negara. 

Program itu adalah aspirasi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bagi memastikan generasi pelapis pemimpin negara didedahkan dalam pelbagai isu nasional dan global.

Antara tarikan utama ialah Forum iFUTURE yang menampilkan sesi berprestij dikendalikan oleh Profesor Madya Ir. Dr. Nurul Hazlina Noordin sebagai moderator bersama panel jemputan  iaitu Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Megat Jalaludin Megat Hassan dan Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, Dato’ Mohd Nizar Mohamad Najib.

Penganjuran iFUTURE kali ini merangkumi tiga siri utama yang memberikan fokus kepada Pemerkasaan Wanita, Agenda TVET, serta Dialog Mahasiswa ASEAN yang turut menghimpunkan penyertaan pelajar dari pelbagai universiti luar negara termasuk Universitas Indonesia, Vietnam University of Ho Chi Minh, University of Southeastern Philippines, Svay Rieng University (Kemboja) dan Nanyang Technological University (Singapura).

Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias turut merakamkan ucapan tahniah kepada penganjur.

“Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada Majlis Perwakilan Pelajar (MPP)  UMPSA di bawah seliaan saudara Muhammad Haykal Halid yang berjaya menguruskan program iFUTURE ini sepenuhnya. 

“Ini adalah selari dengan Agenda Pemerkasaan Mahasiswa di UMPSA. 

“Program ini turut mencipta detik bersejarah menerusi pelepasan rasmi Program Kembara Mobiliti Antarabangsa UMPSA yang melibatkan lebih 1,000 orang pelajar yang akan menyertai program pengantarabangsaan ke lebih 13 buah negara,” ujarnya. 

Tambah Profesor Dr. Yatimah, langkah ini merupakan satu lonjakan besar dalam usaha memperkasa mahasiswa Malaysia dan UMPSA khususnya sebagai warga global yang memiliki pengalaman rentas budaya serta kepimpinan antarabangsa.”

“Malah, program ini turut memperkukuh jaringan kerjasama antara akademia, industri dan kerajaan serta menjadi platform strategik dalam melahirkan graduan holistik, berkepimpinan serta berdaya saing di peringkat antarabangsa,” katanya. 

Turut berlangsung ialah perhimpunan lebih 1,000 pelajar antarabangsa dan tempatan yang menyertai pelbagai aktiviti sepanjang program berlangsung.

Disediakan Oleh: Siti Nur Azwin Zulkapri, Pusat Komunikasi Korporat

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri