Skip to main content

Insentif Kecemerlangan (Platinum) Yayasan UMP Buat Mahasiswa Cemerlang

Kuantan, 22 Februari – Terpilih menerima Insentif Kecemerlangan (Platinum) Yayasan UMP, mahasiswa tahun akhir Universiti Malaysia Pahang (UMP) daripada Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI), Nurnajjah Ashuha Adipso tidak menyangka beliau adalah di antara 30 mahasiswa bertuah yang menerima insentif kecemerlangan bernilai RM 500 apabila mendapat keputusan cemerlang pada semester ini.

“Pemberian insentif ini sangat membantu terutamanya untuk kelangsungan hidup pada semester baharu pengkuliahan. Ianya memberikan semangat untuk saya mengekalkan kecemerlangan dengan keputusan yang lebih baik sehingga tamat pengajian nanti,” katanya yang hadir sempena Majlis Penyerahan Insentif Kecemerlangan (Platinum) Yayasan UMP yang berlangsung di Dewan Bankuet Canseleri, UMP Gambang baru-baru ini.

Begitu juga dengan mahasiswa Kolej Kejuruteraan, Yeoh Yuan Xin yang amat gembira dan tidak menyangka menerima insentif ini daripada Yayasan UMP. Ujarnya, penyerahan Insentif ini menunjukkan UMP prihatin dalam menjaga kebajikan penerima biasiswa dan sangat menghargai usaha murni ini. Beliau mengharapkan akan terus mencapai keputusan cemerlang dalam akademik dan kokurikulum di sepanjang pengajian. .

Mereka berdua adalah di antara 250 penerima manfaat insentif pendidikan Yayasan UMP sejak diperkenalkan pada tahun 2016 lalu. Lebih bertuah, pada kali ini Yayasan UMP memperkenalkan Insentif Kecemerlangan (Platinum) Yayasan UMP bagi penerima manfaat yang meraih keputusan cemerlang dengan nilai gred 3.5 dan ke atas bagi setiap semester.   

Hadir menyampaikan sumbangan adalah Pengerusi Lembaga Pengarah UMP, Dato’ Sri Ibrahim Ahmad yang turut dihadiri Naib Canselor UMP, Prof. Ir. Dr. Wan Azhar Wan Yusoff, ahli-ahli Lembaga Pengarah UMP (LPU) yang terdiri daripada Datuk Aishah Shaikh Ahmad, Shaiful Suliman, Dato’ Sri Md. Sharif Shamsuddin dan Prof. Madya Dr. Wan Zuhainis Saad dengan diiringi Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Prof. Dato’ Dr. Yuserrie Zainuddin.

Menurut Dato’ Sri Ibrahim, berdasarkan data sehingga tahun 2025 dijangkakan sebanyak 70 peratus mahasiswa UMP merupakan mereka yang berlatar belakang keluarga dalam kelompok B40.

“Insentif Kecemerlangan (Platinum) ini adalah inisiatif dibawah Yayasan UMP bagi menambah suntikan semangat kepada mahasiswa untuk terus mengekalkan kecemerlangan dalam pencapaian akademik sehingga tamat pengajian. Mahasiswa yang terpilih adalah terdiri daripada mereka pernah menerima bantuan awal pendidikan daripada Yayasan UMP sebelum ini,” katanya.  

Dalam pada itu beliau turut menyampaikan sumbangan  bantuan zakat kepada 30 orang penerima yang disumbangkan oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB untuk meringankan beban kewangan dalam urusan pembelajaran di UMP.  

Pihak Yayasan UMP dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni (JHEPA) sentiasa mengangkat isu-isu kebajikan mahasiswa dan hal ehwal pendidikan mahasiswa menerusi penajaan biasiswa, pengagihan bantuan zakat dan sara hidup mahasiswa, inisiatif Campus Pantry serta bantuan pendidikan bagi mahasiswa baharu.

Selain itu, Yayasan UMP sentiasa mengumpul dana daripada pihak syarikat, institusi dan orang ramai bagi kegunaan kebajikan mahasiswa UMP serta membiayai program pendidikan, kemasyarakatan dan menyediakan kemudahkan pembelajaran tambahan untuk dimanfaatkan mahasiswa universiti. Dalam pada itu, UMP turut giat menjalankan Kempen `Jom Berwakaf Bersama’ bagi mengumpul dana bagi Waqaf Kolej Kediaman Mawaddah UMP. Sumbangan boleh dibuat dengan memuat turun aplikasi SnapNPay, Portal (FPX) atau potongan gaji bagi warga UMP. Orang ramai boleh melayari portal mygift.ump.edu.my. untuk maklumat lanjut.

Disediakan oleh Nur Sa'adatul Afzan Jusoh daripada Pejabat Naib Canselor 

 

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri