Insentif Pendidikan Yayasan UMP Buat Mahasiswa Baharu
Pekan, 7 Februari – Seramai 16 mahasiswa baharu Universiti Malaysia Pahang (UMP) yang hadir dalam sesi pendaftaran semester II Sesi Akademik 2019/2020 baru-baru ini layak menerima Skim Bantuan Insentif Pendidikan Yayasan UMP sebanyak RM 1000 setiap seorang bagi meringankan beban nahasiswa untuk persiapan mendaftar. Mereka yang terpilih ini adalah antara 438 mahasiswa yang mendaftar bagi kemasukan ambilan kedua UMP yang berlangsung serentak di kedua-dua kampus UMP di Gambang dan Pekan.
Hadir menyampaikan sumbangan adalah Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa), Prof. Ts. Dr. Mohd Rosli Hainin bertempat di Pusat Aktiviti Pelajar UMP Pekan manakala di UMP Gambang serahan disampaikan Dekan Perkhidmatan Pelajar Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof Madya Dr Mansor Sulaiman di Pejabat Kolej Kediaman Kedua.
Menurut Prof. Ts. Dr. Mohd Rosli berkata, skim bantuan Insentif Pendidikan UMP ini merupakan usaha Yayasan UMP dalam membantu mahasiswa daripada keluarga kurang berkemampuan (B40) bagi meringankan beban keluarga serta mahasiswa dalam membuat persiapan masuk universiti.
“Bagi yang menerima insentif ini mereka juga berpeluang menerima sumbangan RM 500 apabila mencapai keputusan cemerlang dengan memperoleh Purata Nilai Gred 3.50 dan ke atas pada setiap semester. Ianya baharu diperkenalkan pada tahun ini sebagai dorongan agar mengekalkan kecemerlangan sehingga tamat pengajian,” ujarnya.
Tambah beliau, pihak Yayasan UMP sentiasa agresif untuk mencari dana bagi membolehkan lebih ramai mahasiswa menerima sumbangan. Sehingga kini, dana diperolehi daripada beberapa sumber termasuklah syarikat korporat, sumbangan rakan kerjasama termasuklah pihak Bank Rakyat, alumni dan orang ramai.
Sementara itu, bagi Muhammad Firdaus Nor Hamda, 22 yang berasal dari Jerteh, Terengganu amat terharu dan tidak menyangka terpilih menerima sumbangan Yayasan UMP untuk menampung urusan pendaftarannya serta perbelanjaannya.
Beliau yang merupakan anak ketiga dari lapan adik-beradik ini bersyukur kerana dapat menyambung pengajian ke peringkat ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Kejuruteraan Pembuatan.
Menurutnya, pada awalnya dirinya berbelah bagi untuk menyambung pengajian mengenangkan pendapatan ibu hanya berpandukan kepada duit pencen arwah ayahnya. Namun, atas nasihat ibunya beliau meneruskan pengajian.
“Ibu berpesan dengan pelajaran akan menjadi bekalan untuk kehidupan pada masa depan. Insya Allah saya akan berusaha sebaik mungkin dalam pengajian sehingga berjaya dan dapat membantu keluarga pada suatu masa nanti,” katanya.
Dalam pada itu, tawaran Biasaiswa Yayasan UMP kini mula dibuka untuk mahasiswa UMP yang sedang mengikuti pengajian diploma, sarjana muda dan sarjana (sepenuh masa). Permohonan mulai dibuka sehingga 20 Februari 2020 (pra siswazah) manakala tarikh tutup permohonan pasca siswazah pada 24 Februari 2020. Layari portal mygift.ump.edu.my untuk mendapatkan maklumat lanjut.
Disediakan oleh Nor Salwana Mohd Idris daripada Unit Perhubungan Awam Pejabat Naib Canselor
- 167 views