Jalin hubungan baik UMP dan MUJ anjur persidangan ICAMEN
Jaipur, India, 9 Mac- Penganjuran persidangan antarabangsa International Conference on Advanced in Mechanical Engineering and Nanotechnology (ICAMEN 2019) merupakan hasil kerjasama baik pihak Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Manipal University Jaipur (MUJ) yang berlangsung baru-baru ini di Jaipur, India.
Persidangan ini mendapat penyertaan yang memberangsangkan apabila lebih 200 kertas kajian diterima dari seluruh dunia. Persidangan dihadiri Naib Canselor UMP, Profesor Dato Sri Dr Daing Nasir Ibrahim yang menyampaikan ucap tama berkaitan strategi kecemerlangan UMP khususnya dan jaringan universiti teknikal (MTUN).
Bersama delegasi UMP yang hadir terdiri daripada Dekan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FKMP), Prof. Dr. Rizalman Mamat, Dr Saiful Anwar Che Ghani dan Dr Daing Mohamad Nafiz Daing Idris. Mewakili MUJ pula adalah Dr Santosh Patil dari Jabatan Mekanikal.
Menurut Prof Dato Sri Dr Daing, persidangan ICAMEN 2019 merupakan sebuah persidangan antarabangsa dianjur bersama di antara UMP dan MUJ hasil cetusan idea keperluan kedua dua institusi untuk memanfaatkan pengiktirafan global.
“Pertemuan ini memberi peluang peserta persidangan berkongsi kepakaran dalam memperkasa bidang pengajaran dan pembelajaran serta penyelidikan. Selain itu dapat meningkatkan visibility UMP di peringkat antarabangsa,” katanya.
Dalam pada itu, Dekan Fakulti Kejuruteraan MUJ, Prof. Dr. Jagannath Korody berkata, pihaknya sedang giat merombak kurikulum akademik dengan memasukkan elemen Outcome Based Education (OBE) yang selari dengan pendidikan vokasional (TVET) yang sedang dilaksanakan di universiti ini.
Majlis menyaksikan acara perasmian ICAMEN2019 dengan menyiram pokok hijau sebagai simbol kelestarian pendidikan dan kerjasama di antara kedua dua institusi dari dua negara.
Delegasi UMP turut berpeluang mengadakan kunjungan hormat ke pejabat Presiden MUJ, Professor Dr. JK Prabhu yang mana pelbagai perbincangan termasuk bertukar pandangan tentang amalan terbaik (best practice) dan kerjasama yang akan dibuat membabitkan pihak UMP dan MUJ. Turut serta dalam pertemuan ini adalah Dekan Fakulti Sains MUJ, Prof. Dr Anoop Kumar Mukhopadhyay.
Disediakan oleh Dr Saiful Anwar Che Ghani dari Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan
- 72 views