Jelajah Desa Peluang Pemegang Biasiswa UMP Dekati Masyarakat Orang Asli
Cameron Highlands, 23 Mac- Seramai 35 orang mahasiswa Universiti Malaysia Pahang (UMP) yang merupakan pemegang Biasiswa UMP berasa teruja kerana berpeluang mendekati masyarakat orang asli dalam program Jelajah Desa @ Pos Menson 2019 Cameron Highlands baru-baru ini. Bertemakan `Bersama Memasyarakatkan Teknologi’, para mahasiswa ini telah menyantuni masyarakat orang asli di Sekolah Kebangsaan Menson dan penduduk kampung Leryar. Program mendapat kerjasama dari Majlis Ugama Islam & Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Tabung Haji Pahang, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JKOA), Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni dan Pejabat Naib Canselor UMP.
Sebanyak 20 modul dan eksperimen dillaksanakan berteraskan sebagai menyuntik kecenderungan pelajar sekolah untuk meminati bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) melibatkan hampir 170 orang pelajar di sekolah tersebut. Keterujaan jelas terpancar di wajah anak-anak SK Menson yang majoritinya dari masyarakat orang asli Semai apabila dapat mencuba sendiri aktiviti tersebut. UMP juga turut menyumbangkan 13 buah basikal ‘pre-love’ kepada pihak sekolah untuk kegunaan pelajar asrama di sekolah tersebut.
Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Dato Dr Yuserrie Zainuddin. Menurutnya, UMP sentiasa terbuka dan bersedia meneroka ruang dan potensi kolaborasi strategik dengan perkongsian kepakaran saintifik serta teknikal samada dalam bidang akademik ataupun Corporate Social Innovation (CSI) seperti ini.
Beliau juga turut berbangga apabila program khas yang dilaksanakan oleh mahasiswa cemerlang yang mendapat Biasiswa UMP atau dikenali sebagai UMP Scholar merupakan inisiatif libat sama sosial (social engagement) yang telah, sedang dan akan diatur gerak bagi memastikan masyarakat umum, khususnya rakyat di Negeri Pahang menerima manfaat daripada kewujudan Universiti ini. Selain itu mengharapkan program seperti ini berupaya memberikan pulangan dalam bentuk impak dan pandangan baharu kepada mahasiswa UMP dan masyarakat di Pos Menson.
Sementara itu, ujar Pengarah Program, Ee Hui En dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan , basikal yang disumbangkan ini merupakan terpakai yang ditinggalkan oleh mahasiswa UMP kerana telah tamat pengajian.
“Saya dan rakan-rakan pemegang biasiswa yang lain telah membaiki dan menambahbaik basikal yang telah digunakan menjadi seolah –olah seperti basikal baharu. Saya juga yang kali pertama terlibat dengan masyarakat orang asli berasa bertuah dan berterima kasih kepada UMP untuk peluang ini yang dapat direalisasikan bersama rakan-rakan yang lain,” katanya sebagai sukarelawan dalam program ini.
Turut diadakan adalah malam kebudayaan yang melibatkan persembahan dari mahasiswa UMP dan penduduk orang asli Pos Menson di Dewan SK Menson. Seramai 500 orang masyarakat sekitar hadir pada malam kebudayaan tersebut. Aktiviti lain yang turut diadakan adalah melukis mural dan gotong royong.
Sempena program ini juga turut diadakan Majlis Penyerahan Projek Solar Pos Menson kepada Tok Batin Kampung Leryar, Kapas Panching. Projek solar di surau Kampung Leryar ini adalah sumbangan UMP dan MUIP bersama MyGift UMP yang mana melalui projek ini penjimatan bil elektrik dapat dilakukan serta membantu menyemarakkan lagi kempen inisiatif hijau UMP. Projek solar ini dibangunkan sepenuhnya menggunakan kepakaran oleh mahasiswa dan staf UMP.
UMP turut menyumbang basikal ‘pre love’ dan papan tanda rumah kepada setiap rumah di Kampung Leryar. Manakala MUIP menyumbang hamper makanan harian. Majlis tersebut turut dihadiri oleh Pengurus Tabung Haji Kuala Lipis, Haji Sirajuddin Lebai Ghazali dan Pegawai MUIP Cameron Highlands, Hazwan Hafiz Abdul Jalil.
Disediakan oleh Mohd. Ferdaus Musa dari Bahagian Komunikasi Korporat
- 357 views