Skip to main content

Jom Exchange Quran (JEQ) memperkukuh usaha perlindungan mushaf al-Quran

GAMBANG, 21 Ogos 2025 - Pusat Pembangunan Kelestarian, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dengan kerjasama Kementerian Dalam Negeri (KDN) Negeri Pahang menganjurkan Program Jom Exchange Quran (JEQ) bertempat di Perpustakaan UMPSA Kampus Gambang. 

Pengarah SDC, Dr. Suhaidah Hussain berkata, program ini merupakan inisiatif dalam menyokong amalan kelestarian di samping memberikan kesedaran tentang kepentingan menjaga kesucian mushaf al-Quran serta memastikan pelupusan dilakukan mengikut kaedah yang betul.

“Sebanyak 150 mushaf al-Quran yang rosak dan yang tiada perakuan telah diserahkan kepada pihak KDN. 

“Alhamdulillah, program ini bukan sahaja dapat memberi manfaat kepada warga kampus malah kepada komuniti setempat. 

“Diharapkan program ini menjadi platform berterusan bagi mendidik masyarakat tentang kepentingan menghormati dan menjaga kesucian al-Quran,” ujarnya. 

Jom Exchange Quran (JEQ) memperkukuh usaha perlindungan mushaf al-Quran

Ketua Unit Pendidikan dan Pencegahan, Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan, KDN, Nor Anita Kori merakamkan penghargaan kepada warga UMPSA dan komuniti setempat yang hadir menyerahkan al-Quran yang tiada perakuan KDN atau rosak dan telah diganti dengan mushaf yang baharu.

Jelasnya, al-Quran yang diterima iakan dilupuskan mengikut prosedur yang ditetapkan.

“Pada masa yang sama, kami turut mengadakan pameran yang memaparkan kesalahan penggunaan ayat suci al-Quran pada barangan atau tempat yang tidak dibenarkan. 

“Diharapkan program ini dapat mencapai objektif dan diteruskan pada masa akan datang,” katanya.

Sementara itu, menurut salah seorang pengunjung dari Kampung Pandan 2, Noor Ain Abdullah, 59, beliau gembira apabila dapat hadir bersama rakan-rakan  untuk  menukarkan al-Quran yang telah lama dan tiada perakuan  dengan mushaf  al-Quran yang baharu. 

“Saya dan rakan-rakan mengetahui mengenai program ini menerusi ustazah yang mengajar di kelas mengaji kami.

“Terima kasih kepada UMPSA dan KDN yang menganjurkan program ini. 

“Banyak ilmu baharu yang kami pelajari,” katanya. 

Jom Exchange Quran (JEQ) memperkukuh usaha perlindungan mushaf al-Quran

Disediakan Oleh: Nor Salwana Mohammad Idris, Pusat Pembangunan Kelestarian (SDC)
 

Reports by:
Siti Nurfarmy binti Ibrahim