“Kami OK…Jangan Risau” – Pelajar UMP di Jerman
Jerman, 25 April- Pelajar Fakulti Pengurusan Industri Universiti Malaysia Pahang (UMP), Batrisyia Elena Roslan, 22, yang sedang menyambung pengajian di Jerman sejak 10 September tahun lalu bersama 11 mahasiswa lain berada dalam keadaan selamat dan beliau meminta keluarga dan kawan-kawan di Malaysia tidak risaukannya kerana keadaan di tempat tinggalnya masih terkawal. Negara Jerman masih mencatatkan kadar jangkitan wabak COVID-19 antara lima tangga tertinggi dunia setakat ini.
Elena antara 19 pelajar yang sedang mengikuti pengajian progran dwiijazah hasil kerjasama UMP dengan dua institusi Jerman iaitu Karlsruhe University of Applied Science (HsKA) dan Hochschule Reutlingen University.
Setelah dua tahun menuntut di UMP, kini Elena berada di Hochschule Reutlingen University selama dua tahun dan dijangka kembali ke Malaysia pada Disember tahun depan. Turut bersamanya termasuklah Abdufotikh Akhmedov, Syukri Aiman Abdul Rahman dan Darshinii Manikam.
“Pengkuliahan di sini dilakukan secara atas talian pada waktu sekarang. Kami menggunakan platform seperti Zoom, Microsoft Teams dan juga Webex. Tarikh pengkuliahan secara fizikal masih dalam perbincangan pihak universiti dan kerajaan negeri Baden-Württemberg,” katanya.
Beliau berkata, pada waktu permulaan pandemik, beliau menghadapi kesukaran untuk membeli roti. Namun barang keperluan asas masih mudah untuk didapati. Di sini tiada “lockdown” namun digalakkan untuk duduk di rumah. Kedai kebanyakannya masih belum dibuka dan kedai makanan hanya dibenarkan “take away” sahaja.
“Kebajikan pelajar di sini turut dijaga baik oleh kedua-dua universiti. Mereka sentiasa bertanya khabar berita kami di sini. Kami juga telah menerima topeng muka dan makanan daripada UMP, antaranya makanan seperti sardin dan biskut,” katanya yang teruja dengan bantuan yang diterima daripada pihak Jabatan Hal Ehwal Pelar dan Alumni (JHEPA).
Pada waktu ini, beliau dan rakan-rakan memanfaatkan masa ini dengan mempelajari Bahasa Jerman khasnya sebagai persediaan untuk menduduki peperiksaan TestDaF tahun ini serta melakukan senaman secara individu di dalam bilik. Elena turut menasihatkan pelajar sama ada di Malaysia ataupun yang menuntut di negara lain untuk bersabar dengan situasi penularan Covid-19 yang melanda banyak negara.
Ujarnya, sibukkan diri dengan perkara yang dapat memanfaatkan diri sendiri di samping mempertajamkan bakat yang dimiliki. Berpandangan positif dan melihat situasi ini sebagai satu peluang di samping bersama-sama berdoa agar dipermudahkan urusan dan situasi ini akan berakhir secepatnya. Beliau turut berkongsi pengalaman pertama berpuasa di perantauan dengan tempoh berpuasa yang panjang selama 17 jam.
Sementara itu alumni UMP, Syakiela Ahmad, 24 yang berasal dari Kuala Lumpur telah menetap lebih tiga tahun di Jerman. Beliau yang telah mengikuti program dwiijazah UMP- Reutlingen University kini sedang mengikuti program Pre-Master di Robert Bosch GmbH , Stuttgart. Di sini beliau perlu bekerja selama satu tahun untuk menimba pengalaman industri sebelum menyambung pengajian di peringkat sarjana.
Berdepan dengan situasi wabak Covid-19, menurutnya setakat ini masih terkawal, hanya dua orang maksimum boleh keluar bersama, dengan syarat pasangan suami isteri atau pasangan rapat.
Ujarnya, di Stuttgart, aktiviti beriadah masih dibenarkan dengan syarat tiada perkhemahan. Namun, bercuti tidak dibenarkan malahan hanya perjalanan sehari tanpa hotel masih dibenarkan. Semua kedai masih dibuka dan tiada masalah mendapatkan bekalan asas namun tiada pusat membeli-belah dibuka. Selain itu, sempadan negara Jerman masih ditutup setakat ini untuk keluar negara.
“Kebanyakan pekerja diberi arahan untuk mengurangkan masa bekerja, iaitu standard adalah 35 jam seminggu namun pada masa ini dikurangkan kepada 27 jam tanpa gaji.
Beliau lega apabila program pre-Master tidak termasuk dalam peraturan ini,” katanya berkongsi pengalaman bekerja di Jerman.
Akibat penularan wabak Covid-19, semua pekerja juga perlu melaksanakan Home Office (Work From Home) yang berkemungkinan dilanjutkan sehingga bulan Mei depan berbanding sebelum ini beberapa syarikat melaksanakan Home Office pada setiap hari Jumaat.
Bagi mengisi aktivitinya, Syakiela masih boleh berbasikal ke tasik, taman dan “Indoor gardening” mahupun beriadah di kawasan pergunungan. Menjelang Ramadan ini beliau banyak memasak di rumah seperti masakan rendang, kari, gulai, tomyam semuanya mudah diperolehi melainkan ikan kerana kebanyakan yang ada di sini hanya jenis salmon.
Berkongsi pengalaman di sini, menurutnya orang Jerman turut menyediakan makanan percuma buat gelandangan (homeless) di sini. Dalam pada itu, mereka juga mudah untuk mendapatkan rawatan atau perubatan memandangkan sistem di sini menetapkan temu janji dan kita tidak akan nampak ramai berada dalam satu masa di mana-mana klinik.
Negara Jerman mengambil langkah kembali normal baru-baru ini, dengan membenarkan kedai kecil di beberapa wilayah dibuka semula setelah penutupan dalam tempoh sebulan, apabila negara itu mengisytiharkan COVID-19 ‘dalam kawalan’. Selain itu melarang perhimpunan lebih dua orang dan syarat untuk berdiri lebih dari 1.5 meter daripada yang lain dalam kawasan awam tetap dilaksanakan.
- 689 views