Skip to main content

Kampus UMP bersih bakal sambut warga kerja kembali bertugas

Kuantan, 7 April- Sebagai langkah pencegahan dan memerangi penularan wabak Covid-19, Universiti Malaysia Pahang (UMP) telah melaksanakan operasi pembersihan sanitasi di beberapa lokasi tumpuan dan bangunan di kedua-dua kampus UMP di Gambang dan Pekan sejak 23 Mac hingga 7 April lalu. 

Operasi ini bertujuan memastikan persekitaran tempat kerja bersih dan selamat buat warga kerja kembali bertugas sebaik sahaja tamat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) nanti.   

Menurut Eksekutif Lanskap dan Pembersihan, UMP Services Sdn Bhd (UMP Services), Hairudin Idris berkata, pihaknya diberi tanggungjawab melaksanakan operasi sanitasi meliputi bangunan pejabat, bilik pensyarah, asrama pelajar, perpustakaan, masjid dan kafeteria secara berperingkat bermula di kampus UMP Gambang dan di UMP Pekan pada peringkat seterusnya.  

“Seramai 30 orang petugas  terlibat dalam operasi yang bermula seawal jam 9.00 pagi hingga jam 12.00 tengah hari. Taklimat akan diberikan kepada semua petugas dalam memastikan operasi dijalankan mengikut standard prosedur keselamatan pada setiap kali tugasan bermula,” katanya.

Ujarnya, petugas akan menggunakan semburan kabus disinfeksi di kawasan bangunan dengan lebih tertumpu di tempat berisiko seperti pemegang atau tombol pintu, butang lif, kaunter utama, meja dan lain-lain lagi bagi memastikan kawasan kampus bebas wabak penyakit Covid-19.

Pada masa yang sama keselamatan petugas amat dititikberatkan dengan memastikan petugas yang terlibat dalam operasi ini perlu mematuhi langkah-langkah dan garis panduan yang ditetapkan.

Semua petugas diwajibkan memakai alat perlindungan diri (PPE) yang lengkap sepanjang menjalankan operasi ini. Mereka turut dilengkapi dengan peralatan keselamatan seperti topeng muka, sarung tangan dan cecair pembasmi kuman (hand sanitizer).

Kemudiannya, setiap kali selesai operasi para petugas dikehendaki membersihkan tangan dan muka menggunakan sabun. Manakala semua PPE yang telah digunakan akan dikumpulkan dalam plastik kuning sisa klinikal untuk dilupuskan di tong sisa klinikal.

Dalam pada itu, tatkala orang lain bekerja dari rumah ekoran PKP, kerja-kerja pembersihan sekitar kampus diteruskan seperti biasa, namun dalam jumlah yang minima bagi memastikan persekitaran kampus kekal bersih.

Pihak UMP Services yang merupakan anak syarikat UMP Holdings Sdn Bhd turut menyediakan perkhidmatan untuk pembersihan disfenksi tempat umum termasuklah masjid, surau, bangunan pejabat, klinik, hotel dan lokasi tumpuan bagi memerangi wabak Covid-19 di negara ini.

Disediakan Nor Salwana Mohd. Idris daripada Unit Perhubungan Awam Pejabat Naib Canselor. 

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri