Kanеka Corporation perkukuh kerjasama strategik bersama UMPSA
PEKAN, 30 Septembr 2026 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus memperkukuh hubungan strategik bersama industri menerusi kunjungan hormat Kaneka Corporation ke UMPSA yang berlangsung di Dewan Bankuet, Canseleri Tun Abdul Razak (CTAR), baru-baru ini.
Kunjungan tersebut diketuai oleh Pengerusi Lembaga Pengarah, Kaneka Corporation, Kimikazu Sugawara, bersama Pengerusi Kaneka Corporation, Kazuhiko Fujii, Presiden Kaneka (Malaysia) Sdn. Bhd., Tomoyuki Kashimura serta Naib Presiden Kaneka (Malaysia) Sdn. Bhd, Syed Ahmad Syed Idrus Alhabshi dan delegasi pengurusan Kaneka Corporation serta Kaneka (Malaysia) Sdn. Bhd.
Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias menzahirkan penghargaan atas kunjungan tersebut, khususnya selepas Kaneka (Malaysia) Sdn. Bhd. yang meraikan ulang tahun ke-30 penubuhannya di Malaysia.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kaneka Malaysia atas sumbangan sebanyak RM1 juta kepada UMPSA bagi menyokong bidang pendidikan, penyelidikan dan pembangunan modal insan.
Menurut beliau, sumbangan tersebut mencerminkan kepercayaan industri terhadap peranan universiti, kepakaran penyelidikan serta potensi kerjasama antara akademia dan industri.
“Kepercayaan ini hadir bersama tanggungjawab untuk memastikan sokongan dan kerjasama yang terjalin dapat mewujudkan peluang yang bermakna, mampan dan memberi impak.
“Kaneka mempunyai reputasi global dalam bidang teknologi, pembuatan bahan kimia dan bahan inovatif, manakala UMPSA pula mempunyai kekuatan sebagai universiti teknologi yang memberi penekanan kepada bidang kejuruteraan, penyelidikan gunaan, inovasi serta keterlibatan industri.
“Justeru, saya melihat kedua-dua organisasi mempunyai ruang yang luas untuk memperkukuh kerjasama dalam bidang penyelidikan kolaboratif, pembangunan modal insan, latihan industri dan kemajuan teknologi,” ujarnya.
Katanya, kerjasama universiti dan industri perlu melangkaui sekadar pertemuan dan perjanjian.
“Ia perlu menghasilkan outcome yang memberi nilai kepada pelajar, penyelidik dan industri.
“Kerjasama yang diperkukuh mampu memberi pendedahan industri yang lebih bermakna kepada pelajar, membuka peluang kepada penyelidik untuk menangani cabaran sebenar industri serta membolehkan industri bersama universiti membangunkan bakat, menyelesaikan masalah dan memajukan teknologi,” tambahnya.

Dalam pada itu, Profesor Ts. Dr. Yatimah turut menekankan potensi untuk menghubungkan keupayaan industri global Kaneka dengan bakat, kepakaran penyelidikan dan teknologi yang dimiliki UMPSA.
Menurut beliau, hubungan yang dibangunkan bukan sahaja berpotensi memberi manfaat kepada Pahang dan Malaysia, malah boleh diperluaskan ke peringkat serantau serta ekosistem global Kaneka.
“Saya berharap kerjasama UMPSA dan Kaneka pada masa hadapan dapat diterjemahkan melalui pembangunan bakat, penyelesaian cabaran industri, kemajuan teknologi dan penciptaan nilai secara bersama.
“Semalam kita meraikan satu perjalanan yang cukup bermakna.
“Hari ini, marilah kita mula membentuk masa hadapan,” katanya.
Kunjungan tersebut diharap menjadi pemangkin kepada satu lagi fasa kerjasama yang lebih kukuh antara UMPSA dan Kaneka, berteraskan kepercayaan, bakat, teknologi, inovasi serta impak bersama.
Disediakan Oleh: Siti Nur Azwin Zulkapri, Pusat Komunikasi Korporat
- 23 views
Reports by: