Karya Sastera bentuk pemikiran kreatif pelajar
PEKAN, 20 Januari 2022 - Karya-karya sastera yang terdiri daripada novel, cerpen, prosa, sajak, syair, pantun dan lain-lain yang diwarnai dengan nilai murni dilihat dapat memberi nilai tambah dalam pembentukan pemikiran kreatif pelajar.
Malahan puisi meneroka batasan penggunaan bahasa dan membicarakan perasaan yang sukar digambarkan dalam bentuk yang dapat menambat hati setiap pendengarnya.
Sastera Melayu akan terus berkembang dengan usaha kerajaan melaksanakan pelbagai aktiviti berkaitan, antaranya memperkenalkan program yang dinamakan ‘Sasterawan di Universiti’ (SDU).
Di Universiti Malaysia Pahang (UMP), pelbagai aktiviti dilaksanakan secara inklusif dengan penglibatan warga kampus.
Aktiviti yang menyantuni program SDU ini merangkumi pelbagai inisiatif seperti wacana berkaitan sastera dan budaya, perkongsian ilmu bersama sasterawan negara serta persembahan seni.
Menurut Dekan Pusat Bahasa Moden (PBM), Profesor Madya Dr. Nik Aloesnita Nik Mohd Alwi, pada hakikatnya, puisi merupakan sesuatu yang amat dibanggakan oleh rakyat Malaysia.
“Berlangsung baru-baru ini penganjuran Bengkel Penulisan Puisi yang dianjurkan oleh PBM bagi memberi pendedahan kepada warga universiti tentang penulisan sastera Melayu.
“Perkongsian penceramah Abdullah Awang sememangnya tidak lekang dalam dunia penulisan sastera Melayu.
“Walaupun bahasa Melayu bukan bahasa ibundanya, beliau telah berjaya mengarang beberapa novel yang terkemuka seperti ‘Penyu Menangis Tiada Siapa Tahu’ dan ‘Biografi Sasterawan Negara A. Samad Said’,” ujarnya.
Profesor Madya Dr. Nik Aloesnita turut mengharapkan lebih banyak program dapat dijalankan dalam mencungkil bakat warga UMP dan merangsang minat pelajar untuk melibatkan diri secara lebih aktif dalam penulisan kreatif yang berpotensi bagi mengisi ruang-ruang penerbitan sastera Melayu.
“Semoga cakupan penguasaan ilmu dan pengalaman meluas penceramah dalam bidang sastera ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh warga UMP menerusi bengkel penulisan puisi yang dihadiri seramai 60 pelajar dan staf UMP,” katanya.
Bagi peserta, Usha a/p S. Ramesh penglibatannya ini memberi peluang untuk mempelajari ilmu baharu dan mencungkil bakat penulisan dalam penerbitan selain daripada ilmu dalam bidang pengajian berteraskan kejuruteraan di universiti ini.
Para peserta juga diberi penerangan tentang kaedah menulis puisi seperti etika, teknik, format dan gaya penulisan puisi.
Karya-karya yang dihasilkan oleh peserta juga dikongsi dan dipaparkan di laman sesawang Pusat Bahasa Moden UMP di https://pbm.ump.edu.my/
Disediakan oleh: Profesor Madya Dr. Nik Aloesnita Nik Mohd Alwi, Pusat Bahasa Moden (PBM)
- 862 views