Kelab Youth of Strength Happiness (YOSH) UMPSA anjur rewang dan edaran Bubur Lambuk
GAMBANG, 30 Mac 2024 – Mengambil peluang berkongsi kebaikan di bulan Ramadan, Kelab Youth of Strength Happiness (YOSH), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dengan kerjasama YOSH MyFundaction telah mengadakan rewang dan edaran Bubur Lambuk bertempat di Masjid Sri Fajar, Gambang dengan kehadiran lebih 40 orang mahasiswa.
Program itu telah dirasmikan oleh Pengerusi Masjid Kampung Sri Fajar, Mokhtar Mansor.
Hadir sama Penasihat Kelab YOSH UMPSA, Dr. Nurul Ashykin Abd Aziz, Pensyarah Kanan, Fakulti Pengurusan Teknologi, Dr. Khairunnisa Abdul Aziz dan Projek Koordinator MyFundAction Pahang, Cawangan Pantai Timur, Syakir Fitri Sadri.
Menurut Mokhtar, program ini merupakan satu usaha yang bagus dilaksanakan bagi mendekatkan belia dengan masyarakat kampung kerana penglibatan anak muda di kampung hari ini sangat sukar.
“Saya mengharapkan agar program-program seumpama ini dapat dianjurkan dengan lebih kerap memandangkan komuniti ini berhampiran dengan UMPSA,” ujarnya.
Antara aktiviti yang dijalankan termasuklah rewang dan edaran bubur lambuk, ziarah asnaf, edaran Kotak Rezeki Umat (RU), aktiviti bersama komuniti, perkongsian ‘Better Me, Better Ramadan’ dan juga Solat Hajat untuk Palestin.
Hasil kolaborasi dengan pelbagai pihak, sebanyak 50 bantuan kotak rezeki telah berjaya diedarkan kepada mereka yang memerlukan.
Menurut pelajar Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses, Anis Amirah Mohd Nor yang juga merupakan peserta program ini berkata, pada mulanya beliau menganggap program ini seperti program sukarelawan yang biasa sahaja namun rupanya ia berbeza dengan program lain.
“Jika kita lihat sirah Rasulullah SAW dahulu banyak membantu komuniti dan berdakwah.
“Justeru, aktiviti seumpama ini juga boleh membantu kita untuk berdakwah kepada komuniti.
“Program ini juga bertujuan untuk memperkasakan hubungan sosial dalam kalangan mahasiswa UMPSA dan Exco Kelab Yosh UMPSA khususnya di bulan Ramadan yang mulia,” katanya.
Disediakan Oleh: Nur Afiqah Lihan, Mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer Dan Siti Nurfarmy Ibrahim, Pusat Komunikasi Korporat
- 80 views