Kembara Kenali Borneo: Satu Kembara Sejuta Kenangan
KOTA KINABALU, 6 September 2023 - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang juga merupakan Tuanku Canselor Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), bersama-sama dengan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan mengadakan jelajah 'Kembara Kenali Borneo' di Sabah dan Sarawak, bermula dari 3 hingga 13 September.
Lebih bermakna KDYMM Seri Paduka Baginda turut memandu sendiri kenderaan pacuan empat roda dengan mengetuai konvoi kembara melibatkan sebanyak 25 buah kenderaan.
Bersempena Hari Malaysia pada 16 September ini, pastinya nostalgia kembara ini menggamit 1001 kenangan buat rakyat meliputi kedua-dua negeri Malaysia Timur, bermula dari Sabah dan kemudiannya Sarawak, serta termasuk negara jiran, Brunei, dengan menyelusuri Lebuh Raya Pan Borneo.
Lokasi yang dilawati di Sabah melibatkan beberapa daerah bermula di Tawau pada 3 September diikuti di Lahad Datu, Sandakan, Telupid, Ranau (Kundasang), Kota Kinabalu, Penampang dan berakhir di Sipitang.
Manakala lokasi yang akan dilawati di Sarawak termasuklah Tebingan Lawas dan bermula 9 September di Miri Handicraft Centre diikuti di Coco Cabana Miri, Kampung Pangkalan Lutong, Pantai Bungai Bekenu, Kampung Penan Muslim Batu 10, Rumah Panjang Raymond Plen, Sungai Gelam, Sebauh, Tokong Yu Lung Tian En Si Sibu, Kampung Bandung Sibu, Pasar Central Sibu, Masjid Bahagian Sri Aman, Fort Alice Sri Aman dan berakhir di Zero KM Lebuh Raya Pan Borneo, Telok Melano pada 13 September 2023.
Perjalanan ini bukanlah semata-mata suatu kunjungan rasmi namun ia adalah sebuah perjalanan untuk mendekati rakyat, khususnya di Sabah dan Sarawak.
Kembara ini juga mencerminkan komitmen dan dedikasi kedua-dua Kebawah Duli Tuanku Agong dan Raja Permaisuri Agong dalam mempereratkan lagi hubungan dengan rakyat.
Sepanjang penjelajahan ini, pelbagai program menarik telah dianjurkan di setiap lokasi yang dilawati.
Antaranya adalah aktiviti pameran warisan dan kebudayaan, juadah dan makanan tradisi dan demonstrasi kraftangan yang mengetengahkan keunikan hasil tangan rakyat Borneo.
Bagi peniaga buah-buahan di Pekan Nabalu, Deulin Pengundar, 65, dari Kampung Taginambur, Kota Belud yang berpeluang berbual secara terus dengan Raja Permaisuri Agong berkata, beliau ingin mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada Raja Permaisuri Agong yang memahami keadaan bangsa Dusun dengan mencari sumber kehidupan dengan berniaga kecil-kecilan.
“Saya sangat seronok dengan Raja Permaisuri Agong kerana bukan sahaja dapat bercakap malahan menari dan sempat mengusik gara-gara saya kuat melatah,” katanya seraya berkata, tidak sedar apa beliau cakap (semasa melatah) dan selepas itu timbul pula perasaan malu.
Beliau turut mendoakan semoga Allah SWT memberkati keluarga besar Tuanku Agong dan keluarga juga memberkati kesihatan mereka.
Selain itu, beliau turut mendoakan semoga Allah SWT memberkati Tuanku Agong sebagai Ketua Negara agar dapat memerintah negara dengan saksama dan aman damai tanpa memilih suku, bangsa mahupun agama.
Begitu juga dengan adik Nor Alia Nur Alya Adriana Azharuddin, 14, dari Kota Kinabalu yang sempat melakarkan lukisan gambar Tuanku sepanjang kembara Tuanku Agong ke Sabah.
Memandangkan beliau tidak dapat berjumpa Tuanku kerana sesi persekolahan, Nor Alia meminta ibunya untuk menyerahkan lukisan tersebut kepada Tuanku Agong di Kadazan Dusun Cultural Association Sabah (KDCA) di Penampang.
Disebabkan orang terlalu ramai, ibunya tidak dapat bertemu dengan Tuanku.
Namun, ibunya sempat menyerahkan lukisan tersebut kepada pengawal peribadi Tuanku.
Lain pula kisahnya dengan cerita pasangan adik-beradik, Arcella dan Adeline Jamit dari Penampang yang berjaya menyerahkan potret Tuanku hasil ciptaan mereka sendiri setelah mengharungi beberapa halangan mereka berjaya menyerahkan potret teristimewa itu kepada anakanda Tuanku, Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah.
Baginda Yang di-Pertuan Agong banyak menyumbang jasa bakti dalam mencorakkan kepimpinan negara, memperkasa pendidikan, menyebarkan ilmu dan agama serta keprihatinan KDYMM Tuanku terhadap nasib rakyat khususnya di daerah pedalaman.
Malahan baginda berdua turut terharu terhadap layanan yang cukup mesra masyarakat yang menyambut mereka dengan setia menanti di sepanjang jalan semata-mata untuk berjumpa dengan raja berjiwa rakyat.
Kembara bersejarah itu melibatkan perjalanan lebih 2,154 kilometer melalui Lebuh Raya Pan Borneo yang menghubungkan Sabah, Sarawak dan Brunei ini memberi peluang buat rakyat di kedua-dua negeri untuk beramah mesra dengan pasangan diraja ini.
Selain itu, aktiviti kebudayaan seperti tarian tradisional, persembahan musik dan nyanyian telah menghiburkan hati baginda berdua serta seluruh rakyat juga berduyun-duyun hadir di semua tempat persinggahan yang disambut penuh meriah dengan pelbagai gelagat dan kreativiti semata-mata untuk menujukkan kasih sayang yang tidak berbelah bagi.
UMPSA turut berpeluang menyertai acara konvoi dan menyelami dari sudut kaca mata rakyat sepanjang program ini.
Disediakan oleh: Mimi Rabita Haji Abdul Wahit, Pusat Komunikasi Korporat
- 100 views