Kembara Mobiliti Lestari UMPSA tabur bakti di bumi Songkla
SONGKHLA THAILAND, 18 Februari 2024 - Seramai 85 sukarelawan staf dan pelajar Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) menyantuni pelajar dalam kalangan anak yatim dan kurang berkemampuan yang menuntut di Bumrungsuksa Islamic Boarding School (BIS), Hatyai Songkhla Thailand baru-baru ini.
Program itu turut disertai seramai 22 peserta konvoi bermotosikal yang bergerak dari UMPSA Kampus Gambang bagi menyempurnakan Misi Kembara Mobiliti Lestari UMPSA 'Songkhla Global Exploration' sempena meraikan ulang tahun UMPSA ke-22 tahun yang disambut pada 16 Februari 2024.
Ketibaan Naib Canselor UMPSA, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin bersama Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Ts. Dr. Mohd Rusllim Mohamed, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa), Profesor Ir. Ts. Dr. Ahmad Ziad Sulaiman dan barışan pengurusan serta peserta konvoi disambut Pemilik dan Pengurus BIS, Suraiya Heemman dan guru-guru serta pelajar sekolah.
Menurut Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie, program Kembara Mobiliti Lestari UMPSA ini adalah merupakan usaha dalam merealisasikan hasrat üniversiti bagi melebar luas dan mendekati komuniti dalam dan luar negara.
“Program ini dilaksanakan dengan membawa pengurusan universiti turun padang untuk sana-sama menabur bakti melalui pendekatan kluster pendidikan, teknologi, komuniti, kelestarian, kerohanian dan bantuan.
“Malahan, program berteraskan kemasyarakatan ini juga dapat memperkasakan mahasiswa dalam memberi pendedahan dan pencambahan idea kepada mahasiswa dengan budaya masyarakat dalam serta luar negara di samping meningkatkan pembangunan sahsiah diri pelajar.
“Selain itu, ia dapat memupuk semangat sukarelawan yang perlu disemai kepada pelajar agar melahirkan pelajar yang prihatin dan bertanggungjawab,” ujarnya.
Beliau sebelum itu melepaskan Konvoi Program Kembara Mobiliti Lestari UMPSA- 'Songkhla Global Exploration' yang bermula pada 16 hingga 22 Februari 2024 dari UMPSA singgah ke Institut Latihan Perindustrian (ILP) Ipoh, Songkhla, Thailand, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan kembali semula ke UMPSA sejauh 1,622 km.
Konvoi ini diketuai oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Ts. Dr. Mohd Ruslim Mohamed.
Sukarelawan UMPSA yang menyertai program kembara ini turut menjalankan aktiviti gotong-royong mengecat bangunan asrama dan kelas.
Lain-lain aktiviti yang dilaksanakan sukarelawan termasuklah memasang rak buku, klinik futsal, aktiviti berkumpulan, kerja pembersihan dan menanam pokok buah-buahan di sekitar sekolah sebagai simbolik kerjasama serta menyahut inisiatif kelestarian hijau dan Sasaran Pembangunan Lestari (Sustainable Development Goals – SDG)
Sumbangan UMPSA tersebut berkisar kepada keperluan SDG dengan indikator yang telah disepakati di peringkat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) untuk dicapai menjelang tahun 2030.
Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie turut menyampaikan serahan sumbangan Yayasan UMPSA untuk dimanfaatkan pelajar.
Program mobiliti kali ini merangkumi lawatan akademik di Rajamangala University of Technology Srivijaya (RUTS), Thailand, program rekreasi dan perlawanan sukan persahabatan bersama pasukan futsal Thaksin University yang menyaksikan kemenangan berpihak kepada UMPSA dengan 5-2 serta khidmat komuniti.
Seramai 20 orang pelajar yang terlibat ini mengikuti program ini sedang membuat persediaan ke Kejohanan Liga Futsal IPT 2024 - Liga Super yang akan bermula pada April 2024 nanti.
Disediakan Oleh: Siti Nur Azwin Zulkapri, Pusat Komunikasi Korporat
- 176 views