Ketabahan Dr. Siti Hawa, alumni UMPSA tamat PhD lawan SMA, pergi buat selamanya
KUANTAN, 27 Oktober 2026 - Ketabahan Allahyarham Dr. Siti Hawa Apandi, pesakit atrofi otot spina (SMA) pertama di Malaysia yang berjaya menamatkan pengajian dari peringkat diploma hingga Doktor Falsafah (PhD) di universiti sama, menjadi inspirasi yang akan terus dikenang meskipun beliau menghembuskan nafas terakhir pada usia 37 tahun, hari ini.
Alumni Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) itu meninggalkan legasi perjuangan luar biasa dalam menuntut ilmu apabila berjaya menggenggam PhD dalam bidang Sains Komputer pada tahun 2025, meskipun berdepan penyakit genetik jarang berlaku yang menjejaskan fungsi ototnya secara progresif sejak zaman kanak-kanak.
Allahyarham memulakan pengajian di UMPSA pada tahun 2007 di peringkat diploma sebelum melanjutkan pelajaran ke peringkat Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Perisian dan Ijazah Sarjana Sains Komputer, seterusnya menamatkan pengajian PhD di universiti berkenaan.
Pencapaian itu melayakkan Allahyarham diiktiraf Malaysia Book of Records (MBR) sebagai pesakit SMA pertama di negara ini yang menamatkan pengajian tinggi secara berterusan dari peringkat diploma hingga PhD di universiti sama.
Kejayaan berkenaan bukan sekadar pencapaian akademik, malah menjadi bukti ketekunan dan semangat juangnya dalam mengatasi keterbatasan fizikal yang memerlukan beliau bergantung sepenuhnya pada kerusi roda.
Kecemerlangan Allahyarham turut diiktiraf menerusi beberapa anugerah berprestij, antaranya Heitech Industry Excellence Award 2013 dan Anugerah Kecemerlangan Inklusif Abdullah Bin Ummi Maktum ketika mengikuti pengajian PhD.

Ibunya, Zaidah Tamjis, 64, berkata, anak ketiga daripada lima beradik itu mula mengadu letih sejak dua hingga tiga hari sebelum meninggal dunia di kediaman mereka di sini.
“Dua tiga hari ini, dia nampak penat dan letih, cuma nak baring sahaja.
“Biasanya dia boleh duduk lama sambil menggunakan komputer riba, tetapi kali ini dia lebih mahu berehat.
“Selepas minum susu kira-kira jam 6 petang sehari sebelum kejadian, Allahyarham memberitahu mahu berbaring, berbeza daripada kebiasaannya yang masih mengambil susu sekali lagi pada waktu malam,” ujarnya.
Menurutnya, kira-kira jam 5.30 pagi, beliau cuba mengejutkan anaknya, namun Allahyarham tidak memberikan sebarang respons sebelum ambulans dipanggil dan pasukan perubatan mengesahkan kematiannya.
Mengimbas kenangan bersama anaknya, Zaidah menyifatkan Allahyarham sebagai seorang yang tekun, penyabar dan tidak banyak bercakap.
Sebagai ibu, beliau mengakui berasa bangga dengan pencapaian anaknya dan reda menerima ketentuan Allah SWT selepas melalui perjalanan hidup yang penuh cabaran.
Allahyarham yang dilahirkan pada 12 Ogos 1989 di Johor pernah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan akibat jangkitan bakteria pada tahun lalu dan menjalani rawatan selama kira-kira 50 hari.
Jenazah Allahyarham disolatkan di Masjid Seri Mahkota Aman sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 8, Jalan Gambang, kira-kira jam 11.30 pagi, hari ini.
Pemergian Allahyarham bukan sahaja dirasai keluarga dan warga UMPSA, malah meninggalkan inspirasi tentang erti ketabahan, kesungguhan dan keazaman dalam mengejar ilmu tanpa menjadikan kekangan fizikal sebagai penghalang.
Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias berkata, pemergian Allahyarham merupakan kehilangan besar kepada universiti, namun legasi perjuangan dan pencapaian akademiknya akan terus menjadi inspirasi kepada warga universiti serta masyarakat.
“Allahyarham Dr. Siti Hawa Apandi membuktikan bahawa keterbatasan fizikal bukan penghalang untuk mencapai kecemerlangan.
“Ketabahan, kesungguhan dan semangatnya dalam menuntut ilmu menjadi teladan bahawa setiap individu berhak mendapat peluang untuk berjaya.
“Pencapaian Allahyarham menamatkan pengajian dari peringkat diploma hingga PhD di UMPSA bukan sahaja mengharumkan nama universiti, malah menjadi simbol kekuatan insan dalam menghadapi cabaran kehidupan,” katanya.
Tambah beliau lagi, bagi pihak seluruh warga UMPSA, kami merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham.

“Semoga mereka diberikan kekuatan dan ketabahan menghadapi kehilangan ini, dan semoga segala jasa serta legasi ilmu yang ditinggalkan Allahyarham terus dikenang,” katanya.
Disediakan Oleh: Safriza Baharuddin, Pusat Komunikasi Korporat
- 22 views
Reports by: